Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dilarang Miliki F-35 Oleh Amerika, Thailand Mahu Tambah JAS-39 Gripen

Sumber memberitahu akhbar negara itu, Bangkok Post bahawa Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) mahu membeli tiga buah pesawat pejuang Gripen bagi menambah 11 buah pesawat yang telah pun dimilikinya pada ketika ini.

0 6,859

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya beberapa minggu selepas Amerika Syarikat menolak permohonannya untuk membeli pesawat pejuang generasi kelima F-35, Thailand kini dikatakan mahu menambah pemilikan pesawat JAS-39 C/D Gripen buatan Sweden untuk tentera udaranya.

Sumber memberitahu akhbar negara itu, Bangkok Post bahawa Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) mahu membeli tiga buah pesawat pejuang Gripen bagi menambah 11 buah pesawat yang telah pun dimilikinya pada ketika ini.

Ketiga-tiga pesawat Gripen yang bakal diperolehinya itu akan ditempatkan bersama-sama 11 buah pesawat pejuang itu yang dioperasikan oleh Wing 7 di Pangkalan Udara RTAF di Surat Thani.

Saab Group
Tiga buah pesawat Gripen Tentera Udara Diraja Thailand.

 

Thailand memperolehi 12 buah pesawat pejuang Gripen yang dibangunkan oleh Saab Group daripada Sweden itu pada 2011, tetapi salah sebuah daripada pesawat pejuang itu terhempas pada pertunjukan udara di Hatyai beberapa tahun lepas.

Negara Asia Tenggara itu juga menggunakan sebuah pesawat amaran awal (AEWC) “Erieye” yang diperolehinya bersama-sama pesawat pejuang Gripen itu.

Media di Thailand menyatakan RTAF berhasrat memperolehi 12 buah lagi pesawat Gripen, membawa bilangan keseluruhan pesawat pejuang itu kepada 23 buah.

Menurut sumber kepada Bangkok Post itu juga, syarikat Sweden itu juga akan menaiktaraf radar yang digunakan oleh pesawat pejuang Gripen itu.

Pada Mac lalu, Amerika Syarikat telah memaklumkan secara rasmi kepada Thailand bahawa ia menolak hasrat negara Asia Tenggara itu untuk membeli pesawat F-35 Joint Strike Fighter yang dibangunkan oleh firma pertahanan, Lockheed Martin.

Washington memberikan alasan negara bahawa Bangkok  “belum bersedia” untuk mengoperasikan pesawat canggih itu.

F-35
F-35A milik Tentera Udara Korea Selatan

 

Amerika Syarikat menyatakan bahawa Thailand tidak memiliki infrastruktur dan jaminan keselamatan untuk memiliki dan mengoperasikan pesawat itu.

Ia meliputi keselamatan pangkalan udara yang akan menempatkan pesawat F-35 itu, penyelenggaraan, juruterbang serta krew-krew yang terlibat dengan pengoperasian pesawat itu.

Sebaliknya Amerika Syarikat telah menawarkan kepada Thailand pesawat-pesawat pejuang lain untuk dipertimbangkan oleh negara itu bagi menggantikan pesawat F-35 itu.

Washington dikatakan telah menawarkan kepada Thailand, varian terkini F-16 Block 70 dan juga F-15 berkemunginan varian “EX” sebagaimana yang bakal dimiliki oleh Indonesia.

Bagaimanapun, setakat ini tiada respons daripada Thailand berkenaan tawaran Amerika Syarikat untuk menjual F-16 Block 70 atau F-15 itu.

Tahun lepas, RTAF mengesahkan bahawa ia sedang menaiktaraf pesawat-pesawat pejuang JAS-39 Gripen C/D miliknya ke konfigurasi MS20 bagi membolehkan pesawat kombat buatan syarikat Sweden  itu “lebih berbisa” dalam menangani pelbagai ancaman udara. 

Gripen
Sebuah pesawat JAS 39 Gripen C/D Tentera Udara Diraja Thailand dengan pesawat AEW “Erieye.”

 

Seorang pegawai kanan tentera udara negara itu mengesahkan kepada sebuah laman web pertahanan antarabangsa bahawa kerja-kerja menaiktaraf terhadap 11 buah pesawat pejuang pelbagai guna itu sedang berjalan dan dijangka selesai pada tahun 2025.

Kerja-kerja menaiktaraf pesawat Gripen Thailand kepada konfigurasi MS20 menelan belanja sebanyak US$21 juta (RM84 juta).

Saab Group enggan mengesahkan secara terperinci spesifikasi kerja-kerja menaiktaraf yang dilakukan terhadap pesawat-pesawat Gripen Thailand itu. 

Bagaimanapun, maklumat yang disiarkan oleh syarikat Sweden itu menyatakan bahawa kerja-kerja menaiktaraf pesawat pejuang Thailand kepada konfigurasi MS20 melibatkan peningkatan hardware dan software bagi memastikan pesawat itu mampu melaksanakan misi-misi udara-ke-udara, udara-ke-darat, Intelligence, Surveillance, Target Acquisition dan Reconnaissance (ISTAR).

Konfigurasi MS20 kepada pesawat Gripen Thailand itu juga akan meningkatkan sistem misi kombatnya.

Kertas Putih Tentera Udara Thailand 2020 menyatakan bahawa kerja-kerja menaiktaraf terhadap pesawat Gripen itu juga akan melibatkan Operational Flight Program (OFP) dan Operational Support Systems (OSS) pesawat pejuang itu.

Meteor
Peluru berpandu “Meteor BVRAAM”

 

Ini berkemungkinan melibatkan peningkatan kemampuan sistem pembidik sasaran untuk bom tidak dipandu dan bom dipandu laser.

Peningkatan kepada kemampuan udara-ke-udara juga bakal menyaksikan pesawat pejuang milik Thailand itu memiliki radar baru.

Selain itu, dibawah konfigurasi baru MS20 itu pesawat-pesawat Gripen Tentera Udara Thailand bakal memiliki kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) “Meteor” yang dibangunkan oleh firma pertahanan Eropah, MBDA.

Peluru berpandu BVR “Meteor” berkemampauan membedil sasaran udara dengan jarak melebihi 100km, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Saab Group, yang membangunkan pesawat pejuang itu.  — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...