Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

J-35A Dibangunkan Sebagai “Point Guard” Dalam Operasi Tempur Sistemik – Pereka J-35A

Dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC) di bawah AVIC, program J-35 dibina berdasarkan dua prinsip utama iaitu “konfigurasi berkembar udara-laut” dan “satu pesawat, pelbagai varian”, membolehkannya beroperasi dalam kedua-dua cabang udara dan laut dengan kecekapan logistik yang lebih tinggi.

0 1,690
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi kelima China, J-35A, kini muncul sebagai antara aset udara paling penting dalam strategi peperangan masa depan negara itu — dibangunkan untuk dihasilkan secara besar-besaran (mass production) dan bertindak sebagai ‘pengatur serangan’ atau “point guard” dalam operasi tempur sistemik.
Sejak penampilan sulungnya pada Pameran Udara China 2024 di Zhuhai, J-35A telah menarik perhatian antarabangsa, bukan sahaja kerana reka bentuknya, tetapi juga peranannya dalam doktrin baharu peperangan bersepadu yang berteraskan kawalan dan kepimpinan taktikal dari udara.
Model J-35A kini dijadualkan membuat kemunculan antarabangsa di Pameran Udara Paris ke-55, sekaligus memperkukuhkan imej China sebagai kuasa yang mampu membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dalam skala besar.
Dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC) di bawah AVIC, program J-35 dibina berdasarkan dua prinsip utama iaitu “konfigurasi berkembar udara-laut” dan “satu pesawat, pelbagai varian”, membolehkannya beroperasi dalam kedua-dua cabang udara dan laut dengan kecekapan logistik yang lebih tinggi.
Dalam satu wawancara eksklusif bersama Global Times, Wang Yongqing, ketua pereka J-35 menjelaskan bahawa pesawat pejuang itu direka khas untuk menyokong pengeluaran besar-besaran (mass productions), sejajar dengan keperluan negara untuk membentuk armada pesawat pejuang halimunan dalam skala besar yang boleh melaksanakan misi tempur dan kawalan pertempuran secara serentak.
“‘Konfigurasi berkembar udara-laut’ dan ‘satu pesawat, pelbagai varian’ untuk siri J-35 adalah program pembangunan yang kami laksanakan berdasarkan keperluan negara. Kami melaksanakannya secara konsisten mengikut pelan pembangunan yang dirancang,” jelas Wang.
Penampilan sulung J-35A di Zhuhai menandakan detik penting dalam pembangunan pesawat tempur China apabila ia mempamerkan nisbah tujahan-berat tinggi, keupayaan manuver yang lincah serta afterburner yang menghasilkan corak Mach Diamond di langit Zhuhai — simbol kuasa udara masa depan negara itu.
Mach Diamond (juga dikenali sebagai shock diamond atau Mach disk) ialah corak berjalur bercahaya yang kerap kelihatan dalam ekzos jet atau roket apabila gas panas keluar pada kelajuan supersonik.
J-35A
J-35A
Namun, kelebihan J-35A tidak terhenti pada reka bentuknya — ia sebenarnya dibina sebagai ‘komander udara’ yang mengkoordinasikan pelbagai sistem lain di medan tempur termasuk dron, pesawat amaran awal dan kawalan, kapal permukaan dan sistem peluru berpandu.
Wang mengibaratkan peranan J-35A sebagai “point guard” dalam permainan bola keranjang dan berkata: “J-35A bukan sahaja mempunyai keupayaan ‘menjaringkan gol’ yang mengagumkan, tetapi juga boleh menyelaras dengan berkesan aset-aset medan tempur lain dalam operasi bersama.”
Dengan integrasi avionik modular, penderia boleh ubah suai dan sistem misi yang berskala, reka bentuk J-35 membolehkan pengurangan kos pengeluaran seunit dan mempercepatkan proses dari pemasangan ke operasi.
“Banyak hasil penyelidikan kami boleh digunakan pada pelbagai varian — termasuk penderia, peralatan dalam pesawat dan sistem avionik,” katanya, merujuk kepada keberkesanan reka bentuk sejagat yang mempercepatkan pengeluaran berskala besar.
Reka bentuk silang-varian ini juga bertujuan menyeragamkan sistem armada, mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang, meminimumkan kepelbagaian alat ganti dan meningkatkan masa beroperasi semasa konflik.
Wang turut menekankan keutamaan keupayaan tempur dalam reka bentuknya, khususnya aspek kelebihan stealth, penyerapan radar serta kebolehan bersepadu dalam rangkaian sasar bantu AI dan perancangan misi pintar.
J-35A
J-35A
“Model pembangunan ini telah mengurangkan dengan ketara kos dan masa yang diperlukan dalam pembangunan pesawat tempur,” tambah beliau — satu pendekatan yang bukan sahaja memenuhi keperluan ketenteraan negara tetapi turut membuka ruang untuk eksport ke negara sahabat yang memerlukan pesawat generasi kelima pada harga mampu milik.
Dalam suasana ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di rantau Indo-Pasifik, khususnya melibatkan Taiwan, Laut China Timur dan Laut China Selatan, keupayaan J-35A untuk dihasilkan secara besar-besaran serta memainkan peranan utama dalam ‘pengatur  serangan’ memberikan Beijing kelebihan strategik dalam menguasai ruang udara dan peperangan bersepadu masa depan.
Falsafah operasinya seiring dengan konsep Barat seperti Joint All-Domain Command and Control (JADC2) dan Multi-Domain Operations (MDO), menjadikan J-35A bukan sekadar pesawat, tetapi satu platform inovasi tempur yang berhadapan dengan cabaran masa hadapan.
Ketika dunia bakal menyaksikan kemunculan antarabangsa J-35A di Paris, kehebatannya bukan sekadar pada bentuk luaran dengan ciri-ciri halimunan, tetapi pada apa yang diwakilinya — sebuah platform tempur berskala besar yang bertindak sebagai pusat kawalan dan arahan dalam era baharu kuasa ketenteraan.
Pendek kata, J-35A bukan sekadar bertempur — ia mengarah dan mengatur keseluruhan peperangan dari udara.
J-35A merupakan pesawat pejuang halimunan generasi kelima dua enjin yang dibangunkan sebagai sebuah platform berorientasikan eksport.
J-35A
J-35A
Pesawat pejuang J-35A direka sebagai alternatif berkos rendah kepada pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat, dengan rekabentuk yang menekankan ciri-ciri penyamaran radar, ruang simpanan senjata dalaman dan keupayaan pelbagai peranan secara sederhana.
J-35A memainkan peranan penting sebagai batu loncatan teknologi dalam usaha lebih luas China untuk memperhalusi konsep dan reka bentuk pesawat tempur generasi kelima.
Varian prototaip awal J-35A dipercayau dilengkapi enjin RD-93 buatan Russia—yang turut digunakan pada pesawat JF-17—namun versi kemudiannya dilaporkan menggunakan enjin WS-13E buatan China bagi meningkatkan prestasi keseluruhan.
J-35A merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh China untuk memodenkan kekuatan tenteranya dan mencabar dominasi udara yang sekian lama dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Pesawat ini menggunakan konfigurasi dwi-enjin dan satu tempat duduk serta direka bentuk khusus untuk mengurangkan kebolehkesanan pengesanan radar (low observability), integrasi penderia canggih dan peperangan berasaskan rangkaian (networked warfare).
J-35A
Perbandingan antara J-35A (atas) dengan F-35 (bawah) buatan Amerika Syarikat.
J-35A berfungsi sebagai “penyelaras” utama dalam rangkaian pertahanan udara, dengan keupayaan untuk mengunci sasaran, berkongsi data secara langsung dengan sistem lain seperti peluru berpandu darat ke udara, dan membimbing senjata ke arah sasaran untuk menumpaskan ancaman, termasuk pesawat musuh berteknologi halimunan (stealth) dan peluru berpandu kruis.
Pembangunan pesawat ini mencerminkan matlamat strategik China untuk membina armada pesawat pejuang halimunan yang berkuasa, mampu milik dan boleh dikerahkan secara besar-besaran, sebagai pengganti kepada pesawat-pesawat lama seperti J-7, J-8 dan J-10.
— DFEENCE SECURITY ASIA

Leave a Reply