Israel Lipat Ganda Usaha Melobi Amerika Syarikat Untuk Halang Turkiye Miliki Pesawat Pejuang F-35
Israel dan Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu tidak mahu melihat Turkiye memperolehi pesawat pejuang F-35 itu dan salah satu tujuan kunjungannya ke Washington untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio baru-baru ini turut membawa agenda itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Israel dilaporkan telah menggandakan lagi usaha-usaha melobinya untuk menghalang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump daripada menjual pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II buatan syarikat Lockheed Martin kepada Turkiye.
Israel dan Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu tidak mahu melihat Turkiye memperolehi pesawat pejuang F-35 itu dan salah satu tujuan kunjungannya ke Washington untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Setiausaha Negara Marco Rubio baru-baru ini turut membawa agenda itu.
Menurut sumber-sumber diplomat Barat sebagaimana dipetik oleh portal berita Middle East Eye, Israel tidak mahu Turkiye mengoperasikan F-35 disebabkan hubungan kedua-dua negara yang semakin tegang disebabkan isu di Syria.
“Netanyahu telah membangkitkan isu penjualan pesawat pejuang F-35 dalam beberapa panggilan telefon dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio pada bulan Mac dan April. Perdana Menteri Israel juga telah mendesak Rubio supaya meneliti semula penjualan senjata berkenaan.”
“Difahamkan, Netanyahu secara peribadi menyatakan hasratnya untuk menekan Donald Trump agar menolak penjualan F-35 itu,” menurut portal berita itu.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebelum ini dilaporkan bersedia menimbangkan semula penjualan pesawat pejuang F-35 Lightning II kepada Turkiye selepas mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya daripada Turkiye, Recep Tayyep Erdogan baru-baru ini.
Presiden Amerika Syarikat itu dikatakan akan berusaha bagi meneruskan penjualan pesawat pejuang generasi kelima itu kepada Turkiye, sekiranya kedua-dua pihak, Washington dan Ankara boleh mencapai persetujuan yang akan melihat Turkiye “mendiamkan” (silenced) sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia miliknya.

Washington telah mengenakan sekatan CAATSA selepas Ankara membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia, yang dilihat bertentangan dengan kepentingan keselamatan NATO dan Amerika.
CAATSA ialah singkatan kepada Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act, iaitu Akta Menangani Musuh Amerika Syarikat Melalui Sekatan.
Sebagai tindak balas, Turkiye dikeluarkan daripada program pesawat pejuang generasi kelima F-35, dan dikenakan sekatan ke atas industri pertahanannya, termasuk pembekuan aset dan sekatan visa terhadap beberapa pegawai Turkiye.
Malah, enam buah pesawat F-35 milik Turkiye telah pun siap dibina di Amerika Syarikat, tetapi kini tersadai di hangar di negara itu, disebabkan keputusan Washington mengenakan sekatan ketenteraan terhadap Ankara.
Sebelum itu, Turkiye telah menandatangani kontrak untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35.
Menghalang penjualan F-35 kepada Turkiye juga adalah selaras dengan usaha untuk mengekalkan Qualitative Military Edge (QME) yang dimiliki oleh tentera Israel berbanding dengan angkatan-angkatan tentera negara-negara jirannya termasuk Turkiye.
Sebarang usaha negara-negara jiran Israel untuk memiliki senjata-senjata canggih terutamanya pesawat pejuang dan peluru berpandu kerapkali menerima bantahan Israel dan pelobi-pelobinya diatas alasan untuk mengekalkan kelebihan kualitatif ketenteraaan Israel berbanding negara-negara jirannya.

Dan Amerika Syarikat serta sekutunya akan menuruti segala permintaan Israel dalam isu QME ini, sebagaimana dialami oleh Mesir, dimana permintaanya untuk memiliki peluru berpandu udara-ke-udara Meteor BVRAAM and AIM-120 AMRAAM untuk melengkapkan pesawat-pesawat pejuang Rafale dan F-16 juga tidak dilayan oleh Washington atas desakan Tel Aviv untuk mengekalkan QME itu.
Disebabkan dasar untuk mengekalkan kelebihan ketenteraan Israel ini jugalah, usaha beberapa negara Arab Teluk yang mempunyai hubungan rapat dengan Washington untuk memiliki pesawat pejuang F-35 juga sehingga kini gagal, walaupun mereka berkemampuan untuk memiliki ratusan pesawat pejuang generasi kelima itu.
Hubungan di antara Turkiye dan Israel akhir-akhir ini amat tegang disebabkan isu Syria, dengan Tel Aviv berkeras enggan membenarkan Ankara mewujudkan sebarang pangkalan tentera di negara Arab itu yang baru sahaja bebas daripada cengkaman berdekad lamanya daripada pemerintahan keluarga Assad.
Beberapa hari lalu, pesawat-pesawat pejuang Israel telah mengebom pangkalan udara di Syria terutamanya T-4 di Tiyas,Wilayah Homs yang Turkiye mahu mengambilalihnya untuk mewujudkan pengkalan tenteranya.
Tindakan Israel mengebom pangkalan-pangkalan udara di Syria itu yang Turkiye cadang untuk ambilalih itu telah meningkatkan lagi ketegangan di antara Ankara dan Tel Aviv.
Pengambilalihan pangkalan udara di Syria oleh Turkiye untuk dijadikan pangkalan anggota tenteranya merupakan sebahagian daripada perjanjian ketenteraan yang dimeterai oleh kedua-dua negara selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad beberapa bulan lalu.

Sejak beberapa minggu lalu, Turkiye dikatakan telah menghantar pegawai-pegawai tenteranya untuk meninjau tiga buah pangkalan udara di Syria di T4 dan Palmyra yang terletak di wilayah Homs serta lapangan terbang di wilayah Hama untuk dijadikan penempatan untuk anggota tenteranya.
Pasukan dari Turkiye telah menilai keadaan landasan, hangar serta infrastruktur lain di pangkalan-pangkalan udara tersebut, menurut seorang pegawai perisikan serantau.
Namun, belum sempat Turkiye mengambilalih pangkalan udara di Syria itu terutamanya T4 di wilayah Homs itu, pesawat-pesawat pejuang Israel telah mengebomnya bagi menghalang niat Ankara daripada bertapak di negara Arab itu.
“Dalam beberapa jam yang lalu, tentera Israel telah melancarkan serangan terhadap keupayaan ketenteraan yang masih wujud di pangkalan tentera Syria di Hama dan T4, serta beberapa lokasi infrastruktur ketenteraan lain di kawasan Damsyik.”
“IDF akan terus menjalankan operasi bagi menyingkirkan sebarang ancaman terhadap keselamatan orang awam Israel, ” menurut kenyataan tentera Israel menerusi platform Telegram miliknya.
Serangan oleh pesawat-pesawat pejuang Israel itu telah memusnahkan landasan, menara kawalan, hangar dan pesawat-pesawat pejuang (milik Tentera Udara Syria) di pangkalan-pangkalan udara berkenaan.

“Ia merupakan mesej tegas bahawa Israel tidak akan menerima kehadiran Turkiye yang semakin meluas,” kata pegawai perisikan yang telah meneliti gambar-gambar kerosakan tersebut.
Sumber Syria yang rapat dengan Turkiye memaklumkan kepada Reuters bahawa “(Pangkalan Udara) T4 kini langsung tidak boleh digunakan (akibat daripada serangan udara oleh pesawat-pesawat pejuang Israel).
Kementerian Luar Turkiye menyifatkan Israel sebagai “ancaman terbesar terhadap keselamatan serantau.”
Ankara dilaporkan bercadang menjadikan pangkalan udara T4 itu sebagai kemudahan penempatan untuk unit dron miliknya serta hab hadapan pertahanan udara.
Turkiye dilaporkan akan menempatkan sistem pertahanan udara Hisar — berkemungkinan Hisar-O atau Hisar-U yang dibangunkan oleh industri pertahanan tempatannya — bagi melindungi Pangkalan T4 di wilayah Homs itu daripada sebarang ancaman serta menguasai ruang udara di sekitarnya.
Negara Mediterranean itu turut merancang untuk membangunkan rangkaian pertahanan udara berlapis, yang mungkin merangkumi Hisar-O+, Hisar-RF dan sistem jarak jauh Siper, semuanya dibangunkan oleh syarikat pertahanan tempatan, Aselsan dan Roketsan.

Selain itu, Turkiya juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menempatkan sistem pertahanan udara jarak jauh buatan Russia, S-400 di Pangkalan Udara T4 di Syria itu, tetapi ia tertakluk kepada kelulusan Russia.
Jika diluluskan oleh Russia, Turkiye bakal mengaktifkan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia miliknya buat pertama sejak ia perolehinya.
Turkiye turut merancang untuk menempatkan dron-dron yang dilengkapi keupayaan risikan, pemantauan dan serangan (ISR) di Pangkalan Udara T4 di Syria itu bagi memperkukuh peranan pengawasan dan pertahanan.
Dari segi strategik, penempatan anggota tentera dan aset-aset tentera Turkiye di pangkalan udara di Syria itu adalah bertujuan untuk:
. Menyekat serangan udara Israel, terutamanya selepas kejatuhan rejim Assad;
-
Membanteras saki-baki kumpulan militan ISIS di rantau tersebut;
-
Mengukuhkan kehadiran ketenteraan serantau berikutan kemerosotan pengaruh Iran dan Russia.
Kehadiran sistem pertahanan udara dan dron milik Turkiye berkemungkinan besar akan menghalang Israel daripada melancarkan serangan udara di kawasan berkenaan.
Israel melihat kehadiran tentera Turkiye di Syria sebagai satu ancaman, namun Ankara berpendirian bahawa langkah itu mampu menstabilkan negara berkenaan dengan menggunakan kekuatan tenteranya bagi mengisi kekosongan kuasa susulan pengunduran Russia dan Iran.
