Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pasukan TUDM Kini Di Turkiye Untuk Perolehan UAS-MALE “Anka”

Perolehan sistem UAS-MALE “Anka” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) serta pesawat peronda maritime ATR 72MP oleh Leonardo telah dimaklumkan oleh bekas Menteri Pertahanan Oktober lepas. Malaysia akan memperolehi dua buah pesawat peronda maritim dan tiga buah sistem UAS-MALE "Anka."

0 5,264

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Satu pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah pun berada di Turkiye pada minggu ini untuk melihat dengan lebih teliti kontrak perolehan sistem pesawat tanpa pemandu-jarak sederhana (Unmanned Aerial System-Medium Altitude Long Endurance UAS-MALE) “Anka” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional BERNAMA hari ini, Panglima TUDM Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, pasukan TUDM itu juga melihat lebih dekat pesawat tanpa pemandu itu.

“Pesawat MALE-UAS yang kita akan beli atau menandatangani LOA adalah dari jenis Anka dari Turkiye. Pada minggu ini pasukan TUDM telah berada di Turkiye untuk melihat pengurusan aspek kontrak dan pesawat berkenaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir untuk menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM 2022 di Pangkalan Udara Sendayan hari ini.

Keperluan sistem UAS-MALE menurut beliau, adalah sangat penting untuk TUDM dalam usahanya untuk melaksanakan misi risikan, pengawasan dan tinjauan (Intelligence, Surveillance and Reconnaisance ISR) di kawasan operasi yang telah diperluaskan.

Anka
“Anka” pada pameran DSA 2022 baru-baru ini.

 

Dalam Kertas Putih Pertahanan, kawasan operasi telah diperluaskan iaitu di luar kawasan territory water sehinggalah ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) yang memerlukan pengawasan ketat menerusi pengoperasian pesawat peronda maritime atau pesawat tanpa pemandu UAS-MALE.

Perolehan sistem UAS-MALE “Anka” yang dibangunkan oleh TAI serta pesawat peronda maritim ATR 72MP oleh Leonardo telah dimaklumkan oleh bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein pada Oktober lepas.

Malaysia akan memperolehi dua buah pesawat peronda maritim dan tiga buah sistem UAS-MALE “Anka”.

Hishammuddin mengesahkan perolehan kedua-dua aset itu dalam siri ciapannya menerusi akaun Twitter.

MPA
Pesawat Peronda Maritim (MPA) “ATR 72MPA” yang dibangunkan oleh syarikat Leonardo.

 

“Aset baharu @tudm_rasmi. Untuk perolehan dua (2) buah MPA, Kerajaan telah bersetuju dengan tawaran oleh syarikat Leonardo. Manakala bagi perolehan tiga (3) unit MALE-UAS, Kerajaan telah memutuskan untuk berkontrak dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI).”

“Bagi perolehan MPA & MALE-UAS untuk @tudm_rasmi, @MOFmalaysia telah muktamad kedua-dua tender terbuka antarabangsa,” kata Hishammuddin di dalam ciapannya itu.

Menurut Panglima TUDM itu lagi, pihaknya telah menandatangani Surat Setuju Terima (LOA) bagi pesawat MPA dan UAS-MALE pada 25 Okt lepas dan kini dalam proses rundingan harga serta tindakan selanjutnya.

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Mengenai cadangan perolehan pesawat pejuang ringan (Light Combat Aircraft-Fighter Lead In Trainer LCA-FLIT),  beliau berkata, perolehan LCA-FLIT sudah berada di Kementerian Kewangan dan pihaknya sedang menunggu keputusan mengenainya.

Panglima TUDM itu berkata, proses perolehan aset-aset baru bagi TUDM tidak akan tertangguh walaupun kerajaan kini dipimpin oleh gabungan parti-parti politik yang berlainan. — DSA

 

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

Comments
Loading...