Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Mula Operasi Sistem Pertahanan Udara Jarak Dekat Generasi Baru “9 Dey”

Dibangunkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (Angkatan Aeroangkasa), sistem pertahanan udara jarak dekat dan altitud rendah terbaru Iran "9 Dey" diaktifkan ketika negara Parsi itu berhadapan dengan ancaman serangan besar-besaran daripada Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat selepas insiden pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

0 908

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Iran dilaporkan telah mula mengoperasikan sistem pertahanan udara jarak dekat dan altitud rendah generasi terbarunya dipanggil “9 Dey”, yang hanya membuat kemunculan pertamannya pada latihan tentera “Defenders of the Sky of Velayat” tahun 2023.

Dalam latihan tentera pada 2023 itu, sistem pertahanan udara jarak dekat terbaru Iran itu berjaya memintas dan memusnahkan beberapa sasaran udara, sekaligus membuktikan keberkesanannya dan ketepatannya dalam menangani ancaman udara.

Ujian pelancaran sistem pertahanan udara jarak dekat “9 Dey” pada latihan tentera tersebut dilakukan dalam suasana sistem peperangan elektronik yang hebat.

Dibangunkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (Angkatan Aeroangkasa), sistem pertahanan udara jarak dekat dan altitud rendah terbaru Iran “9 Dey” diaktifkan ketika negara Parsi itu berhadapan dengan ancaman serangan besar-besaran daripada Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat selepas insiden pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

Ia berkemampuan menembak jatuh pelbagai sasaran udara yang terbang pada altitud rendah termasuk dron, helikopter, pesawat pejuang dan peluru berpandu kruis pada jarak di antara 5 hingga 30km dan 20km daripada segi altitud.

9 Dey
“9 Dey”

 

 

 

Radar milik sistem pertahanan udara jarak dekat “9 Dey” Iran itu dilapor berkemampuan mengesan dan menangani pelbagai sasaran secara serentak, memberikannnya keupayaan amaran awal dan pemintasan.

Sistem pertahanan udara jarak dekat ini diintergrasikan juga dengan sistem pertahanan udara sedia ada Iran termasuk “Khordad 15”, untuk mewujudkan jaringan sistem pertahanan udara berlapis (layered air defence network) yang berkesan untuk menangani ancaman terhadap kedaulatan ruang udara Iran.

“9 Dey” menggunakan kenderaan 6×6 yang sama sebagaimana sistem pertahanan udara “Sevom Khordad” yang merupakan sistem pertahanan udara jarak jauh Iran.

Walaupun menggunakan kenderaan 6×6 yang sama, tetapi konfigurasi peluru berpandu (interceptor) kedua-dua sistem pertahanan udara itu adalah berlainan.

Kenderaan pelancar bagi sistem pertahanan udara jarak jauh “Sevom Khordad” dilengkapi dengan tiga peluru berpandu manakala bagi kenderaan pelancar “9 Dey” pula, ia dilengkapi dengan lapan peluru berpandu yang diletakkan dalam empat kontena (containerised).

Khordad
Sistem pertahanan udara “3rd (Sevom) Khordad”

 

Kelapan-lapan peluru berpandu sistem pertahanan udara “9 Dey” itu bersedia untuk dilancarkan pada bila-bila masa.

Pada masa yang sama, sistem pertahanan jarak dekat terbaru Iran itu juga diintergrasikan dengan radar pengesan S-Band bagi meningkatkan lagi kemampuannya untuk mengesan dan menangani sasarannya.

Radar pengesan S-Band milik “9 Dey” adalah hampir sama dengan radar pengesan S-Band milik sistem pertahanan udara jarak jauh “Sevom Khordad” yang diletakkan di bahagian hadapan kenderaan pelancar 6×6 itu bagi meningkatkan lagi kemampuannya untuk mengesan dan menjejaki sasaran udara.

Radar pengesan S-Band itu sememangnya direkabentuk untuk mengesan dan menjejaki sasarannya, memberikan data-data kritikal kepada peluru berpandu itu untuk menangani sasarannya.

Beroperasi dalam lingkungan frekuensi 2 hingga 4GHz, radar pengesan S-Band yang menggunakan teknologi Phased Array itu memberikannya kemampuan pengesan sasaran udara sehingga ke jarak sejauh 150km.

Radar pengesan S-Band milik sistem pertahanan udara “9 Dey” itu juga dilaporkan memiliki ketahanan yang tinggi terhadap serangan peperangan elektronik dan countermeasured oleh musuh-musuh. — DSA

Comments
Loading...