Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Dedah Kereta Kebal M60 Telah Dinaiktaraf, Dinamakan “Soleiman-402”

Kereta-kereta kebal M60 milik tentera Iran yang telah menjalani kerja-kerja naiktaraf yang komprehensif itu dikenali dengan nama baru, Soleiman-402.

0 5,688

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Iran mengumumkan bahawa kereta-kereta kebal M60 buatan Amerika Syarikat diwarisinya daripada pemerintahan terdahulu telah dinaiktaraf dan mula memasuki perkhidmatan angkatan tentera negara itu.

Kereta-kereta kebal M60 milik tentera Iran yang telah menjalani kerja-kerja naiktaraf yang komprehensif itu dikenali dengan nama baru, Soleiman-402.

Iran mewarisi kira-kira 150 hingga 200 buah kereta kebal M60 yang diperolehinya daripada Amerika Syarikat ketika negara Parsi itu ditadbir oleh kerajaan pro-Barat Shah Iran.

Majlis mendedahkan kereta kebal M60 yang telah dinaiktaraf itu berlangsung Pusat Tentera Darat Shahid Zarharan semalam dan dihadirin oleh Panglima Tentera Darat Mejar Jeneral Seyed Abdul Rahim Mousavi.

Media-media Iran telah menyiarkan gambar-gambar kereta kebal M60 yang dinaiktaraf itu, yang rekabentuknya adalah amat berlainan berbanding sebelumnya.

Iran

Berdasarkan kepada gambar-gambar itu, kereta kebal Soleiman-402 itu dilengkapi dengan peralatan dan komponen moden seperti armor baru yang lebih berdaya tahan, targeting sights yang baru, sistem jammer baru seperti SHTORA, sistem komunikasi baru dan Remote Control Weapon System (RCWS).

Menuut Brigadier Jeneral Koumars Heydari, kesemua kereta-kereta kebal M60 yang masih dimiliki oleh tentera darat Iran akan dinaiktaraf ke tahap Soleiman-402.

Pada mulanya, Iran memiliki sekitar 460 buah kereta kebal M60 diperolehi daripada Amerika Syarikat ketika negara itu diperintah Shah Iran, tetapi bilangan kereta kebal itu menurun kepada sekitar 150 hingga 200 buah akibat rosak dan musnah dalam pertempuran.

Kerajaan Iran pimpinan Shah Iran yang pro kepada Barat memperolehi kereta-kereta kebal buatan Amerika Syarikat seperti M60 dan juga Chieftain buatan Britiain dalam usahanya untuk memodenkan pasukan armor Iran.

Bagaimanpun selepas kejatuhan Shah Iran, negara itu telah dikenakan sekatan ekonomi dan ketenteraan daripada negara-negara Barat yang menyebabkan Iran sukar mendapatkan alat ganti untuk memperbaiki kereta kebal M60 buatan Amerika Syarikat.

Iran

Selepas itu Iran telah bertindak menaiktaraf kereta-kereta kebal barunya serta membangunkan kereta-kereta kebal baru seperti Zulfiqar dan Karrar.

Selepas satu dekad dibangunkan, Tentera Darat Iran akhirnya mula menerima kereta kebal utama terbarunya “Karrar” untuk dintergrasikan ke dalam unit-unit armornya pada Disember tahun lepas.

Kereta kebal utama “Karrar” Iran seberat 51 tan yang menyerupai seperti kereta kebal utama T-90 milik Russia tu dibangunkan sepenuhnya oleh industri pertahanan negara itu dengan menggunakan kereta kebal utama T-72 Russia sebagai asas pembangunannya.

Bagaimanapun, kereta kebal utama terbaru Iran itu menggunakan turret yang berlainan berbanding T-72.

Menurut pegawai kanan tentera Russia, rekabentuk kereta kebal utama “Karrar” itu adalah hampir sama kepada varian termaju kereta kebal T-90MS Russia tetapi dalam masa yang sama turut menggunakan ciri-ciri yang terdapat pada kereta kebal Abrams buatan Amerika Syarikat dan Challenger buatan Britain.

Pada Disember tahun lepas, beberapa keping gambar aplikasi media sosial “Iran Defense” menunjukkan lima buah kereta kebal “Karrar” sedang diangkut oleh kenderaan pengangkut Volvo FH-16 menuju ke Wilayah Khuzestan yang merupakan ibu pejabat Divisyen Armor ke-92 Tentera Darat Iran.

Iran

Kereta kebal utama “Karrar” mula dipertontonkan kepada orang awam pada 2016 dan setahun selepas itu pada 2017, Menteri Pertahanan Iran ketika itu Brig Jen Hossein Deghan telah merasmikan kemudahan pembinaan kereta kebal itu di Kompleks Industri Armor Bani-Hashem di Wilayah Dorud, Lorestan.

Anggota tentera darat Iran yang dikenali dengan nama “Nezaja” dilaporkan telah menerima lima buah kereta kebal utama terbaru itu, walaupun variannya adalah berlainan berbanding varian kereta kebal “Karrar” yang digunakan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

Kereta kebal utama “Karrar” yang digunakan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dilengkapi dengan Remote Control Weapon System (RCWS) bersenjatakan mesingan 12.7mm, manakala kereta kebal “Karrar” yang digunakan oleh Nezaja tidak memiliki RCWS.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dilaporkan bakal memiliki kira-kira 800 buah kereta kebal utama “Karrar” itu. — DSA

Comments
Loading...