Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Berang Dengan Penahanan CEO Telegram, UAE Batal Kontrak Beli 80 Buah Rafale???

Antara spekulasi yang paling hangat diperkatakan pada ketika ini adalah dakwaan menyatakan bahawa UAE berang dengan penahanan warganya (Durov) yang berprofil tinggi telah bertindak tegas dengan membatalkan kontrak pembelian 80 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis.

16,386

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Perancis memiliki hubungan ketenteraan yang erat, bagaimanapun, hubungan yang rapat itu terjejas dan bertukar menjadi tegang susulan penahanan pengasas dan ketua pegawai eksekutif Telegram Pavel Durov oleh pihak berkuasa Perancis baru-baru ini.

Walaupun dilahirkan di Russia, tetapi Durov memegang kerakyatan UAE dan beberapa negara lain termasuk Perancis, Russia, dan negara kepulauan Russia, St Kitts and Nevis.

Kementerian Luar UAE dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan bahawa ia mengikuti rapat kes membabitkan Durov dan telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa Perancis supaya memberikan perkhidmatan consular kepada pengasas Telegram itu secepat mungkin.

“Memelihara kepentingannya (Durov), mengambil tahu hal-ehwalnya dan memberikan beliau segala penjagaan yang diperlukan adalah kepentingan utama kepada UAE, “ menurut kenyataan oleh Kementerian Luar UAE.

Sementara itu, Presiden Perancis Emmanuel Macron menafikan penahanan Durov itu bermotifkan politik tetapi menegaskan ia merupakan siasatan bebas.

Rafale
“Rafale”

 

Penahanan pengasas Telegram itu telah menimbulkan banyak spekulasi membabitkan hubungan di antara UAE dan Perancis, bukan sahaja di dalam bidang diplomatik tetapi itu termasuk di dalam sektor ketenteraan.

Antara spekulasi yang paling hangat diperkatakan pada ketika ini adalah dakwaan menyatakan bahawa UAE berang dengan penahanan warganya (Durov) yang berprofil tinggi telah bertindak tegas dengan membatalkan kontrak pembelian 80 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis.

Dakwaan tentang pembatalan kontrak pembelian 80 buah pesawat pejuang Rafale bernilai US$18 billion (RM77 billion) oleh UAE akibat penahanan Durov itu dikesan bermula daripada satu posting di dalam media sosial X (dahului dikenali sebagai Twitter) beberapa hari lalu.

Kontrak pembelian pesawat Rafale oleh UAE itu telah ditandatangani pada  2021 dan ia adalah kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah negara Eropah itu.

Hasil siasatan daripada France Info dan beberapa badan yang lain mendapati bahawa laporan dan dakwaan pembatalan kontrak pembelian pesawat Rafale oleh UAE itu adalah tidak berasas dan kontrak itu masih berjalan seperti biasa.

UAE dijangka mula menerima pesawat-pesawat pejuang Rafale itu pada 2027 sehingga 2032.

Leclerc
Kereta kebal Leclerc buatan Perancis milik UAE

 

Selain memperolehi pesawat pejuang Rafale, Tentera Udara UAE juga pernah memiliki pesawat pejuang Mirage juga keluaran Perancis.

Angkatan Tentera UAE juga merupakan di antara pengguna kereta kebal “Leclerc” keluaran firma pertahanan Perancis.

Tentera Udara Perancis juga mempunyai sebuah pangkalan udara di Abu Dhabi, UAE yang dioperasikannya sejak 2009 dinamakan “Peace Camp”.

Ia menempatkan skuadron pesawat pejuang Rafale di pangkalan udara di UAE itu. — DSA

 

 

Comments
Loading...