Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran dan Pakistan Perkukuh Hubungan Strategik Pertahanan, Pembuatan Bersama Senjata

Menurut pemerhati pertahanan, kenyataan disuarakan oleh Ketua Staf Angkatan Tentera Iran itu menggambarkan hasrat kedua-dua negara berjiran itu untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan dalam menangani cabaran keselamatan dan pertahanan semasa.

0 211
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semasa lawatannya ke Islamabad baru-baru ini,Ketua Staf Angkatan Tentera Iran Mej Jeneral Mohammad Hossein Bageri mengulangi hasrat negara itu untuk memperkukuhkan hubungan strategiknya dengan Pakistan menerusi pembuatan bersama aset-aset pertahanan.
Kenyataan Bageri itu telah dilaporkan oleh agensi berita Iran, Tasnim News tidak lama selepas beliau bertemu dengan Panglima Tentera Darat Pakistan Jeneral Asim Munir.
Menurut pemerhati pertahanan, kenyataan disuarakan oleh Ketua Staf Angkatan Tentera Iran itu menggambarkan hasrat kedua-dua negara berjiran itu untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan dalam menangani cabaran keselamatan dan pertahanan semasa.
Semasa pertemuan dengan Asim Munir itu, Jeneral Bageri menekankan kepentingan tentang kerjasama rapat dan perkongsian perisikan untuk memerangi kumpulan pengganas yang bergerak di sempadan kedua-dua negara.
Beliau memuji usaha Pakistan memerangi kumpulan pengganas dikenali dengan nama Jaish al-Adl dan menekankan peri-pentingnya rondaan bersama di kawasan sempadan dan latihan tentera bersama untuk memperbaiki keadaan keselamatan di beberapa kawasan sensitif seperti di Wilayah Sistan dan Balochistan.

Iran

Kerjasama ketenteraan antara Iran dan Pakistan melangkaui usaha memerangi keganasan.
“”Kita telah menyaksikan peristiwa-peristiwa penting di rantau ini sepanjang tahun lalu, di mana Iran dan Pakistan, sebagai dua negara Islam, terletak di kawasan sensitif Asia Barat dan Asia Selatan.”
“Hubungan antara angkatan tentera Iran dan Pakistan semakin berkembang, dan kami telah mencapai beberapa persetujuan yang baik,” kata Jeneral Bageri.
Jeneral Baqeri telah mencadangkan latihan bersama tentera laut untuk memperkukuh keselamatan maritim dan menunjukkan pengaruh di peringkat serantau.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan strategik dalam kalangan negara Islam utama, termasuk Iran, Pakistan, Turkiye, dan Arab Saudi, bagi kestabilan rantau ini serta menangani cabaran politik dan keselamatan yang kompleks.
Pendekatan ini menonjolkan keperluan untuk memperkukuh solidariti antara pihak-pihak ini bagi menghadapi isu geopolitik serantau dengan lebih berkesan.
Lawatan Jeneral Baqeri ke Islamabad memperkukuh sejarah kerjasama pertahanan dua hala antara Iran dan Pakistan.
Pada tahun 2018, perbincangan serupa menghasilkan komitmen untuk membangunkan projek pertahanan bersama.
Perjanjian yang ditandatangani antara Menteri Pertahanan Iran, Brigedier Jeneral Amir Hatami, dan Menteri Pertahanan Pakistan, Rana Tanveer Hussain, merangkumi peningkatan latihan ketenteraan, perkongsian risikan, dan keselamatan sempadan.
 Walaupun usaha ini menghadapi kekangan akibat tekanan antarabangsa, ia mencerminkan usaha konsisten kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama mereka.
Bageri
Mejar Jeneral Mohammad Bageri
Semasa lawatan tersebut, Jeneral Baqeri turut bertemu Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, bagi membincangkan cara memperdalam kerjasama strategik.
Perbincangan itu menekankan komitmen kedua-dua negara dalam menangani cabaran berkaitan sempadan, termasuk kumpulan bersenjata dan ancaman keselamatan yang berterusan.
Pendekatan pragmatik ini mencerminkan niat bersama untuk menangani isu-isu segera sambil meletakkan asas bagi kerjasama yang mampan.
Lawatan ini menandakan kunjungan ketiga Jeneral Bagheri ke Pakistan, selepas lawatannya pada Julai 2018 dan Oktober 2021.
Tahun lalu, Jeneral Munir telah melakukan lawatan rasmi ke Tehran, di mana beliau bertemu dengan Jeneral Bagheri serta pegawai tentera dan awam Iran yang lain.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Leave A Reply

Your email address will not be published.