Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Bina Lebih Banyak Kompleks Radar Over-The-Horizon (OTH), Platform Amaran Awal Terhadap Serangan Musuh

Kompleks-kompleks radar OTH milik Iran itu berfungsi sebagai platform amaran awal kepada pihak tentera Iran daripada serangan pihak musuh.

0 9,940
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran dilaporkan meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi sistem pertahanan udaranya sebagai persediaan berhadapan kemungkinan serangan Amerika Syarikat, dengan membina lebih banyak kompleks-kompleks radar Over-The-Horizon (OTH) di beberapa lokasi di negara itu.
Kompleks-kompleks radar OTH milik Iran itu berfungsi sebagai platform amaran awal kepada pihak tentera Iran daripada serangan pihak musuh.
Pada akhir Mac lalu, dilaporkan bahawa Iran telah mengaktifkan radar OTH Ghadir miliknya yang ke-sembilan yang dikatakan mempunyai jarak pengesanan sangat jauh iaitu kira-kira 1,100km.
Ia adalah sebahagian daripada jaringan keupayaan tentera Iran untuk mengesan ancaman daripada pesawat-pesawat pejuang halimunan dan peluru berpandu ballistik pihak musuh.
Sumber terbuka turut menyatakan bahawa tentera Iran telah membina dua buah radar OTH Ghadir di bahagian selatan negara itu, bertujuan untuk mengawasi Teluk Parsi dan Selat Hormuz serta mengelaknya daripada dijadikan laluan untuk aset musuh menyerang Iran.
Iran juga dilaporkan telah selesai membina kompleks radar OTH Ghadir di bahagian utara Tabriz, dipercayai berhampiran sebuah kompleks peluru berpandu bawah tanah milik tentera negara itu yang sudah pasti akan menjadi sasaran serangan udara sama ada oleh Amerika Syarikat atau Israel.
 Selain itu terdapat juga laporan menyatakan bahawa tentera Iran sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan pembinaan radar OTH baru yang lebih canggih berbanding sistem Ghadir OTH.
Iran
Radar OTH Iran
Radar baru OTH itu dilaporkan bakal dibina berhampiran Shiraz, dengan struktur yang lebih tinggi serta dilengkapi lebih banyak tiang antenna dan telah menjalani pelbagai ujian sejak tahun 2022.
Pada Januari lalu,  Iran dilaporkan telah mengaktifkan operasi radar OTH di kawasan tinggi di barat negara itu di Wilayah Gilan untuk memantau ruang udara Azerbaijan dan kawasan timur Turkiye.
Radar OTH Nazir itu dikatakan berkeupayaan mengesan dan menjejak sebarang objek di udara sejauh 800km.
Kerahan radar OTH berkuasa tinggi itu menunjukkan perubahan dasar Iran terhadap kerajaan Azerbaijan yang dipimpin oleh Ilham Aliyev, yang diketahui mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Turkiye dan Israel terutamanya di dalam bidang keselamatan dan pertahanan.
Sebelum itu terdapat dakwaan bahawa Israel telah menggunakan ruang udara Azerbaijan untuk melancarkan serangan peluru berpandu atau pesawat pejuang terhadap beberapa kedudukan penting tentera di Iran termasuk aset-aset pertahanan udaranya.
Radar Over-the-Horizon (OTH) merupakan sistem radar berkeupayaan tinggi yang mampu mengesan dan menjejak objek atau sasaran dari jarak ribuan kilometer, jauh melangkaui garisan ufuk (line of sight) biasa.
Iran
Radar OTH Iran
Berbeza dengan radar konvensional yang hanya boleh mengesan sasaran dalam jarak pandangan langsung, radar OTH menggunakan pantulan gelombang radio melalui ionosfera untuk ‘melihat’ sasaran di luar lengkungan bumi.
Radar Over-the-Horizon (OTH) menawarkan beberapa kelebihan strategik yang menjadikannya komponen penting dalam sistem pertahanan sesebuah negara.
Antara kelebihan utamanya ialah keupayaan mengesan sasaran pada jarak yang sangat jauh, sehingga mencecah 3,000 kilometer, bergantung kepada reka bentuk radar dan keadaan atmosfera semasa.
Ini membolehkan pemantauan ruang udara dan permukaan laut dilakukan jauh melangkaui garisan ufuk.
Sistem ini juga memberikan kelebihan dari segi pengesanan awal ancaman, termasuk peluru berpandu balistik, peluru berpandu hipersonik, pesawat pengebom strategik, serta kapal permukaan musuh sebelum ia menghampiri kawasan pertahanan.
Selain itu, radar OTH mampu meliputi kawasan geografi yang amat luas, termasuk laluan maritim strategik dan ruang udara jauh dari sempadan negara.
Iran
Lingkungan radar OTH Iran
Keupayaan ini menyumbang secara langsung kepada keberkesanan sistem pertahanan berlapis, apabila data yang dikumpul boleh digunakan untuk mengaktifkan sistem pertahanan udara dan peluru berpandu lebih awal.
Radar ini turut berperanan dalam pemantauan aktiviti strategik seperti pergerakan aset ketenteraan asing dan ujian peluru berpandu, sekali gus membantu dalam usaha mengekalkan kesiapsiagaan dan kedaulatan wilayah negara.
Iran mula mengoperasikan sistem radar OTH pada 2016 selepas ia didedahkan pada awam pada 2015.
Komander Pangkalan Pertahanan Udara Khatam ol-Anbia Iran, Brigadier Jeneral Farzad Esmayeeli dipetik sebagai berkata pada 2016 bahawa negara itu telah mengoperasikan sistem radar OTH  yang berkeupayaan mengesan sasaran yang sukar dikesan radar dan berupaya melawan peperangan elektronik, lapor Agensi Berita Fars (FNA).
“Sistem radar OTH telah mula beroperasi dan mulai sekarang, tiada objek penerbangan yang sukar dikesan radar boleh memasuki ruang udara Iran tanpa kebenaran,” kata Jeneral Esmayeeli.
“Radar ini direka khas untuk mengesan objek penerbangan kecil serta pesawat seperti MQ-1, RQ-4 dan U-2. Ia juga mampu mengesan dan menjejak peluru berpandu ballistik dan kruis dengan mudah, serta yang paling penting, pesawat yang sukar dikesan radar,” tambah beliau.
Menurut media Iran PressTV, radar OTH ialah sistem radar jarak jauh yang dibangunkan oleh Iran dengan keupayaan mengesan dan menjejak pelbagai sasaran udara, termasuk pesawat halimunan, peluru berpandu ballistik, dan peluru berpandu kruis.
Iran
Radar OTH Iran
Sebelum ini laporan media Iran menyatakan bahawa radar OTH ini telah dipasang di kawasan pergunungan dan dataran di tenggara Iran, pada ketinggian melebihi 3,000 meter, untuk meningkatkan keupayaan pengesanan dan liputan wilayah yang lebih luas.
Dibangunkan sepenuhnya di dalam negara, radar OTH direka untuk beroperasi dalam pelbagai frekuensi dengan keupayaan frequency hopping, menjadikannya sukar dikesan oleh musuh.
Ia juga tahan terhadap serangan peperangan elektronik (EW) dan mampu mengesan sasaran dengan keratan rentas radar yang rendah, seperti pesawat tanpa pemandu dan peluru berpandu yang sukar dikesan oleh radar konvensional.
Dengan keupayaan ini, radar OTH memainkan peranan penting dalam sistem pertahanan udara Iran, menyediakan amaran awal dan meningkatkan keupayaan negara itu untuk mengesan dan menjejak ancaman udara yang canggih.
DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.