Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Iran Bakal Pasang Sendiri Pesawat Pejuang Su-35 (Flanker-E), Su-30 Buatan Russia

Menurut pemerhati, dengan pemasangan dalam negara, bilangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Iran boleh mencecah lebih daripada 100 buah pesawat dalam tempoh terdekat.

11,452
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Iran dilapor telah diberikan kebenaran oleh Russia untuk memasang pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 secara berlesen di dalam negara Parsi , sekaligus bakal meningkatkan lagi kemampuan udara Teheran yang dilihat “terbelakang” berbanding cabang-cabang ketenteraannya yang lain.
Menurut pemerhati, dengan pemasangan dalam negara, bilangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 yang bakal dimiliki oleh Tentera Udara Iran boleh mencecah lebih daripada 100 buah pesawat dalam tempoh terdekat.
Kerjasama di antara Iran dan Russia berkenaan pemasangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 dalam negara itu merupakan suatu “berita buruk” kepada beberapa negara pro-Amerika Syarikat di Timur Tengah, kerana kekuatan udara yang selama didominasi mereka kini bakal dicabar oleh Teheran.
Laporan menyatakan bahawa Iran kini sedang bersiap-sedia untuk membina kilang-kilang pemasangan pesawat pejuang buatan Russia itu.
“Ini merupakan suatu perkembangan yang besar untuk sektor aeroangkasa Iran” menurut laporan oleh wartawan Iran, Hayal Muzin tentang laporan beliau tentang kerjasama Teheran dan Moscow tentang pemasangan dalam negara pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 buatan Russia itu.
Su-35
“Su-35”
Laporan menyatakan bahawa Iran akan memasang di antara 48 buah hingga 77 buah pesawat pejuang Su-35 (Flanker-E) di dalam negara dengan kerjasama Russia, manakala bilangan pesawat pejuang Su-30 yang akan dipasang dalam Iran masih tidak pasti,tetapi ia berkemungkinan adalah lebih tinggi ketimbang pesawat pejuang Su-35.
Bagaimanapun laporan itu menyatakan bahawa ia tidak pasti sama ada Iran diberikan kebenaran oleh Russia untuk mengeksport pesawat-pesawat  pejuang Su-35 dan Su-30 yang dipasangnya dalam negara ke negara-negara luar.
Buat masa ini,nampaknya pesawat-pesawat Su-35 dan Su-30 yang akan dipasang oleh Iran adalah khusus untuk kegunaan tentera udaranya.
Pemasangan pesawat-pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 buatan Russia di dalam Iran itu bukan sahaja akan membantu Tentera Udara Iran memperolehi pesawat-pesawat pejuang moden, tetapi ia juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan industri aeroangkasa negara Parsi itu.
Selain itu, ia juga akan mengurangkan kebergantungan Iran terhadap pesawat-pesawat pejuang negara luar yang kerap kali menjadi mangsa kepada sekatan ekonomi antarabangsa sehingga menyebabkan ia berhadapan dengan masalah pesawat-pesawat pejuang yang usang.
Russia
Pesawat Su-30 bersama pod EW “Khibiny.”
Disebabkan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dan rakan-rakannya, Iran terpaksa bergantung pesawat-pesawat pejuang usang seperti F-14 Tomcat yang diperolehi pada ketika pemerintahan keluarga diraja Shah Iran sebelum ia digulingkan oleh Ayatollah Khomeini.
Pada mulanya, Mesir telah menandatangani perjanjian dengan Russia untuk memperolehi 24 buah pesawat pejuang Su-35, tetapi Kaherah membatalkan pembelian pesawat pejuang itu selepas ia diancam oleh Amerika Syarikat untuk dikenakan sekatan ekonomi dibawah CAATSA sekiranya ia meneruskan pembelian pesawat Russia itu.
Selepas Mesir membatalkan pembelian pesawat Su-35 itu, Russia telah bertindak menjual pesawat itu kepada Iran.
Penerimaan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Russia, Su-35 “Flanker E” itu berkemungkinan adalah sebahagian daripada “habuan” terhadap bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Iran kepada Russia bagi membantu kempen ketenteraannya di Ukraine.
Teheran telah membekalkan ribuan dron-dron berani mati “Shahed-136” dan terkini, peluru-peluru berpandu ballistik kepada Russia yang menggunakannya untuk membedil infrastruktur dan kedudukan tentera Ukraine.
Su-30MKI
Pesawat Sukhoi Su-30MKI milik India
Menurut pemerhati ketenteraan di Timur Tengah, penerimaan pesawat-pesawat Su-35 oleh Iran itu dijangka akan membantu sedikit-sebanyak usaha Teheran untuk membangunkan tentera udaranya yang pada masa ini terpaksa bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia.
Pada ketika ini, Tentera Udara Iran masih lagi bergantung kepada pesawat-pesawat lama buatan Amerika Syarikat seperti F-4 Phantom, F-14 Tomcat dan F-5 yang diperolehi ketika Iran masih berada di bawah pemerintahan Shah Iran yang pro-Barat.
Pemerintahan Shah Iran tumbang dalam satu revolusi pada 1979 dan diambilalih oleh Ayatollah Khomeini.
Selain pesawat-pesawat buatan Russia dan Amerika Syarikat, Tentera Udara Iran turut mengoperasi pesawat-pesawat pejuang lama buatan Perancis dan China. — DSA

 

Comments are closed.