Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Ini Adalah Pencerobohan Depan Mata”- Kata Ahli Parlimen Tentang Kehadiran Kapal China

Bercakap di Parlimen ketika sesi perbahasan menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong hari ini, ahli parlimen Sibuti berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menangani pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China itu serta kapal lain daripada negara itu.

3,890

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang anggota Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS-Sibuti) Lukanisman Awang Sauni mempersoalkan tindakan kerajaan yang seolah-olah “tidak berbuat apa-apa” terhadap pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China di perairan Sarawak.

Bercakap di Parlimen ketika sesi perbahasan menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong hari ini, beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan untuk menangani pencerobohan kapal-kapal pengawal pantai China itu serta kapal lain daripada negara itu.

“Apakah ia bukan pencerobohan, ini adalah pencerobohan depan mata. Mana boleh kita tengok sahaja,” kata anggota Parlimen itu.

Malah, Yang Di-Pertuan Agong di dalam titahnya ketika perasmian Parlimen beberapa hari lepas mahukan sempadan negara sentiasa dijaga.

Beliau berkata, pada ketika ini kapal-kapal pengawal pantai China melakukan pencerobohan di sekitar perairan sekitar Beting Patinggi Ali.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali dan kedudukannya di perairan Sarawak.

 

“Apa yang membimbangkan saya adalah kapal-kapal pengawal pantai China berada hampir dengan  aset penting negara seperti FPSO (Floating Production Storage and Offloading) di Blok SK10.”

“Jelas kekerapan (pencerobohan) kapal-kapal pengawal pantai China ini adalah bertujuan mengintai kekayaan sumber minyak dan gas yang terdapat di perairan Satawak, terutamanya di terumbu-terumbu, perairan dan kawasan seperti James Shoal,” kata Lukanisman dalam perbahasan itu.

Anggota Parlimen Sibuti itu berkata, Blok SK10 mempunyai lapangan-lapangan minyak seperti Helang dan Layang yang terletak hanya kira-kira 70km daripada daratan Miri, berbanding kira-kira 2,000km daripada Tanah Besar China.

Pada akhir Mei tahun ini kata, sebanyak 16 buah pesawat tentera telah menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan melalui ruang udara di Beting Patinggi Ali.

Pada Julai lepas, kapal penyelidik lautan China, “Xiang Yang Hong 10” kini dikatakan berada di perairan utara Gugusan Terumbu Raja Jarum (North Luconia Shoals) di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Gugusan Terumbu Raja Jarum atau North Luconia Shoals mengandungi Tripp Reef (Terumbu Lintong), Buck Reef (Terumbu Linggir) dan Aitken Reef (Terumbu Dato Landih).

Petronas

Terumbu lain ialah Hardie Reef (Terumbu Asun), Hayes Reef (Terumbu Lang Ngindang), Moody Reef (Terumbu Permaisuri), Friendship Shoal (Beting Rentap) dan Seahorse Breakers (Hempasan Dang Ajar).

Kehadiran kapal penyelidik “Xiang Yang Hong 10” di perairan ZEE Malaysia itu berlaku tidak lama selepas 16 buah pesawat tentera China menceroboh Zon Maritim Malaysia pada 31 Mei lepas dan pencerobohan berterusan kapal-kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Pada tahun 2015, kapal “Xiang Yang Hong 10” dengan peralatan dipanggil “bathyscapes” (alatan untuk memeta dasar laut) telah menghabiskan masa selama beberapa bulan untuk melakukan kajian di Lautan Hindi terutamanya berkenaan sumber-sumber mineral di dasar laut.

Pada 2017, kapal itu dilaporkan kembali ke Lautan Hindi untuk melakukan lebih banyak kajian dan penyelidikan tentang mineral dasar laut.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.