Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Nuklear Amerika Lancar Peluru Berpandu Balistik, “Show Of Force” Kepada China?

Tentera Laut Amerika Syarikat mengatakan ujian pelancaran peluru berpandu balistik "Trident" itu tidak mensasarkan mana-mana negara tertentu, walaupun China sering menjadi sasaran retorik pemimpin Amerika Syarikat.

0 2,007

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Ohio Tentera Laut Amerika Syarikat, “USS Wyoming” (SSBN-742) melancarkan peluru berpandu balistik “Trident D5LE” dalam ujian dipanggil “Demonstration and Shakedown Operation” (DASO).

Tentera Laut Amerika Syarikat mengatakan ujian pelancaran peluru berpandu balistik “Trident” itu tidak mensasarkan mana-mana negara tertentu, walaupun China sering menjadi sasaran retorik pemimpin Amerika Syarikat.

Pelancaran dilakukan daripada perairan di luar Cape Canaveral, Florida pada hari Jumaat.

DASO ini adalah ujian yang dilakukan untuk menentukan persediaan kapal selam itu serta krew mereka sebelum dikerah untuk terlibat dalam operasi.

Pengarah Sistem Strategik Tentera Laut Amerika Syarikat Laksamana Johnny R. Wolfe berkata, ujian pelancaran peluru berpandu itu membuktikan kemampuan kuasa deteren lautnya, dibantu oleh pasukan daripada tentera, awam dan industry.

USS Wyoming
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Ohio “USS Wyoming.”

 

Kali terakhir Tentera Laut Amerika Syarikat melancarkan ujian peluru berpandu balistik Trident adalah pada Februari 2021.

Secara keseluruhannya, tentera laut negara itu telah melancarkan 184 ujian pelancaran peluru berpandu balistik Trident.

Dengan anggaran berat 60 tan, peluru berpandu Trident itu dikatakan mampu membedil sasaran sejauh 13,000km, walaupun jarak sebenarnya dirahsia atas tujuan operasi ketenteraan.

Tentera Laut Amerika Syarikat memiliki sebanyak 14 buah kapal selam berkuasa nuklear kelas-Ohio, dengan setiap kapal selam kelas-Ohio mampu membawa 24 buah peluru berpandu balistik Trident, menjadikan ia benar-benar kuasa deteren yang ampuh.

Walaupun Amerika Syarikat menyatakan bahawa ujian pelancaran peluru berpandu Trident itu tidak mensasarkan mana-mana negara, tetapi ia berlaku ketika Washington mengumumkan perjanjian keselamatan baru antara Australia, Britain dan Amerika Syarikat dipanggil “AUKUS”.

Trident

Perjanjian keselamatan AUKUS itu bertujuan menangani ancaman keselamatan China di Indo-Pasifik terutamanya di Laut China Selatan.

Ujian pelancaran Trident itu juga berlaku selepas Australia membatalkan perjanjian bernilai US$40 bilion dengan Perancis untuk mendapatkan 12 buah kapal selam diesel-elektrik.

Selepas membatalkan perjanjian dengan Perancis itu, Canberra berkata, ia akan membina kapal selam berkuasa nuklear menggunakan teknologi daripada Amerika Syarikat dan Britain.

Sudah pasti, Australia akan menggunakan kapal selam nuklear lebih senyap untuk berdepan dengan kapal selam milik China di dasar laut Indo-Pasifik.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...