Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Tambah 50 Ribu Lagi Anggota Tentera, Persenjataan Di Sempadannya Dengan China

Ini menjadikan jumlah keseluruhan anggota tentera India di kawasan sempadannya dengan China kepada kira-kira 200,000 orang, peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tahun lepas, menurut laporan orang agensi berita Bloomberg.

4,599

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa bulan lepas,  India dikatakan telah memindahkan kira-kira 50, 000 anggota tenteranya yang sebelum ini ditempatkan di sempadan negara itu dengan Pakistan ke kawasan-kawasan di sepanjang sempadannya dengan  China, sekaliggus meningkatkan lagi ketegangan antara kedua-dua negara jiran yang memiliki senjata nuklear.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan anggota tentera India di kawasan sempadannya dengan China kepada kira-kira 200,000 orang, peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tahun lepas, menurut laporan orang agensi berita Bloomberg.

“Sejak beberapa bulan lepas, India telah memindahkan puluhan ribu anggota tenteranya dan tiga skuadron jet pejuang ke tiga kawasan di sempadannya dengan China. Dengan itu, New Delhi kini memiliki 200,000 anggota tentera di sempadannya dengan China,” kata agensi berita itu.

Berikutan dengan ketegangan dengan China di kawasan sempadannya, India telah mengambil pendekatan untuk mengendurkan pertelingkahannya dengan Pakistan dan seterusnya mengurangkan bilangan tenteranya di sempadan dengan Islamabad.

Pertambahan anggota tentera India di sempadan dengan China itu akan membolehkan kerajaan di New Delhi untuk menyerang dan menakluk kawasan-kawasan di yang diduduki oleh tentera China dalam “strategi offensive.”

Tentera India di kawasan sempadan dengan China.

 

Tindakan India meningkatkan bilangan anggota tenteranya menurut Bloomberg, berkemungkinan merupakan tindakan balas terhadap usaha China menambah anggota tenteranya di sempadan dengan India.

Baru-baru ini, China dilaporkan telah memindah anggota tenteranya daripada Tibet ke Xinjiang Military Command yang bertanggungjawab terhadap tugas-tugas rondaan di kawasan sempadan China-India di kawasan pergunungan Himalaya.

Selain itu Beijing turut membesarkan pangkalan udaranya di kawasan sempadan dengan penambahan bangunan serta kubu untuk menempatkan pesawat-pesawat, selain membina pangkalan udara yang baru.

Beijing turut menambah bilangan artilleri,  kereta kebal, rejimen roket dan pesawat-pesawat pejuang dua enjin ke sempadannya dengan India.

Tiga pangkalan udara utama China di sempadannya dengan India adalah di Kashgar, Hotan dan Ngari.

Untuk mengendurkan ketegangan di antara kedua-dua angkatan tentera di sempadan kedua-dua negara, beberapa siri rundingan telah dijalankan melibatkan pegawai-pegawai tentera India dan China di kawasan sempadan.

Tetapi siri-siri pertemuan antara pegawai kanan tentera kedua-dua negara di kawasan sempadan gagal mencapai sebarang kemajuan.

Penganalisi bimbang pertikaian-pertikaian kecil melibatkan anggota tentera kedua-dua negara di sempadan India-China selepas ini boleh menyebabkan konflik yang lebih besar antara kedua-dua kuasa nuklear dunia itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.