India Rancang Bina Sendiri Sukhoi Su-30, Sasaran Jual Pada Beberapa Negara Asia Tenggara
Syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) mensasarkan pesawat pejuang Sukhoi Su-30 buatannya untuk pasaran eskport terutamanya dikalangan negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang itu seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat India, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) sedang berbincang dengan Russia dan syarikat-syarikat pertahanan lain bagi membolehkannya memproduksi pesawat pejuang Sukhoi Su-30 untuk pasaran eksport.
HAL mensasarkan pesawat pejuang Sukhoi Su-30 buatannya untuk pasaran eskport terutamanya dikalangan negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang itu seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Pada ketika ini, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengoperasikan 18 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM manakala Indonesia pula memiliki 11 buah Su-30MK2 dan Vietnam pula memiliki sehingga 35 buah pesawat pejuang Su-30.
Asia Tenggara merupakan pasaran pesawat pejuang Su-30 yang disasarkan oleh HAL.
Menurut laporan media India, HAL bercadang menghasilkan pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30 itu daripada kemudahannya di Nashik, jika perbincangannya dengan rakan kerjasama yang lain berjaya.
Russia dilaporkan menyokong cadangan oleh India dan HAL untuk membina pesawat pejuang Sukhoi Su-30 itu di kemudahan milik HAL di Nashik, sekaligus mengukuhkan lagi kerjasama di antara kedua-dua negara di dalam bidang pertahanan.
“Kerjasama di antara India dan Russia itu membuktikan sokongan kedua-dua pihak dalam menyokong pemindahan teknologi dan pembuatan bersama,sebagaimana yang ditekankan ketika lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Moscow baru-baru ini,”menurut sumber kepada media India.
Kemudahan HAL di Nashik itu telah pun membuktikan kemampuannya dalam menyelenggara pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI milik Tentera Udara India.
Baru-baru ini, setiausaha pertahanan negara itu telah menyerahkan pesawat Sukhoi Su-30MKI ke-100 yang telah diselenggara sepenuhnya kepada Tentera Udara India dan memuji langkah HAL mewujudkan kemudahan Repair and Overhaul (ROH).
Walaupun berhadapan dengan kesukaran, kemudahan HAL di Nashik berjaya menyelenggara sepenuhnya 20 buah pesawat Sukhoi Su-30MKI milik tentera udara negara itu dalam tempoh setahun.
Selain menyelenggara pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI, HAL juga bertindak menaiktaraf dan memodenkan pesawat pejuang milik Tentera Udara India itu dengan melengkapkanya dengan peralatan dan komponen yang lebih berkeupayaan.
Dibawah program pemodenan dan peningkatan keupayaan itu, HAL melengkapkan pesawat pejuang Su-30MKI Tentera Udara India itu dengan radar yang lebih moden, mission control system, kemampuan peperangan elektronik dan mengintergrasikannya dengan sistem-sistem persenjataan yang moden.
Program peningkatan keupayaan itu terbahagi kepada dua fasa: di mana fasa pertama tertumpu kepada melengkapkannya dengan sistem avionik yang baru, sistem kawalan penerbangan yang baru manakala sistem-sistem buatan India akan menggantikan sistem buatan Russia.
Ia menandakan kemajuan teknologi pertahanan India.
Selain itu, pesawat pejuang itu juga akan dilengkapkan dengan sistem peperangan elektronik yang baru untuk menangani ancaman dan untuk menganggu sistem komunikasi musuh serta sistem Infra Red Search and Track (IRST) untuk meningkat secara mendadak kemampuan membidik sasaran udara-ke-udara dan udara-ke-darat. — DSA
Comments are closed.