India Ancam Tembak Jatuh Dron Bayraktar TB2 Milik Bangladesh Jika Ia Hampiri Sempadan
Menurut pegawai kanan tentera India yang dipetik oleh media tempatan, prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan selama ini menyatakan bahawa tidak ada dron dibenarkan terbang di dalam jarak 10 km daripada sempadan India-Bangladesh.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – India mengancam untuk menembak jatuh dron buatan Turkiye, Bayraktar TB2 milik Tentera Bangladesh sekiranya dron ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaissance) milik negara jirannya itu terbang hampir dengan sempadan kedua-dua negara.
Menurut pegawai kanan tentera India yang dipetik oleh media tempatan, prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan selama ini menyatakan bahawa tidak ada dron dibenarkan terbang di dalam jarak 10 km daripada sempadan India-Bangladesh.
“Kita mempunyai kemampuan untuk menjejaki dan menembak jatuh mana-mana dron atau objek yang menceroboh ruang udara India, “ menurut pegawai berkenaan ketika ditanya tentang laporan berkenaan penerbangan dron Bayraktar TB2 milik tentera Bangladesh berhampiran sempadan kedua-dua negara itu dipercayai untuk misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR).
India dilaporkan mengetatkan kawalan keselamatan di sempadannya dengan Bangladesh selepas sebuah dron Bayraktar TB2 milik tentera Bangladesh dengan identifikasi transponder TB2R1071 terbang berhampiran sempadan kedua-dua negara di kawasan Meghalaya, Tripura dan Mizoram.
Dron Bayraktar TB2 milik Bangladesh itu dipercayai berlepas daripada Pangkalan Udara negara itu Tejgaon di ibu negara, Dhaka.
Dron itu dipercayai dioperasikan oleh Tentera Darat Bangladesh ke-67 (67th Army) dan sedang melakukan misi ISR rutin.
Angkatan Tentera Bangladesh dilaporkan telah memperolehi 12 buah Medium Altitude Long Endurance (MALE) Bayraktar TB2 daripada Turkiye dengan enam daripadanya sudah pun beroperasi.
Perolehan itu dibuat setahun selepas Pakistan memperoleh dan menggunakan dron Bayraktar TB2 tersebut di lokasi-lokasi strategic berhampiran sempadan kedua-dua negara.
Bangladesh mendakwa bahawa dron ini digunakan untuk tujuan pertahanan.
“Kami memantau keadaan dengan rapat dan telah pun bertindak meningkatkan kawalan keselamatan disempadan kedua-dua negara,” kata pegawai kanan keselamatan India kepada media tempatan baru-baru ini.
