Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Imej Pesawat Pejuang Rafale “Tercalar”, Saham Syarikat Pembuat Rafale Jatuh Hampir 10 Peratus

Kejatuhan saham syarikat Dassault Aviation di Bursa Saham Eropah itu didakwa disebabkan oleh berita-berita mengatakan tiga buah pesawat pejuang Rafale India ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan, pada awal konflik bersenjata di antara Islamabad dan New Delhi minggu lepas.

0 1,445
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Saham syarikat Dassault Aviation yang mengeluarkan pesawat pejuang Rafale yang digunakan oleh Tentera Udara India mengalami kejatuhan sebanyak 9.48 peratus sepanjang lima hari lepas sejak berlakunya konflik di antara Pakistan dan India.
Kejatuhan saham syarikat Dassault Aviation di Bursa Saham Eropah itu didakwa disebabkan oleh berita-berita mengatakan tiga buah pesawat pejuang Rafale India ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan, pada awal konflik bersenjata di antara Islamabad dan New Delhi minggu lepas.
Jika dakwaan itu terbukti benar, ia adalah pesawat pejuang Rafale pertama ditembak jatuh dalam mana-mana konflik sejak pesawat pejuang dibangunkan.
Sehingga kini, India masih enggan mengesahkan kehilangan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya itu, walaupun pegawai kanan Angkatan Tenteranya Air Marshal A.K Bharti dalam sidang media semalam menyatakan bahawa “kehilangan (pesawat) adalah biasa dalam pertempuran”, apabila ditanya tentang nasib tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya itu.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut.
Bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Dua lagi pesawat pejuang India yang didakwa ditembak jatuh oleh Pakistan adalah MiG-29 dan Sukhoi Su-30MKI.

Dassault

Sementara itu, saham syarikat Avic Chengdu Aircraft Co yang disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen pula mengalami nasib yang berbeza berbanding saham syarikat Dassault Aviation sepanjang lima hari lepas.
Syarikat Avic Chengdu Aircraft Co yang mengeluarkan pesawat pejuang J-10C sebagaimana digunakan oleh Tentera Udara Pakistan mencatakan lonjakan sebanyak 61.6 peratus sepanjang lima hari lepas semasa konflik Pakistan dan India sedang berlangsung.
Avic Chengdu juga adalah syarikat aeroangkasa China yang membangunkan pesawat pejuang JF-17 “Thunder” bersama Pakistan Aeronautical Complex (PAC).
Berlainan dengan India yang menafikan ia kehilangan pesawat pejuang Rafale, Pakistan pula secara terbuka mengatakan pesawat-pesawat pejuang J-10C miliknya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India,
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
“Pesawat pejuang Rafale yang digembar-gemburkan (tentang kehebatannya) telah gagal dengan amat teruk dan juruterbang Tentera Udara India membuktikan bahawa mereka tidak mahir,” kata beliau.
Kejayaan Pakistan menembak jatuh pesawat pejuang Rafale India itu sedikit sebanyak telah mencalar imej pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Perancis itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini diibaratkan seperti “goreng pisang panas” dengan negara-negara di Eropah, Asia, Timur Tengah dan Mediterranean berlumba-lumba untuk membelinya.

Avic

Tidak pasti sama ada kejayaan Pakistan menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale India itu akan menjejaskan jualan dan usaha pemasaran oleh Dassault Aviation untuk menjual lebih banyak pesawat pejuang Rafale di pasaran antarabangsa.
India menandatangani perjanjian dengan Dassault Aviation pada 2016 untuk memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis yang dianggarkan bernilai US$8.8 billion (RM38.7 billion) atau US$91 juta (RM400 juta) sebuah.
Jika termasuk kerja-kerja menaiktaraf pesawat pejuang itu sebagaimana diminta oleh India, sistem persenjataan, alat ganti dan kira-kira lima tahun kerja-kerja sokongan, maka kos keseluruhan pesawat pejuang buatan Perancis yang dibeli oleh India itu dianggarkan bernilai US$218 juta sebuah (RM959 juta).
Jika meliputi kos inflasi pada tahun 2025, maka kos keseluruhan sebuah pesawat pejuang Rafale yang diperolehi oleh India itu mencecah US$289 juta (RM1.27 billion).
Pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India (IAF) kini ditempatkan di dua pangkalan udara strategik — Pangkalan Udara Ambala, Haryana yang menempatkan Skuadron No. 17 “Golden Arrows” dan merupakan lokasi pertama bagi pesawat Rafale di India.
Ia terletak kira-kira 220 km dari sempadan Pakistan, Ambala memainkan peranan penting dalam pertahanan udara di bahagian barat negara.
Selain itu, pesawat pejuang Rafale India juga ditempatkan di Pangkalan Udara Hasimara, Benggala Barat yang menjadi pangkalan bagi Skuadron No. 101 “Falcons” dan terletak berhampiran sempadan dengan China dan Bhutan.
J-10C
J-10C Pakistan
Kedudukannya yang strategik membolehkan IAF memberi respons pantas terhadap sebarang ancaman di kawasan timur laut, termasuk di sekitar koridor Siliguri dan kawasan tri-sempadan India-Bhutan-China.
Setiap skuadron ini dilengkapi dengan 18 buah pesawat Rafale, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 36 unit yang beroperasi di kedua-dua pangkalan tersebut.
Baru-baru ini, India telah memeterai satu perjanjian bernilai sekitar US$7.4 billion (RM32.5 billion) dengan Perancis untuk memperoleh sebanyak 26 buah pesawat pejuang Rafale Marine (Rafale M) keluaran Dassault Aviation, khusus untuk kegunaan Tentera Laut India.
Perjanjian tersebut dimeterai pada 28 April 2025 dan merupakan langkah penting dalam usaha India memperkukuh keupayaan tempur maritimnya serta menggantikan pesawat MiG-29K yang semakin usang.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 22 pesawat adalah varian satu tempat duduk untuk operasi kapal induk, manakala empat lagi adalah versi dua tempat duduk yang tidak direka untuk operasi di kapal induk.
Sementara itu Tentera Udara Pakistan, telah menerima pesawat pejuang J-10C buatan China pada 4 Mac 2022.
Enam unit pertama pesawat ini tiba di Pangkalan Tentera Udara Minhas di Kamra, Pakistan, dan secara rasmi ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Pakistan (PAF) pada 11 Mac 2022.
Second Hand
Dua buah pesawat pejuang Mirage 2000 terpakai Tentera Udara India juga dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation
Pesawat-pesawat ini membentuk skuadron No. 15 “Cobras”
Perolehan J-10C ini merupakan sebahagian daripada usaha Pakistan untuk meningkatkan kemampuan pertahanan udaranya, khususnya sebagai tindak balas terhadap perolehan pesawat Rafale oleh India.
J-10C adalah pesawat pejuang generasi 4.5 yang dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA), sistem peperangan elektronik canggih, dan keupayaan untuk membawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti PL-15.
Pakistan pada asalnya mengumumkan pembelian 25 pesawat J-10C pada Disember 2021, dengan penghantaran pertama dijadualkan sebelum sambutan Hari Republik Pakistan pada 23 Mac 2022.
Sejak itu, Pakistan telah menerima lebih banyak pesawat J-10C dan dilaporkan sedang dalam rundingan untuk memperoleh sehingga 60 unit keseluruhannya, bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Pesawat pejuang J-10C milik Tentera Udara Pakistan ditempatkan di Pangkalan Udara Minhas yang terletak di Kamra, daerah Attock, Punjab.
Pangkalan ini berfungsi sebagai pusat operasi utama untuk pesawat J-10C dan merupakan lokasi bagi Skuadron No. 15 “Cobras”, yang ditugaskan untuk mengendalikan pesawat tempur tersebut.
JF-17
JF-17 “Thunder” dibangunkan bersama antara Avic Chengdu dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC)
Penghantaran pertama enam unit J-10C ke Pangkalan Udara Minhas berlaku pada 4 Mac 2022, dan pesawat-pesawat ini secara rasmi dimasukkan ke dalam perkhidmatan PAF pada 11 Mac 2022.
Langkah ini menandakan permulaan era baharu dalam keupayaan tempur udara Pakistan, dengan J-10C menggantikan pesawat Mirage III/V yang telah lama berkhidmat.
Setakat Mei 2025, Pakistan telah menerima sekurang-kurangnya 20 unit J-10C daripada jumlah pesanan sebanyak 36 pesawat.
 Pesawat ini dilengkapi dengan radar AESA, sistem peperangan elektronik canggih, dan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15E, menjadikannya aset penting dalam strategi pertahanan udara negara.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.