Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

HMS Queen Elizabeth, 9 Buah Kapal Perang Ke Indo-Pasifik, Laut China Selatan Bulan Depan

Pelayaran itu membuktikan kecenderungan pihak tentera British dan dasarnya terhadap rantau Indo-Pasifik.

2,188

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth akan melakukan pelayaran selama 28 minggu dan 28,000 batu nautika ke Timur Jauh bermula bulan depan yang melibatkan persinggahan di India, Singapura dan Korea Selatan. (Malaysia tiada dalam senarai)

Pelayaran itu membuktikan kecenderungan pihak tentera British dan dasarnya terhadap rantau Indo-Pasifik.

“ Apabila Carrier Strike Group kami memulakan pelayaran bulan depan, mereka akan membawa bendera Britains – menonjolkan pengaruh kita, menandakan kekuatan kita, bertemu rakan dan menekankan lagi komitmen kita dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan hari ini dan akan datang,”  kata Menteri Pertahanan Britain Ben Wallace.

Beliau juga berkata pelayaran itu bertujuan menunjukkan bahawa Britain tidak akan berundur, malah akan ke depan dalam mencorakkan sistem antarabangsa pada kurun ke-21 ini.

Unit-unit daripada Carrier Strike Group Britain itu akan melawat 40 negara.

HMS Defender
HMS Defender

 

Ketika di Asia Tenggara, HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal pengiringnya dijadualkan akan mengadakan latihan “Eksesais Bersama Lima” dengan negara-negara anggota Five Power Defence Arrangement (FPDA) sempena ulangtahun ke-50 perjanjian itu.

Negara-negara FPDA terdiri daripada Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Pelayaran HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal pengiringnya ke Indo-Pasifik bulan depan itu antara lain bertujuan mengekang sikap agresif China terutamanya di Laut China Selatan, yang didakwa sebahagian besar adalah milikinya.

Dalam Carrier Strike Group itu, “bintang utamanya” adalah kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth itu.

Mengiringi kapal pengangkut pesawat itu adalah dua buah kapal destroyer Type 45 iaitu, HMS Defender dan HMS Diamond, dua buah kapal friget Type 23 anti-submarine warfare HMS Kent dan HMS Richmond serta dua buah kapal bantuan, RFA Fort Victoria dan RFA Tidespring.

Astute
Kapal selam kelas-Astute

 

Manakala di bawah permukaan air pula, Carrier Strike Group akan diiringi oleh kapal selam kelas-Astute yang dilengkapi dengan peluru berpandu Tomahawk.

Diatas dek kapal HMS Queen Elizabeth, adalah lapan buah pesawat pejuang F-35B Lightning, empat buah helikopter penyerang maritim Wildcat, tujuh buah helikopter ASW Merlin Mk2 dan tiga buah helikopter Merlin Mk4.

Kapal pengangkut pesawat itu turut membawa anggota komando tentera British.

HMS Queen Elizabeth juga akan membawa sebuah skuadron 10 buah pesawat F-35B milik Kor Marine Amerika Syarikat.

Pelayaran Carrier Strike Group British ke rantau Indo-Pasifik akan turut diiringi oleh sebuah kapal destroyer Arleigh Burke Amerika Syarikat “USS The Sullivans”” dan sebuah kapal friget daripada tentera laut Belanda “HNLMS Evertsen.”

Ketika di Laut Mediterranean, HMS Queen Elizabeth akan mengadakan “dual carrier operations” dengan kapal pengangkut pesawat Perancis, Charles de Gaulle.

Tidak pasti sama ada HMS Queen Elizabeth akan mengadakan “Dual Carrier Operations” dengan kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat di Indo-Pasifik atau dengan kapal-kapal LHD Jepun ketika berada di Laut China Selatan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments are closed.