Tiga Helikopter Penyerang MD530G Ditempatkan di ESSCOM, Tiga Di Kluang
Tentera Darat hari ini menerima enam helikopter peninjau/penyerang ringan MD530G bagi meningkatkan kesiagaan dan keupayaan pasukan itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tiga daripada enam helikopter penyerang MD530G milik Tentera Darat akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), manakala bakinya akan ditempatkan di Kluang, Johor.
Perkara itu disahkan oleh Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain hari ini.
“Tiga helikopter itu akan ditempatkan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), manakala bakinya akan ditempatkan di Kluang, Johor.
“Sebelum dibenarkan beroperasi, helikopter ini perlu melalui beberapa pemeriksaan seperti oleh Directorate General Technical Airworthiness dan pemeriksaan akhir oleh Tentera Darat melalui pasukan Final Acceptance Test (FAT),” katanya pada sidang media majlis penerimaan helikopter itu di sini, hari ini.
Tentera Darat hari ini menerima enam helikopter peninjau/penyerang ringan MD530G bagi meningkatkan kesiagaan dan keupayaan pasukan itu.
Menurut PTD, kesemua helikopter itu akan dilengkapi senjata jenis Gatling Gun 7.62 milimeter (mm), Heavy Machine Gun 12.7mm dan pelancar roket 70mm.
Helikopter penyerang ringan itu mampu menggempur kenderaan perisai ringan dan pasukan musuh pada jarak 500 meter hingga tujuh kilometer, selain mempunyai ketangkasan melaksanakan tugas tinjauan udara.
Pasukan Final Acceptance Test akan mengesahkan enam helikopter itu lulus pemeriksaan akhir dan mengeluarkan Sijil Pemeriksaan Akhir.
“Ini menandakan enam helikopter itu menjadi hak milik Tentera Darat secara rasmi dan dijangka memulakan operasi pada Oktober nanti,” katanya.
Helikopter MD530G yang dibekalkan oleh Syarikat Halaman Optima Sdn Bhd melalui Syarikat Destini Prima Sdn Bhd itu, merupakan buatan MD Helicopter Inc (MDHI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Ia tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Feb lepas dari Pelabuhan Oakland, Amerika Syarikat.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Selain helikopter, kontrak perolehan itu turut merangkumi program latihan kepada lapan juruterbang dan sembilan juruteknik Pasukan Udara Tentera Darat.
Diminta mengulas mengenai keraguan sesetengah pihak terhadap keupayaaan helikopter berkenaan, Zamrose berkata aset tersebut berpadanan dengan fungsi dan keadaan muka bumi di kawasan ia akan beroperasi.
Menurutnya tugas utama helikopter itu adalah untuk membuat tinjauan dan hanya menyerang sekiranya diancam musuh. — DSA
Comments are closed.