Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Program Penggantian Helikopter “Nuri” Bermula, TUDM Sewa 4 Helikopter AW139

Penyewaan empat buah helikopter Leonardo AW139 oleh TUDM sebagaimana yang diumumkan oleh Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad baru-baru ini adalah langkah jangka pendek tentera udara sebelum ia memperolehi 24 buah helikopter baru untuk menggantikan helikopter Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatannnya dengan tentera udara.

0 8,871

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Program penggantian helikopter Sikorsky S-61A atau “Nuri” secara tidak rasminya telah pun bermula, apabila Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad baru-baru ini mengumumkan penyewaan empat buah helikopter Leonardo AW139 sebagai langkah jangka pendek.

Sebagaimana yang kita tahu, TUDM telah menamatkan khidmat helikopter Nuri pada tahun lepas selepas lebih daripada 50 tahun berkhidmat dengan tentera udara.

“Untuk jangka pendek (program penggantikan helikopter Nuri), telah diluluskan oleh kerajaan iaitu penyewaan empat helikopter jenis AW139 selama empat ke lima tahun. Ia akan diperoleh TUDM dalam masa terdekat,” kata Panglima TUDM.  

Beliau tidak memberitahu helikopter-helikopter Leonardo AW139 itu disewa daripada syarikat mana, bagaimanapun pemilihan helikopter itu sudah dijangka kerana ia adalah pemilihan yang popular, memandangkan helikopter itu turut digunakan oleh beberapa agensi penguatkuasa dan keselamatan dalam negara.

Antara pengguna sedia ada helikopter AW139 adalah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Maritim Malaysia dan terbaru adalah, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Nuri
Helikopter S-61A4 “Nuri” (depan) dan helikopter EC-725AP (dibelakang).

 

TLDM memperolehi tiga buah Helikopter Operasi Maritim (HOM) jenis Leonardo AW139, yang dijangka dihantar pulang ke Malaysia daripada Itali bermula daripada akhir tahun ini sehinggalah pada pertengahan tahun depan.

Tiga buah helikopter TLDM itu akan beroperasi daripada Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu.

Helikopter Leonardo AW139 dikategorikan sebagai helikopter saiz sederhana itu dan memiliki berat 6.4 tan serta menggunakan enjin 2 x Pratt & Whitney PT6C-67C Turboshafts with FADEC.

Dengan krew dua orang , helikopter yang boleh terbang selaju 300km sejam ini mampu membawa 15 orang penumpang dan terbang sejauh 1,061km atau lebih 5 jam.

Penyewaan empat buah helikopter Leonardo AW139 itu adalah satu langkah jangka sementara, sebelum TUDM melakukan perolehan kira-kira 24 buah helikopter sebagai langkah jangka panjang  untuk menggantikan helikopter Nuri.

TUDM dijangka melakukan perolehan 24 buah helikopter baru bermula pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada tahun 2026-2030 sehingga RMK-14 bermula pada tahun 2031 hingga 2035.

24 buah helikopter baru untuk menggantikan helikopter Nuri itu akan diperolehi dalam dua peringkat, dengan 12 buah pada RMK-13 manakala 12 buah selebihnya diperolehi pada RMK14.

 Panglima TUDM juga berkata, berdasarkan kepada keperluan semasa TUDM memerlukan sebanyak 36 buah helikopter, dengan 12 buah keperluan itu telah pun dipenuhi menerusi penggunaan helikopter EC-725 pada ketika ini.

“Setakat ini kita (TUDM) ada 12 EC725, jadi kita perlu 24 lagi helikopter. Untuk itu, kita rancang dua strategi kepada kerajaan iaitu jangka pendek dan jangka panjang.

“Untuk jangka pendek, diluluskan oleh kerajaan iaitu penyewaan empat helikopter jenis Agusta Westland AW139 selama empat ke lima tahun. Ia akan diperoleh TUDM dalam masa terdekat.

“Bagi pelan jangka panjang, TUDM berharap dapat memiliki 24 lagi helikopter bagi melengkapkan 36 helikopter yang diperlukan,” kata beliau.

Panglima tidak memberitahu jenis helikopter yang akan diperolehinya bagi menggantikan Nuri itu tetapi dengan pemilihan empat buah helikopter  Leonardo AW-139 itu atas dasar sewaan maka terdapat besar kemungkinan helikopter itu jugalah akan dipilih untuk menggantikan Nuri kelak. 

Nuri
Helikopter apakah menjadi pilihan TUDM untuk menggantikan S-61A4 “Nuri”?

 

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...