Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Helikopter Bersenjata KA-52 “Alligator” Muncul Hero Buat Tentera Russia

“Russia kini memiliki kelebihan sementara di selatan Ukraine, terutamanya dengan helikopter penyerangnya menggunakan peluru berpandu dengan jarak yang lebih jauh terhadap sasaran-sasaran darat,” menurut laporan Kementerian Pertahanan United Kingdom itu.

0 4,953

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan United Kingdom dalam laporan terkini dikeluarkannya mengakui bahawa tentera Russia kini mempunyai “kelebihan sementara” dalam operasi serangan balas Ukraine yang dinanti-nantikan, disebabkan helikopter penyerang KA-52 “Alligator”.

Kelebihan sementara Russia itu dicapai kerana helikopter penyerang itu kini menggunakan peluru berpandu dengan jarak yang lebih jauh, sekaligus meningkatkan lagi keberkesannya dalam menyerang sasaran darat.

“Russia kini memiliki kelebihan sementara di selatan Ukraine, terutamanya dengan helikopter penyerangnya menggunakan peluru berpandu dengan jarak yang lebih jauh terhadap sasaran-sasaran darat,” menurut laporan Kementerian Pertahanan United Kingdom itu.

Ka-52
Helikopter penyerang Ka-52 “Alligator”

 

Menyedari bahawa ia kini memiliki kelebihan sementara di medan peperangan di selatan Ukraine itu, tentera Russia telah meningkatkan bilangan helikopter penyerang KA-52 “Alligator” itu yang ditempatkan di pangkalan udara Berdyansk.

Peningkatan bilangan helikopter penyerang itu di pangkalan udara itu adalah selari dengan permulaan operasi serangan balas tentera Ukraine di selatan negara itu.

Penganalisis ketenteraan Barat mengakui bahawa operasi serangan balas tentera Ukraine di selatan negara itu kini sedang berhadapan masalah akibat tentangan tentera Russia yang mempunyai banyak masa untuk memperkukuhkan pertahanannya.

Selain mengakui banyak armornya dimusnahkan atau rosak teruk akibat periuk api ketika melaksanakan serangan balas di selatan Ukraine, penganalisis ketenteraan Barat juga menyatakan peranan yang dimainkan oleh helikopter penyerang KA-52 “Alligator.”

Menurut mereka, helikopter-helikopter penyerang Russia cukup berkesan dalam memusnahkan armor tentera Ukraine disebabkan ketiadaan perlindungan udara oleh pesawat-pesawat pejuang seperti Su-25 dan lain-lain.

Ka-52
Salah sebuah helikopter KA-52 yang ditembak jatuh oleh tentera Ukraine.

 

Ketiadaan perlindungan udara oleh pesawat-pesawat pejuang Ukraine telah membolehkan helikopter penyerang Russia seperti KA-52 dan Mi-28 serta Mi-24 bebas bergerak untuk menangani serangan balas itu.

Sepanjang konflik dengan Ukraine, helikopter penyerang KA-52 “Alligator” telah membuktikan kepentingannya sebagai “pemusnah armor” paling utama Russia.

Walaupun begitu, prestasinya pada permulaan konflik itu tidak berapa memberangsang, dengan dakwaan banyak daripada helikopter bersenjata itu berjaya ditembak jatuh oleh tentera Ukraine.

Pada September tahun lepas, pihak Barat mendakwa Russia telah kehilangan sebanyak 23 buah helikopter penyerang KA-52 “Alligator”.

Kehilangan 23 buah helikopter penyerang itu adalah bersamaan dengan 25 peratus daripada keseluruhan jumlah helikopter penyerang itu dimilikinya sejak konflik bersenjata di Ukraine tercetus.

Mi-28NE
Helikopter penyerang Mi-28NE “Night Hunter”

 

Sebahagian besar helikopter penyerang Russia itu menjadi mangsa kepada sistem peluru berpandu pertahanan udara amat jarak dekat (Man-Portable Air Defence System – MANPADS) pihak Ukraine.

Selain kehilangan helikopter penyerang KA-52 di Ukraine, tentera Russia juga berhadapan dengan kehilangan satu pertiga helikopter pengangkutnya seperti Mi-8, Mi-24 dan helikopter penyerang lain termasuk Mi-35 Hind dan Mi-28 Havoc.

Sejak Februari, Russia dilaporkan telah kehilangan sebanyak 54 buah helikopter pelbagai jenis dengan 23 daripada adalah helikopter KA-52.

Helikopter penyerang Kamov KA-52 merupakan helikopter penyerang dua tempat duduk.

Ia adalah helikopter penyerang yang dinaiktaraf daripada helikopter Ka-50 yang digunakan secara ekstensif pada zaman Kesatuan Soviet.

Mi-35
 Mi-35

 

Helikopter KA-52 mula dibangunkan pada 1994, dengan penerbangan sulung dilakukan pada 1997 dan diperakui oleh pemerhati ketenteraan dunia sebagai diantara helikopter penyerang paling berbahaya di pasaran pada ketika ini.

Dilengkapi dengan enjin turboshaft Klimov VK-2500, helikopter Ka-52 boleh terbang selaju 300km sejam.

Mengenai sistem persenjataannya, helikopter Ka-52 dilengkapi dengan meriam 30mm serta pelbagai sistem lain termasuk roket dan peluru berpandu anti-kereta kebal. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...