Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Rafale Kena “Titik” Dengan JF-17 Pakistan Dalam Latihan Di Turki?

Menurut penganalisis pertahanan yang memiliki maklumat tentang latihan udara "Anatolian Eagle 2021" itu, pesawat-pesawat JF-17 "Thunder" Block II Pakistan telah berjaya "membunuh" beberapa pesawat pejuang Rafale Tentera Udara Qatar dalam simulasi pertempuran udara.

0 14,501

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Jun lepas, telah diadakan satu latihan udara disertai tentera-tentera udara Turki, Pakistan dan Azerbaijan serta Qatar dipanggil “Anatolian Eagle 2021”  bertempat di sebuah pangkalan udara Tentera Udara Turki di bandar pesisir pantai di Konya, Turki.

Tentera Udara Turki adalah penganjur kepada latihan udara itu.

Antara aset-aset udara yang menyertai latihan itu adalah pesawat F-16 daripada Turki manakala Pakistan pula diwakili lima buah pesawat JF-17 “Thunder” Block II, Qatar empat buah pesawat Rafale, manakala Azerbaijan pula menampilkan pesawat-pesawat MiG-29 dan Su-25 “Frogfoot” yang sebelum itu telah “menunjukkan taringnya” dalam konflik di Nagorno-Karabakh. 

Pihak NATO yang dianggotai oleh Turki juga telah mengantar sebuah pesawat E-3A AWACS.

Malaysia dilaporkan turut menghantar pegawai-pegawai tentera udaranya ke latihan itu sebagai pemerhati, menurut petikan beberapa media Turki.

Rafale
Pesawat Rafale Tentera Udara Qatar pada latihan Anatolian Eagle 2021.

 

Latihan “Anatolian Eagle” ini merupakan latihan tahunan bertujuan untuk meningkatkan kemampuan dan persefahaman dikalangan tentera udara negara-negara peserta menerusi perlaksanaan kepelbagaian taktik yang mengaplikasikan  suasana pertempuran udara yang hampir sama.

Sistem seperti Post Mission Analysis System serta Air Combat Maneuvering System (ACMI) juga digunakan dalam latihan “Anatolian Eagle 2021” itu.

Tidak banyak yang diketahui tentang latihan udara itu, tetapi bagi sesetengah penganalisis ketenteraan yang memiliki maklumat dalaman tentang latihan “Anatolian Eagle 2021”,  ia telah memberikan peluang kepada Tentera Udara Pakisatan untuk menguji kemampuan sebenar pesawat JF-17 “Thunder” yang dibangunkannya dengan bantuan China dalam pertempuran dengan pesawat Dassault Rafale yang kini digunakan oleh Tentera Udara India. 

Apa yang penting adalah, Islamabad mahukan mengetahui titik kekuatan dan titik kelemahan apabila pesawat JF-17 itu apabila berdepan dengan pesawat Rafale yang yang diketengahkan oleh Tentera Udara Qatar dalam simulasi pertempuran udara (dogfight) dalam latihan tahunan itu kali ini.

Latihan “Anatolian Eagle 2021” memberi peluang yang amat baik kepada Tentera Udara Pakistan kerana ia sedikit-sebanyak dapat menguji kemampuan sebenar pesawat-pesawat JF-17 yang dibangunkannya bersama China dalam “pertempuran” dengan pesawat-pesawat Rafale buatan Perancis yang turut digunakan oleh musuh tradisinya iaitu Tentera Udara India

Selain berhadapan dengan Rafale, JF-17 juga bertembung dengan pesawat MiG-29 yang dibawa oleh Tentera Udara Azerbaijan dalam latihan Anatolian Eagle itu.

Menurut beberapa laporan oleh penganalisis pertahanan yang mempunyai maklumat dalaman tentang latihan “Anatolian Eagle 2021”, pesawat JF-17 Thunder telah beraksi cukup baik dalam simulasi pertembungan udara dengan pesawat Rafale Tentera Udara Qatar itu.

Sumber-sumber mendakwa bahawa bahawa “kill ratio”” pesawat JF-17 terhadap pesawat Rafale Qatar itu adalah 6:2 bermakna pesawat-pesawat JF-17 Block II Pakistan itu telah berjaya “menembak jatuh”  pesawat Rafale Qatar sebanyak 6 kali berbanding hanya dua kali tumpas dalam simulasi pertembungan udara pada latihan itu.

Itu adalah kesimpulan yang dibuat oleh penganalisis pertahanan berdasarkan sumber yang tidak dapat dipastikan.

Apakah benar, pesawat JF-17 Thunder berjaya “membunuh” pesawat-pesawat Rafale yang dikatakan lebih canggih dan lebih moden di dalam latihan di Turki itu?

Apapun, kita tidak boleh menerima kenyataan penganalisis pertahanan itu “bulat-bulat”” kerana ia berkemungkinan hanya sebahagian daripada perang -psikologi  daripada pihak Pakistan untuk melemah-lemahkan semangat tentera udara India yang baru sahaja menerima pesawat Rafale mereka .

Kenyataan amat positif berkenaan “prestasi baik pesawat JF-17 Thunder” itu berkemungkinan tidak lebih daripada strategi untuk mewar-warkan keampuhan pesawat buatan Pakistan-China itu.

JF-17
Pesawat JF-17 Pakistan pada latihan Anatolian Eagle 2021 di Turki.

 

 

Atau ia mungkin juga sebahagian daripada strategi pemasaran untuk menarik lebih banyak pembeli JF-17, termasuk Malaysia yang sedang merancang untuk memiliki  sehingga dua buah skuadron pesawat LCA/FLIT.

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan rasminya ke Pakistan sebagai Perdana Menteri beberapa tahun lepas, turut telah meninjau dengan lebih dekat pesawat JF-17 itu.

Admin pun percaya dakwaan tentang kejayaan JF-17 menjinakkan Rafale pada latihan di Turki itu tidak lebih daripada “permainan psikologi” sahaja di antara Pakistan dan India.

Selagi tiada kenyataan rasmi, kita anggaplah bahawa dakwaan kejayaan pesawat JF-17 menundukkan pesawat Rafale Qatar itu hanya spekulasi semata-mata.

Walauapapun, laporan terkini daripada media tempatan mengatakan Pakistan dan JF-17 tidak akan menyertai persaingan pesawat FLIT/LCA TUDM. 

 

Rafale
Pesawat pejuang Rafale

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...