Gambar Terkini Tunjuk Bedilan Peluru Berpandu Iran Musnah Radar Utama Pangkalan Tentera Amerika di Qatar

Gambar yang dikongsi oleh komuniti OSINT antarabangsa menunjukkan cakera sistem radar utama digunakan oleh tentera Amerika Syarikat di pangkalan udara utama Amerika di Timur Tengah itu mengalami kerosakan yang teruk akibat dibedil peluru berpandu ballistik Iran.

0
Gambar terkini daripada pangkalan udara Al-Udeid di Qatar yang dioperasikan oleh Tentera Amerika Syarikat dengan jelas menunjukkan serangan tepat peluru berpandu ballistik Iran turut memusnahkan sistem radar utama tentera di pangkalan tentera tersebut.
Gambar yang dikongsi oleh komuniti OSINT antarabangsa menunjukkan cakera sistem radar utama digunakan oleh tentera Amerika Syarikat di pangkalan udara utama Amerika di Timur Tengah itu mengalami kerosakan yang teruk akibat dibedil peluru berpandu ballistik Iran.
Beberapa hari lalu, imej-imej satelit beresolusi tinggi yang dikeluarkan oleh Planet Labs telah menunjukkan bedilan peluru berpandu balistik Iran telah mengenai dengan tepat sebuah kubah geodesik menempatkan sistem komunikasi penting yang terletak di tengah-tengah Pangkalan Udara Al-Udeid itu.
Ia adalah struktur yang memainkan peranan kritikal bagi komunikasi keselamatan tertinggi operasi ketenteraan Amerika Syarikat di seluruh rantau Asia Barat.
Gambar-gambar yang menunjukkan tahap kerosakan sebenar dialami Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar akibat bedilan peluru berpandu balistik oleh Iran telah menangkis naratif Pentagon bahawa kebanyakan peluru berpandu dilancar Tehran itu berjaya dipintas dengan impak yang “minimum”.
Kemusnahan kubah terminal moden tersebut, yang dipasang pada tahun 2016 dengan kos dianggarkan mencecah USD 15 juta (sekitar RM 71 juta) dan kini sistem radar utama, sekali gus mengesahkan kemampuan peluru berpandu ballistik Iran untuk menembusi benteng pertahanan udara Amerika Syarikat walaupun Pangkalan Udara Al-Udeid itu diiktiraf sebagai antara paling dilindungi di luar negara.
Untuk sebuah pangkalan udara yang sekian lama dipromosi sebagai tunjang dominasi udara dan keupayaan serangan pantas Washington di Teluk, kehilangan struktur komunikasi keselamatan dan sistem radar utama sebegitu penting menjadi bukti betapa terdedahnya infrastruktur statik tentera Amerima kepada ancaman peluru berpandu ballistik yang kini semakin sofistikated di tangan Teheran.
Al-Udeid
Radar utama di Pangkalan tentera Al-Udeid yang musnah.
Pangkalan Udara Al-Udeid — terletak kira-kira 35 kilometer di barat daya Doha — merupakan pangkalan tentera Amerika Syarikat terbesar di Asia Barat dan berfungsi sebagai pusat saraf bagi semua operasi udara yang diselaras oleh Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dan Pemerintahan Tentera Udara Amerika Syarikat (AFCENT).
Pangkalan ini menempatkan lebih 10,000 anggota tentera Amerika Syarikat, kontraktor pertahanan dan rakan sekutu pakatan dengan dua landasan kapal terbang sejajar sepanjang 12,500 kaki, puluhan hangar pesawat serta pusat pemerintahan bawah tanah yang direka untuk mengendalikan operasi udara kompleks di seluruh Teluk, Asia Barat dan sebahagian Asia Tengah.
Pangkalan Udara Al-Udeid juga menjadi hab penting bagi penempatan pesawat pengebom strategik, pesawat risikan, pesawat pengisian bahan api KC-135, dron-dron serangan serta pesawat kawalan dan perintah yang membentuk tulang belakang kepada ketenteraan udara Amerika di Timur Tengah.
Namun, imej satelit dan gambar terkini mendedahkan satu hakikat pahit — walaupun dengan kehadiran sistem pertahanan udara seperti Patriot PAC-3 dan THAAD serta sokongan pelbagai aset pertahanan udara milik Amerika dan Qatar, Pangkalan Udara Al-Udeid masih tidak kebal daripada serangan peluru berpandu ballistik Iran.
Serangan peluru berpandu Iran pada 23 Jun lalu adalah sebagai tindak balas kepada serangan udara Amerika Syarikat terhadap tiga lokasi nuklear Iran hanya dua hari sebelum itu.
Namun kenyataan rasmi dari Washington ternyata bercanggah dengan imej-imej satelit dikeluarkan itu yang menunjukkan kerosakan agak besar dialami oleh pangkalan tentera itu akibat bedilan peluru berpandu Iran.
Al-Udeid
Imej satelit yang diambil oleh Planet Labs pada 25 Jun dan setiap hari selepas itu menunjukkan kubah tersebut telah tiada, dengan kerosakan dapat dilihat pada sebuah bangunan berhampiran.
Bahagian lain pangkalan itu kelihatan sebahagian besarnya tidak terjejas dalam imej berkenaan.
Al-Udeid
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell menegaskan: “Satu peluru berpandu balistik Iran telah mengenai Pangkalan Udara Al-Udeid pada 23 Jun manakala selebihnya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Amerika Syarikat dan Qatar.”
Beliau turut menyatakan kesan impak adalah “kerosakan minimum” tanpa sebarang kecederaan dilaporkan sambil menambah: “Pangkalan Udara Al-Udeid kekal beroperasi sepenuhnya dan mampu melaksanakan misinya bersama rakan kongsi Qatar bagi menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau ini.”
Naratif ini turut disokong oleh Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine yang menggambarkan operasi pertahanan tersebut sebagai “penglibatan Patriot tunggal terbesar dalam sejarah tentera Amerika Syarikat.”
Caine menjelaskan lagi bahawa bateri Patriot Amerika dan Qatar telah digerakkan serentak bagi mempertahankan pangkalan itu sambil mengakui: “Banyak serpihan logam berterbangan.
Serangan tepat sebegini menimbulkan persoalan mendalam mengenai keberkesanan sistem pertahanan udara berlapis yang menjadi sandaran tentera Amerika dan rakan sekutu Teluk dalam melindungi aset hadapan dan anggota di lapangan.
Ia juga memberi gambaran nyata akan keupayaan peluru berpandu balistik Iran yang selama ini dipandang rendah oleh kuasa Barat tetapi semakin terbukti di medan sebenar — dari Teluk hingga Asia Barat.
Al-Udeid
Kubah geo-desik di Pangkalan Tentera Al-Udeid di Qatar sebelum ia musnah akibat dibedil peluru berpandu Iran
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Teheran melabur secara besar-besaran untuk meningkatkan jarak dan ketepatan peluru berpandu Fateh-110, Zolfaghar dan Shahab dengan beberapa sumber melaporkan kemampuan CEP (circular error probable) kurang daripada 10 meter pada jarak melebihi 500 kilometer.
Pangkalan Udara Al-Udeid selama ini dilihat sebagai pangkalan tentera paling selamat di rantau ini untuk operasi hadapan tentera Amerika, lengkap dengan bateri sistem pertahanan udara Patriot PAC-3, THAAD, sistem pertahanan Qatar serta bangunan-bangunan yang direka untuk menahan impak serangan.
Kepentingan strategik pangkalan ini bertambah ketara selepas Washington menstruktur  semula penempatan tenteranya di Iraq, Syria dan Afghanistan (sehingga 2021).
Kini Al-Udeid berperanan sebagai pusat kawalan utama yang menyelaras penerbangan risikan 24/7, misi serangan bersepadu dan lintasan pesawat pengisian bahan api bagi  memastikan rondaan udara pesawat-pesawat Amerika sentiasa berada di kawasan-kawasan “panas” seperti Selat Hormuz, Laut Arab malah kini ke Mediterranean Timur.
Namun, serangan peluru berpandu Iran pada 23 Jun itu menjadi peringatan besar bahawa musuh serantau bukan sahaja mempunyai niat tetapi juga keupayaan sebenar untuk merosakkan atau melumpuhkan pusat pemerintahan tentera Amerika yang amat penting, sekaligus berpotensi menjejaskan kebolehan tentera Amerika Syarikat dalam melaksanakan operasi pelbagai domain dengan segera.
Walaupun Pentagon menegaskan operasi di Pangkalan Udara Al-Udeid itu masih berjalan seperti biasa, kehilangan kubah komunikasi keselamatan bernilai USD 15 juta (RM 71 juta) dan radar utama itu jelas memberi isyarat betapa perlunya penilaian semula mengenai pertahanan tempatan.
Pengiktirafan terbuka bahawa peluru berpandu Iran berjaya menembusi benteng pertahanan juga membawa implikasi besar terhadap keseimbangan deterren di Teluk serta kredibiliti jaminan keselamatan Amerika Syarikat kepada sekutunya di Riyadh, Abu Dhabi dan Manama.
Dalam suasana strategik yang semakin kompleks dengan kebangkitan persaingan kuasa besar dan ancaman peluru berpandu yang kian sofistikated, apa yang berlaku di Pangkalan Udara Al-Udeid bakal menjadi rujukan penting dalam membina semula pelan pertahanan bersepadu, penempatan dispersal, serta pendekatan komunikasi alternatif bagi mengekang ancaman serangan tepat musuh di masa depan.
Bagi ramai penganalisis pertahanan serantau, tapak yang kini menjadi kawah di mana kubah bernilai jutaan dolar pernah berdiri sebelum ia dibedil oleh peluru berpandu Iran itu bakal kekal sebagai simbol bahawa tiada pangkalan tentera yang benar-benar kebal.

Leave a Reply