Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Gambar Satelit Mengesahkan Tentera Udara Algeria Telah Mula Operasi Sukhoi Su-35 (Flanker-E)

Gambar-gambar satelit yang dirakam pada 10 Mac 2025 mengesahkan kehadiran sebuah pesawat Sukhoi Su-35 di Pangkalan Udara Ain Beida/Oum el Bouaghi di timur laut Algeria, satu perkembangan yang telah dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini.

0 8,237
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang dilaporkan oleh International Institute for Strategic Studies (IISS) pada 8 April 2025, Algeria telah mula mengoperasikan pesawat pejuang buatan Russia, Sukhoi Su-35 (Flanker-E).
Gambar-gambar satelit yang dirakam pada 10 Mac 2025 mengesahkan kehadiran sebuah pesawat Sukhoi Su-35 di Pangkalan Udara Ain Beida/Oum el Bouaghi di timur laut Algeria, satu perkembangan yang telah dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini.
Pesawat itu jelas memaparkan lambang bulatan rasmi Tentera Udara Algeria pada bahagian atas sayap kiri.
Perkembangan ini adalah susulan daripada gambar satelit bertarikh 2 Mac 2025 yang dirakam di Komsomolsk-on-Amur, menunjukkan pesawat pengangkut Antonov An-124 milik Tentera Udara Russia sedang bersiap memuatkan sebuah rangka pesawat siri Flanker yang dicat dengan corak warna menyerupai pesanan asal Mesir.
Pesawat pengangkut itu kemudiannya berlepas dari lokasi tersebut, dan pesawat yang sama dikesan berada di Pangkalan Udara Ain Beida pada 5 Mac 2025.
Gambar-gambar satelit menunjukkan sekurang-kurangnya empat lagi pesawat Sukhoi Su-35 di Komsomolsk-on-Amur yang pada asalnya dibina untuk Mesir, kini telah dicat semula dengan lambang rasmi Tentera Udara Algeria.
Sebelum ini dijangkakan bahawa pesawat pejuang Sukhoi Su-35 Flanker M milik Mesir yang tidak digunakan itu akan diberikan kepada negara lain, dengan Iran disebut-sebut sebagai destinasi terakhirnya.
Su-35
(kredit IISS)
Bagaimanapun, pesawat pertama daripada kumpulan pesawat Su-35 tersebut (dahulu sepatutnya dihantar ke Mesir) kini telah dikesan berada di Pangkalan Udara Ain Beida/Oum el Bouaghi di Algeria.
Gambar-gambar satelit pesawat pejuang Su-35 milik Tentera Udara Algeria itu hanya mengesahkan lagi laporan berita sebelum ini pada Mac lalu, di mana negara Afrika Utara itu dilaporkan telah mula mengoperasi pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Russia Sukhoi Su-35.
Tentera Udara Algeria dilaporkan telah melancarkan penerbangan latihan pertama menggunakan pesawat pejuang Su-35 daripada Pangkalan Udara Oum Bouaghi, yang turut membuktikan kekukuhan hubungan ketenteraannya dengan Russia pada ketika Moscow baru sahaja “kehilangan” pangkalannya di Syria.
Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenainya, tetapi Algeria dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan Russia pada 2018 untuk memperolehi 24 buah pesawat pejuang Su-35 Flanker-E.
 Algeria, yang sebelum ini dilaporkan sebagai pelanggan eksport pertama bagi pesawat generasi kelima Sukhoi Su-57 “Felon”, kini berkemungkinan turut menjadi pembeli kepada pesawat Su-35.
Kemunculan pesawat Su-35 di Algeria bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Iran turut menjadi pembeli pesawat pejuang tersebut.
Su-35
(kredit IISS)
Terdapat juga laporan mengenai penghantaran awal pesawat pejuang Su-35 kepada Iran, namun tidak seperti di Algeria, dakwaan itu masih belum dapat disahkan melalui imej satelit sumber terbuka.
Pada tahun 2019, Amerika Syarikat telah memberi amaran bahawa penjualan pesawat itu akan mencetuskan tindakan di bawah Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA) dan sekiranya penghantaran diteruskan, Mesir bakal berdepan sekatan daripada Washington.
Walau bagaimanapun, pengeluaran pesawat tersebut tetap diteruskan pada tahun yang sama, dan menjelang 2021, sekurang-kurangnya 12 buah pesawat telah siap dibina dan ditempatkan di kawasan terbuka di tapak pengeluaran.
Pengeluaran penuh bagi pesanan pesawat pejuang itu dilaporkan telah selesai pada 2022, namun proses penghantaran ke Mesir tidak pernah dimulakan.
Sejak sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Iran tamat pada Oktober 2020, hubungan ketenteraan antara Moscow dan Tehran semakin erat, khususnya melibatkan rundingan baru berkaitan penjualan senjata.
Kerjasama ini turut diperkukuhkan dengan penjualan senjata oleh Iran kepada Russia bagi menyokong operasi ketenteraan Moscow di Ukraine.
Satelit
(kredit IISS)
Iran pada awalnya dilaporkan berminat untuk mendapatkan pesawat Sukhoi Su-30SM Flanker H bagi menggantikan pesawat pejuang Grumman F-14 Tomcat yang dibeli pada era 1970-an.
Pesawat Su-35 turut dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi F-14 tersebut, mahupun pesawat McDonnell Douglas F-4D/E Phantom yang turut telah lama berkhidmat dalam inventori Tentera Udara Iran.
Pada akhir tahun lepas, laporan media Jerman “Flugrevue” mendakwa penyerahan kedua-dua buah pesawat pejuang itu dilakukan dalam satu majlis persendirian di kemudahan pembuatan pesawat Komsomolsk-on-Amur (KnAAPO) di wilayah timur jauh Russia.
“Kedua-dua buah pesawat pejuang Sukhoi Su-35 itu telah dicerai-ceraikan (disassembled) kepada beberapa bahagian pesawat sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Mehrabad di Teheran menggunakan pesawat pengangkut Tentera Russia Antonov An-124-100,” menurut laporan terbabit.
Selepas tiba di Lapangan Terbang Mehrabad, bahagian-bahagian pesawat pejuang itu akan di bawa ke Pangkalan Tentera Udara di Hamadan untuk dipasang semula, bagi membolehkan Iran memiliki pesawat pejuang generasi 4.5 yang pertama.
Menurut laporan media Jerman itu, Iran mahu memperolehi pesawat pejuang Su-35SE itu untuk menggantikan pesawat pejuang F-14 Tomcat yang berpangkalan di Isfahan.
Su-35
Sukhoi Su-35 (Flanker-E)
Iran dilaporkan akan menerima sehingga 50 buah pesawat pejuang Su-35 dan bukan 24 sebagaimana dinyatakan sebelum ini.
Dengan penambahan bilangan pesawat pejuang Su-35 oleh Iran itu kepada 50 buah akan membolehkan tentera udara negara itu menamatkan sebahagian daripada pesawat pejuang F-4 Phantom yang sedang berkhidmat dengan Skuadron Taktikal ke-31 yang berpangkalan di Hamadan.
Defence Security Asia sebelum ini melaporkan bahawa Iran bakal menerima enam buah pesawat pejuang Sukhoi Su-35 daripada Russia dalam jangkamasa terdekat ini,  berkemungkinan besar akan ditempatkan di Pangkalan Udara Hamadan sebagaimana dispekulasikan sebelum ini.
Keenam-enam pesawat pejuang generasi 4.5 yang diberikan gelaran “Super Sukhoi” itu akan diterbangkan oleh juruterbang Russia ke pangkalan tentera udara Iran itu, sebagaimana maklumat di dalam platform media sosial.
Su-35
Su-35 “Flanker E”
Enam buah pesawat pejuang Su-35 itu dipercayai adalah daripada kumpulan pertama daripada beberapa kumpulan pesawat pejuang Su-35 yang berkemungkinan besar akan dihantar oleh Russia kepada Iran di dalam tempoh bulan-bulan dan tahun mendatang ini.
Kehadiran pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-35 di Pangkalan Udara Hamadan itu adalah selari dengan kerja-kerja pembinaan beberapa kubu penempatan pesawat yang sedang rancak dilakukan di Pangkalan Tentera Udara Iran di Hamadan itu.
DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.