Fordow: Loji Nuklear Iran yang Terlalu Dalam untuk Ditembusi Senjata Paling Berat Israel
Kemudahan nuklear Iran di Fordow ini dianggarkan lebih dalam daripada Terowong Channel yang menghubungkan Britain dan Perancis, menjadikannya hampir mustahil untuk dimusnahkan walaupun dengan senjata penembus kubu bawah tanah paling canggih milik Israel.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Terletak jauh di dalam kawasan pergunungan di selatan Tehran, loji pengayaan uranium (uranium enrichment) Fordow milik Iran kekal menjadi antara sasaran paling kebal dalam program nuklear republik itu yang sehingga kini gagal ditembusi oleh keupayaan ketenteraan Israel.
Walaupun Israel berjaya menguasai ruang udara Iran dalam beberapa siri serangan ketenteraan mutakhir ini, loji nuklear Fordow kekal utuh dan beroperasi sepenuhnya kerana perlindungan semula jadinya yang terletak jauh di bawah permukaan bumi.
Kemudahan nuklear Iran di Fordow ini dianggarkan lebih dalam daripada Terowong Channel yang menghubungkan Britain dan Perancis, menjadikannya hampir mustahil untuk dimusnahkan walaupun dengan senjata penembus kubu bawah tanah paling canggih milik Israel.
Walaupun peluru berpandu Israel dipercayai telah mengenai kawasan berhampiran kompleks tersebut—yang menempatkan aktiviti pengayaan uranium penting—agensi perisikan Barat dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan Fordow masih berfungsi sepenuhnya.
Terletak kira-kira 30 kilometer timur laut Qom, kemudahan ini asalnya dibangunkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai pangkalan tentera sebelum fungsinya sebagai loji nuklear didedahkan pada tahun 2009 selepas penemuan oleh perisikan Barat.
Dalam satu pemeriksaan mengejut oleh IAEA pada tahun 2023, zarah uranium yang diperkaya hampir ke tahap gred senjata berjaya dikesan, sekali gus mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai matlamat sebenar loji itu.
Setakat ini, Fordow merupakan satu-satunya fasiliti nuklear Iran yang disahkan pernah mencapai tahap pengayaan hampir 90 peratus U-235—tahap minimum yang diperlukan untuk membangunkan senjata nuklear.

Tahap pengayaan 90 peratus uranium-235 (U-235) amat ditakuti kerana ia menandakan ambang kritikal bagi pembuatan senjata nuklear, menjadikannya isu keselamatan global yang sangat serius.
Apabila uranium diperkaya kepada 90 peratus atau lebih kandungan isotop U-235, ia secara teknikal mencapai status “weapons-grade”, iaitu tahap kesucian yang diperlukan untuk mencetuskan letupan nuklear dalam senjata atom.
Uranium semula jadi hanya mengandungi kira-kira 0.7 peratus U-235, dan untuk kegunaan reaktor tenaga awam, ia hanya perlu diperkaya kepada 3–5 peratus.
Tetapi apabila melepasi enrichment 20 peratus, uranium dianggap sebagai “enriched uranium” yang berisiko tinggi, dan semakin hampir kepada keupayaan ketenteraan.
Melonjak ke tahap 90 peratus membolehkan pembuatan bom nuklear dengan saiz padat dan letupan besar, seperti yang digugurkan di Hiroshima pada tahun 1945.
Hanya kira-kira 25 kilogram uranium diperkaya 90 peratus diperlukan untuk menghasilkan satu bom atom bersaiz taktikal—jumlah yang kecil tetapi membawa kesan pemusnahan besar.
Sebaik sahaja sesebuah negara memiliki teknologi dan kapasiti untuk memperkaya uranium ke tahap 90 peratus, ia boleh dianggap sudah mencapai keupayaan “nuclear breakout”—iaitu keupayaan membina senjata nuklear dalam tempoh yang sangat singkat (beberapa minggu atau bulan).


Menurut IAEA, uranium yang diperkaya ke tahap 90 peratus tidak mempunyai kegunaan sah dalam sektor tenaga awam—ia hanya relevan untuk pembangunan senjata nuklear, menjadikannya penanda aras ketenteraan yang dikawal ketat di bawah Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear (NPT).
Struktur bawah tanah Fordow terdiri daripada dua terowong utama dan jaringan laluan sokongan yang menempatkan susunan sentrifug digunakan untuk memperkayakan uranium sambil dilindungi oleh lapisan konkrit dan batuan semula jadi.
Iran menegaskan Fordow hanya bertujuan untuk kegunaan tenaga nuklear awam, namun bagi Israel, loji ini merupakan ancaman wujud yang mesti dinetralkan sebelum Teheran melangkaui ambang senjata nuklear.
Proses pengayaan uranium ialah proses meningkatkan kepekatan isotop uranium-235 daripada hanya 0.7 peratus secara semula jadi kepada lebih 90 peratus, menjadikannya sesuai digunakan dalam pembangunan senjata nuklear.
Meskipun kapasiti maksimum Fordow hanyalah sekitar 2,976 unit sentrifug, ia kekal strategik kerana lokasinya yang dalam serta perlindungan semula jadi yang jauh lebih kukuh berbanding fasiliti utama Iran di Natanz, yang menempatkan lebih 50,000 sentrifug.
Walaupun kemudahan di Natanz telah beberapa kali menjadi sasaran serangan siber, sabotaj dan serangan udara, Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi mengesahkan bahawa: “Tiada kerosakan dilaporkan di loji Fordow atau reaktor air berat Khondab yang sedang dibina.”
Kejayaan Fordow terus bertahan membuktikan satu hakikat pahit bagi Israel—bahawa kedalaman fizikal kini setara dengan ketahanan strategik.

Senjata paling berat dalam inventori Israel ialah bom penembus kubu GBU-28 buatan Amerika Syarikat, seberat 5,000 paun (2,268 kilogram), yang direka semasa Perang Teluk untuk memusnahkan bunker komando Saddam Hussein.
GBU-28 dilengkapi hulu ledak seberat 630 paun (286 kilogram) dan mampu menembusi sehingga 6 meter konkrit bertetulang atau 30 meter tanah, bergantung kepada sudut hentaman dan struktur sasaran.
Ia boleh dilancarkan menggunakan pesawat pejuang jarak jauh F-15I “Ra’am” milik Tentera Udara Israel yang dibangunkan berdasarkan F-15E Strike Eagle, direka khusus untuk membawa beban berat dan menjalankan serangan mendalam ke kawasan musuh.
Gabungan F-15I dan GBU-28 memberikan Israel keupayaan untuk memusnahkan sasaran berkubu di rantau ini, namun ia masih gagal mencapai kedalaman Fordow yang dianggarkan antara 80 hingga 90 meter di bawah tanah.
Bagi memusnahkan Fordow secara efektif, Israel memerlukan bom ultra berat yang hanya dimiliki oleh Amerika Syarikat—GBU-57A/B Massive Ordnance Penetrator (MOP) seberat 13,600 kilogram (30,000 paun).
MOP mampu menembusi sehingga 18 meter konkrit atau 61 meter tanah sebelum meletup, namun hanya boleh dilancarkan menggunakan pesawat pengebom strategik halimunan B-2A Spirit, yang tidak dimiliki oleh Israel dan tidak pernah ditawarkan untuk jualan.
Menurut laporan daripada Janes Defence, walaupun menggunakan MOP sekalipun, satu serangan mungkin tidak mencukupi untuk melumpuhkan Fordow sepenuhnya kerana sistem perlindungannya yang berlapis-lapis, memerlukan beberapa siri hentaman berulang.
Ketiadaan keupayaan menyerang Fordow secara unilateral mendorong Israel untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan dengan Washington, khususnya jika Teheran menghampiri ambang pembangunan senjata nuklear.
Namun setakat ini, Amerika Syarikat belum bersetuju untuk memindahkan MOP kepada Israel atau memberikan akses kepada platform pelancar strategik tersebut, memandangkan sensitiviti geopolitik dan risiko peningkatan konflik.
Kekebalan Fordow juga menyerlahkan satu trend baharu dalam landskap peperangan moden—iaitu peralihan ke arah peperangan bawah tanah, di mana fasiliti kritikal musuh kini dilindungi oleh gunung-ganang dan terowong dalam yang menuntut senjata dengan keupayaan penembusan luar biasa.
MOP yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat telah diuji berulang kali di kem latihan rahsia seperti White Sands dan Tonopah, termasuk simulasi terhadap sasaran seperti Fordow, Punggye-ri di Korea Utara dan lokasi strategik China.
Kegagalan GBU-28 menembusi Fordow menimbulkan persoalan besar buat Israel: bukan lagi soal niat untuk bertindak—tetapi adakah mereka mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya?
