Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat FA-50 Bakal Ke Eropah Pula Selepas Ini

Berada di kedudukan teratas dalam senarai sistem persenjataan buatan Korea Selatan yang mahu dimiliki oleh Poland adalah pesawat pejuang ringan FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) dan turut ditawarkan kepada TUDM, sekaligus menandakan kepercayaan negara Eropah dan anggota NATO itu terhadap kemampuan pesawat pejuang itu.

0 5,939

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bimbang dengan ancaman daripada Moscow, Poland yang berkongsi sempadan dengan Ukraine serta Russia kini berpaling kepada Korea Selatan untuk mendapatkan beberapa sistem persenjataan canggih dalam usaha untuk memperkukuhkan pertahanannya.

Berada di kedudukan teratas dalam senarai sistem persenjataan buatan Korea Selatan yang mahu dimiliki oleh Poland adalah pesawat pejuang ringan FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI), sekaligus menandakan kepercayaan negara Eropah dan anggota NATO itu terhadap kemampuan pesawat pejuang itu.

Portal “The Korea Economic Daily” dalam laporannya baru-baru ini berkata, Poland semakin hampir untuk menandatangani perjanjian perolehan sistem pertahanan dengan Korea Selatan meliputi pesawat pejuang, kereta kebal dan sistem artileri.

FA-50

Dalam lawatannya ke Korea Selatan bulan lepas, pasukan perolehan senjata Poland menunjukkan minat untuk memperolehi sistem persenjataan buatan negara Asia Timur itu untuk menggantikan beberapa senjata miliknya yang telah dipindahkan ke Ukraine.

Bagi membantu tentera Ukraine menangani ancaman Russia, Poland antaranya telah memindahkan pesawat-pesawat MiG-29 serta kereta kebal T-72 (serta PT-91 Twardy tidak lama lagi) untuk digunakan  oleh tentera negara jirannya itu.

Spekulasi tentang kontrak besar yang bakal diperolehi oleh firma-firma pertahanan Korea Selatan daripada Ukraine telah menyebabkan saham-saham syarikat itu di bursa saham negara itu melonjak naik.

Pemerhati saham yang dipetik oleh portal bisnes itu berkata potensi penjualan beberapa sistem pertahanan telah membuatkan saham-saham syarikat itu mencatat peningkatan harga.

FA-50
Sistem pertahanan udara jarak sederhana “Cheongung II”

 

Menteri Pertahanan Poland Mariusz Blaszczak yang telah melawat kilang KAI pada bulan lepas dilaporkan telah melahirkan hasrat untuk membeli pesawat pejuang ringan FA-50.

Poland dilaporkan mahu memperoehi sejumlah 48 buah pesawat FA-50 Block 20 (sebagaimana yang ditawarkan kepada TUDM) yang dilengkapi dengan radar AESA.

Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol turut telah bertemu dengan Presiden Poland Andrzej Duda di Sepanyol ketika persidangan NATO untuk membincangkan tentang penjualan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50 kepada negara Eropah Timur itu.

Sebagai sebuah negara anggota NATO yang berkongsi sempadan dengan Ukraine serta wilayah Kaliningrad di Russia, Poland telah bertindak memindahkan pesawat-pesawat pejuang MiG-29 kepada Tentera Udara Ukraine untuk menentang pencerobohan udara pesawat pejuang Russia.

K2 Tank
Kereta kebal K2 Black Panther Korea Selatan

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

“Poland mahu membeli pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat, tetapi apabila permintaan terhadap pesawat itu melonjak daripada seluruh dunia, ia (Poland) mula melihat kepada FA-50,” menurut sumber industri yang dipetik oleh portal berkenaan.

Dalam satu mesyuarat pada 13 Jun lepas, Menteri Pertahanan Poland itu telah melahirkan hasrat untuk memperolehi sistem artileri bergerak K9, kereta kebal utama K2 Black Panther dan sistem pertahanan udara jarak sederhana “Cheongung II.”

Poland juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan Korea Infantry Fighting Vehicle (KIFV). — DSA

 

Comments
Loading...