Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kekurangan Tanah Punca S’pura Pilih Varian Pesawat F-35B Paling Mahal

Disebabkan masalah kekurangan tanah di negara pulau di selatan Semenanjung Malaysia itu, tentera udara Singapura telah memilih varian F-35B Short Take-Off and Vertical Landing (STOVL) yang bakal diterimanya pada tahun 2026.

6,799

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Negara jiran kita,  Singapura bakal mengoperasikan 12 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35 yang dibeli daripada Amerika Syarikat seawal-awalnya pada tahun 2026, sekiranya penghantaran pesawat halimunan itu tidak tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Varian pesawat pejuang keluaran syarikat Lockheed Martin yang dibeli oleh Singapura adalah F-35B, yang merupakan varian Short Take-Off and Vertical Landing (STOVL).

Varian F-35B STOVL yang dibeli oleh Singapura ini hanya memerlukan landasan yang amat pendek iaitu hanya kira-kira 550 kaki panjang bagi membolehkan pesawat pejuang generasi kelima itu berlepas manakala untuk mendarat pula ia boleh dilakukan secara vertical (menegak)

F-35

12 buah pesawat F-35B yang diperolehi oleh Singapura itu agak mahal harganya disebabkan keistimewaan STOVL itu, dengan harga per-unit pesawat itu adalah dianggarkan US$110 juta (RM) sebuah.

Ia berbanding dengan harga per-unit bagi varian F-35A yang memerlukan landasan untuk berlepas dan mendarat yang dianggarkan sebanyak US$80 juta (RM320 juta)

Disebabkan keupayaan STOVL itu, harga F-35B adalah agak mahal berbanding varian-varian yang lain.

Manakala varian terkini F-35C adalah khusus untuk operasi di kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat dan bakal menggantikan pesawat F/A-18C/D.

F-35

Mengapa Singapura memilih varian F-35B STOVL?  Mengapa ia tidak memilih varian F-35A yang lebih mudah untuk dioperasikan dan boleh terbang serta mendarat di landasan yang terhad?

Singapura sedar sebagai sebuah negara pulau dengan saiz daratan yang terhad, ia memerlukan pesawat pejuang yang tidak menggunakan landasan konvensional yang panjang sebagaimana yang digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang negara itu yang lain.

Pesawat-pesawat Tentera Udara Republik Singapura yang lain iaitu 60 buah F-16 dan 40 buah F-15SG memerlukan landasan konvensional untuk berlepas dan mendarat.

F-35
Pesawat F-35B STOVL mendarat pada waktu malam.

 

Disebabkan kepesatan pembangunan ekonomi, Pangkalan Udara Paya Lebar akan ditutup selepas tahun 2030 untuk dibangunkan dengan dengan aktiviti ekonomi manakala aset-aset tentera udara negara itu dipindahkan ke Pangkalan Udara Tengah dan Pangkalan Udara Changi.

Selepas tahun 2030, Singapura hanya memiliki dua pengkalan udara dan kemungkinan selepas itu ia juga akan berhadapan dengan tekanan untuk menyerahkan tanah pangkalan itu untuk tujuan komersial.

Itulah dilemma yang dihadapi oleh pihak tentera Singapura, kekangan tanah untuk aktiviti ketenteraan sehingga menyebabkan aset-asetnya diletakkan di beberapa negara luar termasuk Amerika Syarikat dan Australia serta Brunei untuk tujuan latihan dan lain-lain.

Malah bermula daripada tahun 2029, pesawat-pesawat tentera Singapura akan berlatih di Pangkalan Tentera Amerika di Guam.

F-35

Satu lagi kemungkinan mengapa ia memilih varian F-35B adalah kerana perancang tentera Singapura sedar apabila konflik ketenteraan meletus melibatkan negara pulau itu, landasan-landasan kapal terbang di republik itu bakal menjadi sasaran “musuh” yang berusaha untuk melumpuhkan operasi tentera udara negara itu.

Pemilihan varian F-35B STOVL oleh Singapura itu merupakan keputusan yang strategik kerana ia memberikan opsyen yang luas kepada perancang tentera negara itu kerana pesawat pejuang itu boleh beroperasi daripada mana-mana kedudukan tanpa memerlukan landasan konvensional untuk yang panjang untuk berlepas dan mendarat.

Dari mana-mana kedudukan di Singapura (dengan panjang landasan yang amat minimal), pesawat-pesawat pejuang F-35B Singapura itu boleh melancarkan serangan terhadap kedudukan musuh walaupun Pangkalan Udara Tengah dan Changi itu berjaya dilumpuhkan oleh musuh.

Keputusan Singapura memilih F-35B STOVL itu juga memaksa “musuh-musuhnya” untuk mencari jalan paling berkesan untuk melumpuhkan tentera udaranya secara total.

F-35

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Dahulu, jika memusnahkan Pangkalan Udara Tengah dan Pangkalan Udara Changi berkemampuan untuk melumpuhkan operasi Tentera Udara Singapura, kini dengan adanya pesawat-pesawat pejuang F-35B STOVL yang boleh berlepas dan mendarat dari landasan yang minima,  usaha melumpuhkan operasi tentera udara republik itu bakal menjadi semakin sukar.  

Bagi “musuh-musuh” Singapura, mereka perlu mencari jalan lain untuk melumpuhkan operasi Tentera Udara Singapura secara total kerana memusnahkan landasan sama ada di Pangkalan Udara Tengah atau di Pangkalan Udara Changi hanya akan menyukarkan operasinya tetapi ia tidak akan melumpuhkannya.

Dengan pesawat F-35B,  Tentera Udara Singapura boleh beroperasi di mana-mana dengan kemudahan landasan yang amat minimal (mungkin di jalanraya sahaja) — DSA

 

Comments are closed.