Pesawat F-35B STOVL Bantu Negara “Kekurangan Tanah” Seperti Singapura
Keputusan Singapura untuk mengoperasikan varian pesawat F-35B (Short Take Off and Vertical Lamding) itu dikatakan menjadi perhatian beberapa negara yang turut berminat untuk menggunakan pesawat-pesawat STOVL di pangkalan-pangkalan udara di darat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Singapura dikatakan bakal menjadi antara negara pertama di dunia yang mengoperasikan varian pesawat pejuang F-35B (Short Take Off and Vertical Landing – STOVL) daripada pangkalan-pangkalan udara dan bukannya daripada kapal-kapal pengangkut pesawat, seperti kebiasaannya.
Keputusan Singapura mengoperasikan varian pesawat F-35B itu dikatakan menjadi perhatian beberapa negara yang turut berminat untuk menggunakan pesawat-pesawat STOVL daripada pangkalan udara di darat.
Minggu lepas, Singapura mengumumkan bahawa ia menambah pembelian lapan buah lagi pesawat pejuang generasi kelima, F-35B keluaran syarikat Lockheed Martin.
Perolehan lapan buah lagi pesawat pejuang F-35B akan menjadikan jumlah keseluruhan pesawat pejuang itu yang dimiliki Singapura sebanyak 12 buah.
“Kementerian Pertahanan Singapura dan Angkatan Tentera Singapura telah merumuskan bahawa pesawat F-35 adalah pilihan terbaik untuk memenuhi keperluan pertahanan Singapura pada ketika ini dan masa depan,” kata Menteri Pertahanan republic itu, Dr Ng Eng Hen di Parlimen negara itu.
Pada 2019, republik itu mengumumkan perolehan empat buah pesawat F-35 yang dianggarkan bernilai US$2.75 bilion (RM11 bilion) , menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Keempat-empat pesawat pejuang generasi kelima itu bakal diterima oleh Singapura pada tahun 2026, manakala selebihnya akan mula diterima pada akhir dekad ini.
Selain Singapura, Jepun juga dikatakan telah memesan varian pesawat F-35B untuk beroperasi daripada pangkalan udara yang terletak di pulau-pulau berhampiran dengan sempadan maritim China.
Selain Jepun, Korea Selatan dan Australia juga mengoperasikan pesawat pejuang F-35 daripada varian “A” yang khusus untuk beroperasi di landasan-landasan konvensional di pangkalan udara.
Keputusan Singapura mengoperasikan pesawat pejuang F-35B STOVL dilihat memberikan kelebihan kepada tentera udara republik itu berikutan keadaan geografi pulau yang kecil dan suasana operasi.
Varian F-35B membolehkan pesawat itu beroperasi daripada pangkalan-pangkalan udara yang kecil, selain kapal-kapal pengangkut pesawat.
Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen berkata bahawa kemampuan F-35B beroperasi jauh daripada infrastruktur pangkalan udara “berisiko tinggi” merupakan elemen yang penting bagi republik yang berhadapan masalah “kekurangan tanah” untuk mengoperasikan pangkalan-pangkalan udara yang besar.
Dengan keluasan hanya 280 batu persegi, kemampuan F-35B untuk “berteraburan” ke kawasan-kawasan yang boleh dijadikan pangkalan udara adalah amat penting untuk Singapura.
Varian F-35B STOVL yang dibeli oleh Singapura ini hanya memerlukan landasan yang amat pendek iaitu hanya kira-kira 550 kaki panjang bagi membolehkan pesawat pejuang generasi kelima itu berlepas manakala untuk mendarat pula ia boleh dilakukan secara vertical.
Singapura sedar sebagai sebuah negara pulau dengan saiz daratan yang terhad, ia memerlukan pesawat pejuang yang tidak menggunakan landasan konvensional yang panjang sebagaimana yang digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang negara itu yang lain.
Pesawat-pesawat Tentera Udara Republik Singapura yang lain iaitu 60 buah F-16 dan 40 buah F-15SG memerlukan landasan konvensional untuk berlepas dan mendarat.
Disebabkan kepesatan pembangunan ekonomi, Pangkalan Udara Paya Lebar akan ditutup selepas tahun 2030 untuk dibangunkan dengan dengan aktiviti ekonomi manakala aset-aset tentera udara negara itu dipindahkan ke Pangkalan Udara Tengah dan Pangkalan Udara Changi.
Selepas tahun 2030, Singapura hanya memiliki dua pengkalan udara.
Itulah dilemma yang dihadapi oleh pihak tentera Singapura, kekangan tanah untuk aktiviti ketenteraan sehingga menyebabkan aset-asetnya diletakkan di beberapa negara luar termasuk Amerika Syarikat dan Australia serta Brunei untuk tujuan latihan dan lain-lain.
Malah bermula daripada tahun 2029, pesawat-pesawat tentera Singapura akan berlatih di Pangkalan Tentera Amerika di Guam.
Perancang-perancang tentera Singapura sedar apabila konflik ketenteraan meletus melibatkan negara pulau itu, landasan-landasan kapal terbang di republik itu bakal menjadi sasaran “musuh” dalam usaha untuk melumpuhkan operasi tentera udara negara itu.
Pemilihan varian F-35B STOVL oleh Singapura itu merupakan keputusan yang strategik kerana ia memberikan opsyen yang luas kepada perancang tentera negara itu kerana pesawat pejuang itu boleh beroperasi daripada mana-mana kedudukan tanpa memerlukan landasan konvensional untuk berlepas dan mendarat.
Dari mana-mana kedudukan di Singapura, pesawat-pesawat pejuang F-35B boleh melancarkan serangan terhadap kedudukan musuh walaupun Pangkalan Udara Tengah dan Changi itu berjaya dilumpuhkan dalam serangan.
Keputusan Singapura memilih F-35B STOVL itu juga memaksa “musuh-musuhnya” untuk mencari jalan paling berkesan untuk melumpuhkan tentera udaranya.
Dahulu, jika memusnahkan landasan kapal terbang sudah cukup untuk melumpuhkan operasi Tentera Udara Singapura, kini dengan adanya pesawat-pesawat pejuang F-35B STOVL yang boleh berlepas dan mendarat dari mana-mana lokasi di Singapura, maka usaha melumpuhkan operasi tentera udara republik itu juga semakin sukar. — DSA
Comments are closed.