Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

F-35B Britain Terkandas di India: Peluang Keemasan Bagi Su-57 Buatan Rusia Pikat New Delhi

Insiden pesawat pejuang F-35B terkandas di India itu secara tidak langsung membuka peluang lebih besar kepada Rusia untuk mempromosi pesawat pejuang generasi kelima Su-57 Felon mereka kepada New Delhi, yang semakin berhati-hati dalam memilih rakan teknologi pertahanan bagi menyaingi kebangkitan China dan Pakistan yang kini giat menambah aset pejuang halimunan.

0 2,511
Pesawat pejuang halimunan F-35B milik Tentera Laut Diraja Britain yang terkandas di India hampir tiga minggu kini menjadi simbol baharu kelemahan pesawat pejuang generasi kelima tersebut, sekali gus berpotensi menggagalkan usaha Lockheed Martin untuk mempengaruhi India membeli pesawat itu pada masa depan.
Kejadian ini secara tidak langsung membuka peluang lebih besar kepada Rusia untuk mempromosi pesawat pejuang generasi kelima Su-57 Felon mereka kepada New Delhi, yang semakin berhati-hati dalam memilih rakan teknologi pertahanan bagi menyaingi kebangkitan China dan Pakistan yang kini giat menambah aset pejuang halimunan.
Insiden bermula pada 14 Jun lalu apabila pesawat F-35B berteknologi tinggi milik Tentera Laut Diraja Britain terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Thiruvananthapuram, Kerala, selepas menghadapi cuaca buruk ketika melakukan operasi di Lautan Hindi dari kapal induk HMS Prince of Wales.
Kapal induk itu sendiri tidak asing dengan isu teknikal sejak ditauliahkan pada 2019, menjadikan insiden pesawat terkandas ini satu lagi tamparan kepada kredibiliti armada Britain di rantau Asia.
Sejak mendarat, pesawat bernilai ratusan juta Dolar Amerika itu — yang sarat dengan sistem elektronik sensitif, salutan penyerap radar dan misi tempur canggih — terus ‘berkubur’ di bumi India selama lebih 20 hari.
Pasukan teknikal khas dari Britain diterbangkan segera untuk membaiki pesawat tersebut, tetapi sehingga kini, usaha tersebut gagal mengembalikan pesawat ke udara.
Pada 3 Julai, Tentera Udara Diraja Britain mengakui bahawa membaiki pesawat tersebut di lokasi pendaratan adalah “tidak praktikal”, dengan London kini mempertimbangkan langkah terakhir yang cukup memalukan — membongkar komponen pesawat itu untuk diterbangkan pulang menggunakan pesawat angkut strategik C-17 Globemaster.
F-35B
F-35B
Bagi perancang pertahanan India, episod F-35B ini menjadi amaran keras tentang risiko mengendalikan pesawat pejuang halimunan buatan Amerika yang terkenal dengan kos operasi tinggi serta keperluan penyelenggaraan yang rumit.
Apa yang lebih memalukan buat Lockheed Martin dan Jabatan Negara Amerika Syarikat ialah insiden ini berlaku hanya beberapa bulan selepas Washington menggandakan usaha mempromosi F-35 kepada Tentera Udara India.
Usaha itu dibuat dengan naratif bahawa F-35 mampu menutup jurang teknologi dengan China yang kini mengoperasikan jet Chengdu J-20 Mighty Dragon dan juga Pakistan yang tidak lama lagi bakal memiliki J-35A — pesawat halimunan generasi baharu buatan Beijing.
Pendaratan mendadak F-35B di Kerala juga mendedahkan prosedur keselamatan yang ketat.
Difahamkan, juruterbang pesawat tersebut pada mulanya enggan meninggalkan kokpitnya — satu langkah standard untuk mengelak sebarang risiko perisikan atau pemeriksaan teknologi oleh negara bukan bersekutu.
Di belakang tabir, pegawai diplomatik Britain bertindak pantas mendapatkan jaminan daripada kerajaan India bahawa tiada jurutera tempatan dibenarkan memeriksa pesawat tersebut.
Keadaan ini mencerminkan betapa Barat masih berwaspada untuk berkongsi teknologi pesawat generasi kelima mereka di rantau yang masih mempunyai hubungan erat dengan Rusia.
Su-57
Su-57 dan F-35 di Pangkalan Udara Yehalanka, Bengaluru untuk menyertai Aero India 2025.
Menjelang hujung Jun, pesawat berkenaan dipindahkan secara senyap ke hangar penyelenggaraan Air India untuk mengelak tumpuan media dan orang awam.
Walau bagaimanapun, reputasi F-35 di mata pemerhati pertahanan India semakin tercalar.
Program F-35 yang dimulakan hampir dua dekad lalu sememangnya sering dikritik kerana tahap kebolehgunaan yang rendah, keperluan logistik yang besar, masalah perisian yang berlarutan serta kos operasi yang dikatakan ‘mencanak’ berbanding mana-mana pesawat tempur dalam inventori Tentera Udara Amerika Syarikat.
Varian F-35B pula dikenali sebagai varian yang paling kompleks kerana keupayaan berlepas pendek dan mendarat secara menegak (STOVL) yang memerlukan penyelenggaraan tambahan.
Selain itu, jarak operasi F-35B juga lebih pendek berbanding varian F-35A dan F-35C, menjadikannya lebih terdedah kepada senario kecemasan di kawasan yang kekurangan lapangan terbang alternatif.
Bagi Lockheed Martin dan Washington, persepsi sebuah pesawat halimunan termahal dunia terdampar di India ketika usaha melobi New Delhi sedang dipergiatkan adalah mimpi buruk yang menjadi nyata.
Pada Februari lalu, bekas Panglima Udara India, Marsyal Udara Bersara Anil Chopra berkata India “tetap berhati-hati dengan kecenderungan Amerika Syarikat mengenakan tekanan dan meninggalkan sekutu apabila kepentingannya bercanggah”.
F-35
F-35
Beliau menegaskan bahawa “memilih negara rakan yang tidak akan mengenakan tekanan tidak wajar adalah amat penting,” satu kenyataan yang secara halus menunjukkan sekatan penggunaan operasi yang ketat pada F-35 sukar diterima India.
Sementara F-35B terus ‘berjemur’ di bawah terik matahari Kerala, Moscow pantas mengambil peluang untuk menawarkan Su-57 Felon sebagai alternatif yang lebih praktikal bagi keperluan pejuang generasi kelima India.
Walaupun Su-57 diakui masih ketinggalan sedikit dari segi teknologi halimunan dan avionik Barat, pakar Rusia berhujah bahawa pesawat itu mempunyai kelebihan penting termasuk prestasi aerodinamik jauh lebih baik, keupayaan gerakan yang tinggi dengan teknologi enjin vektor tujahan, jarak tempur hampir dua kali ganda F-35B, muatan peluru berpandu lebih besar serta radar canggih untuk operasi multi-domain.
Yang paling menarik perhatian, Rusia menawarkan akses penuh kepada kod sumber (source code) Su-57 kepada India — satu langkah yang belum pernah dilakukan Amerika terhadap mana-mana rakan sekutu F-35.
Sebagai tambahan, perjanjian Su-57 juga membabitkan pelesenan pengeluaran tempatan oleh Hindustan Aeronautics Limited (HAL), dengan teknologi dipindahkan secara langsung untuk menyokong program pembangunan pesawat tempur generasi kelima tempatan, AMCA.
Penganalisis percaya prestasi Rafale India yang dilihat tidak memberangsangkan ketika insiden ketegangan di sempadan dengan Pakistan pada Mei lalu, turut menjadi pemangkin untuk New Delhi melihat semula keperluan memiliki pesawat halimunan yang benar-benar mampu memberi ‘deterrence’ terhadap Islamabad dan Beijing.
Pemerhati ketenteraan India juga sedar bahawa Tentera Udara Pakistan dijangka menerima J-35A — pesawat eksport halimunan China yang banyak ciri utamanya dipinjam daripada J-20 Mighty Dragon.
Su-57
Su-57
Dalam suasana persaingan strategik yang kian panas di Pergunungan Himalaya, F-35B yang terkandas ini menjadi peringatan jelas bahawa India tidak boleh terburu-buru memilih rakan teknologi yang berisiko ‘mengikat tangan’ mereka dari segi operasi dan kedaulatan.
Meskipun Washington cuba memujuk dengan janji keupayaan teknologi setara, bayangan pemantauan end-use dan ancaman sekatan ekonomi sentiasa menghantui New Delhi.
Walaupun berdepan tekanan Amerika selama bertahun-tahun, India tetap bertegas mengekalkan hubungan pertahanan tradisionalnya dengan Rusia — satu isyarat bahawa Felon Su-57 masih mempunyai peluang besar untuk diterima sebagai pejuang generasi kelima utama India.
Setiap hari F-35B terus tersadai di bumi India, ia mengingatkan barisan perancang pertahanan India bahawa kebebasan operasi dan fleksibiliti logistik adalah jauh lebih penting daripada mengejar status simbol pesawat halimunan paling mahal Barat.
Akhirnya, soalan besar yang bakal menentukan imbangan kuasa udara Asia Selatan ialah: adakah India sanggup ‘terikat’ dengan sistem Amerika yang sarat syarat, atau berani mempertaruhkan janji Rusia untuk sebuah pesawat halimunan yang boleh dipanggil milik sendiri?
Apa pun keputusannya, perlumbaan menyaingi China dengan J-20 dan Pakistan dengan J-35A sudah pun bermula — dan F-35B yang terperangkap di Kerala secara tidak sengaja telah mengubah naratif tersebut.

SNIPPET

F-35B Britain terkandas di Kerala lebih 20 hari jadi simbol kelemahan pesawat halimunan Barat, ketika Rusia tawar Su-57 kepada India untuk saingi China J-20 & Pakistan J-35A.

Leave a Reply