Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Serah LOA Bagi Dua Buah Radar Jarak Jauh GM400 Alpha Dibangunkan Thales

Satu keistimewaan unik pada radar GM400α ialah keupayaannya mengesan dan menjejak ancaman seperti UAV taktikal yang terbang rendah berhampiran permukaan bumi, yang cuba bersembunyi dalam ‘clutter’ berdekatan radar, sambil pada masa yang sama turut mengesan dan menjejak sasaran pada altitud lebih tinggi seperti pesawat pejuang-pengebom pada jarak sehingga 515 kilometer.

0 5,411
Kementerian Pertahanan Malaysia telah menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) bagi perolehan dua buah radar udara pertahanan jarak jauh, Ground Master 400 alpha (GM400α) yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Perancis, Thales.
Majlis penyerahan itu disempurnakan antara Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan wakil Thales.
Mohamed Khaled di dalam posting dalam akaun media sosialnya berkata, majlis penyerahan LOA itu dibuat selepas pertemuan bilateral antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya daripada Perancis, Francois Bayrou.
“Sejurus selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Kementerian Pertahanan kepada syarikat pertahanan multinasional Perancis, Thales, saya berpeluang mengadakan pertemuan bersama syarikat tersebut.”
“Delegasi Thales diketuai oleh Naib Presiden Eksekutifnya, Hervé Dammann. Syarikat diberikan kontrak membina dua “GM400α long-range air surveillance radars” untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” kata beliau.
Menteri Pertahanan Malaysia itu juga berkata, pelbagai perkara telah disentuh dalam pertemuan dengan pengurusan syarikat Thales itu, antaranya dalam soal usaha kolaboratif, pertukaran teknologi, integrasi sistem pertahanan, serta pembinaan kapasiti industri.
“Pertemuan itu turut menyentuh berkenaan sistem satelit dan sekuriti siber. Perkongsian yang mampan dan strategik antara keduanya cukup penting bagi memupuk pertumbuhan teknologi dan pembangunan industri pertahanan tempatan,” menurutnya.
GM400 Alpha
GM400 Alpha radar
Menurut Thales, radar GM400α mampu mengesan pelbagai sasaran termasuk pesawat pejuang, peluru berpandu, helikopter dan UAV taktikal.
Satu keistimewaan unik pada radar GM400α ialah keupayaannya mengesan dan menjejak ancaman seperti UAV taktikal yang terbang rendah berhampiran permukaan bumi, yang cuba bersembunyi dalam ‘clutter’ berdekatan radar, sambil pada masa yang sama turut mengesan dan menjejak sasaran pada altitud lebih tinggi seperti pesawat pejuang-pengebom pada jarak sehingga 515 kilometer.
Radar GM400 dinamakan berdasarkan jarak liputannya ketika ia mula-mula direka bentuk.
Kini ia dikenali sebagai GM400α dengan jarak operasi yang dipertingkatkan daripada 470 kilometer kepada 515 kilometer.
Radar GM400α ditawarkan dalam versi mudah alih atau statik bergantung kepada keperluan pengguna.
Sistem radar GM400α boleh diserahkan dalam dua pilihan: sama ada dalam konfigurasi kendiri atau diintegrasikan ke dalam rangkaian pemantauan ruang udara negara.
Lebih 100 unit GM400α telah dijual di seluruh dunia, sekali gus membuktikan tahap kepercayaan, kebolehpercayaan dan prestasinya yang berterusan.
Sejak diperkenalkan di pasaran 10 tahun lalu, GM400α kekal sebagai radar paling berjaya dalam kategorinya di peringkat global.
GM400α ialah radar pengawasan udara 3D berasaskan perisian yang direka khas untuk memberikan pusat arahan dan kawalan (C2) tahap kesedaran situasi yang terbaik pada setiap masa.
Dengan kadar kemas kini setiap 6 saat dan liputan elevasi sehingga 40°, radar ini mampu mengimbas ruang udara secara berterusan sambil mengesan semua jenis sasaran pada altitud tinggi, sederhana dan rendah.

Radar

Sebaik sahaja sasaran dikesan, proses pengelasan sama ada rakan atau musuh adalah sangat penting bagi mengelakkan insiden tembakan sesama sendiri.
Mod interogasi GM400α yang digabungkan dengan teknologi Fused Interrogation Mode 5 membolehkan pengesahan Identifikasi Rakan atau Musuh (IFF) dilakukan dengan cepat, sekali gus memberi pusat C2 masa tindak balas yang optimum dan ketenangan fikiran sepenuhnya.
Direka untuk menawarkan tahap kebolehgerakan dan daya tahan yang luar biasa, GM400α boleh dimuatkan ke dalam kontena bersaiz 20 kaki lengkap dengan sistem angkat, dipasang pada trak dan digerakkan semula dalam tempoh kurang daripada satu jam.
Operator radar juga boleh menggunakan umpan tiruan (decoys) yang dipasang pada radar ini bagi memastikan tahap kelangsungan operasi radar jarak jauh berada pada tahap tertinggi.
GM400α turut ditawarkan dalam versi statik untuk negara-negara yang ingin menjamin pemantauan berterusan ke atas ruang udara kebangsaan mereka di kawasan geografi tertentu.
Selain daya tahan yang menyumbang kepada tahap kesedaran situasi yang unggul, tahap kesiapsiagaan operasi juga memainkan peranan penting.
Sebagai radar berasaskan perisian, GM400α hanya memerlukan penyelenggaraan minimum (30 jam setahun) dan mampu mengekalkan tahap fungsi serta prestasi yang tinggi menerusi kemas kini perisian yang mudah, bagi menangani ancaman baharu, peperangan elektronik dan serangan siber.
Dalam kenyataan media semasa pameran LIMA 2025 Mei lalu, Thales menyatakan — bagi memperkukuh keupayaan pengawasan udara dan pertahanan udara TUDM, syarikat akan membekalkan dua radar pengawasan udara jarak jauh GM400α.
Perolehan dua radar tambahan ini jelas menunjukkan keyakinan TUDM terhadap teknologi radar keluaran Thales, susulan kontrak pembelian radar GM400α pertama yang dimeterai pada penghujung tahun 2023.
Pada 8 Disember 2023, Thales telah menandatangani surat anugerah bagi pembekalan radar jarak jauh GM400α lengkap dengan infrastruktur stesen penuh kepada TUDM.
Majlis penandatanganan tersebut disaksikan oleh Menteri Pertahanan Malaysia dan Menteri Pertahanan Perancis.
Menerusi keupayaan mobiliti tinggi, tahap kesiapsiagaan yang mantap, keupayaan naik taraf yang mudah dan integrasi yang lancar, radar GM400α menurut Thales, memberi kelebihan taktikal kepada pasukan tentera dengan keupayaan mengesan pelbagai bentuk ancaman pada peringkat awal, sekali gus menyediakan ruang masa yang berharga untuk proses membuat keputusan dan tindakan susulan (jarak liputan sehingga 515 kilometer).
Sehingga kini, lebih 270 radar pengawasan udara keluarga Ground Master yang terbukti berkesan telah dijual di seluruh dunia.
Di Malaysia, Thales sekali lagi akan bekerjasama dengan Weststar Group bagi melaksanakan penempatan radar ini mengikut keperluan operasi TUDM.
Thales juga akan melaksanakan program Pemindahan Pengetahuan dan Kursus Latihan Tenaga Pengajar melalui Program Kolaborasi Industri (ICP) untuk memperkukuh keupayaan operasi radar jarak jauh sedia ada di Malaysia.
Dengan membangunkan kepakaran tempatan, Thales akan meningkatkan kecekapan kerja penyelenggaraan radar, memperkukuh tahap kebergantungan TUDM serta memastikan sokongan penyelenggaraan di lapangan dapat dilaksanakan tepat pada masanya dan lebih dekat dengan pengguna akhir.
Pengalaman Thales dalam teknologi radar di Malaysia sememangnya cukup mendalam kerana negara ini turut menjadi pelanggan pelancaran (launch customer) bagi radar GM400 terdahulu pada tahun 2009.

 

Apakah radar GM400α yang diperoleh Malaysia?

Radar Ground Master 400 alpha (GM400α) ialah sistem radar pengawasan udara jarak jauh buatan Thales Perancis dengan jarak operasi sehingga 515 km, mampu mengesan pesawat pejuang, peluru berpandu, UAV taktikal, dan helikopter pada altitud rendah hingga tinggi. Malaysia memperoleh dua unit radar GM400α untuk memperkukuh keupayaan pengawasan ruang udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Leave a Reply