Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

F-35A Milik RAAF Sudah Berada Di Pangkalan Butterworth

Kehadiran pesawat-pesawat pejuang generasi kelima milik RAAF itu dipercayai adalah untuk latihan bersama tahunan dipanggil Eksesais Elangaroo 2022 di antara TUDM dan  RAAF.

0 10,774

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa buah pesawat pejuang F-35A milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) telah pun berada di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth pada ketika ini.

Kehadiran sekurang-kurangnya di antara  empat hingga enam buah pesawat pejuang generasi kelima milik RAAF itu berada di pangkalan udara itu dipercayai berkait-rapat dengan latihan bersama tahunan dipanggil Eksesais Elangaroo 2022 di antara TUDM dan  RAAF.

Turut sama “terbang” ke pangkalan udara Butterworth adalah pesawat pengangkut C-17 Globemaster milik RAAF.

Setakat ini tiada lagi kenyataan rasmi daripada pihak TUDM tentang kehadiran pesawat-pesawat pejuang milik RAAF di Butterworth atau latihan udara bersama di antara kedua-dua tentera udara.

Gambar-gambar serta video kehadiran pesawat-pesawat pejuang milik RAAF di Australia itu telah pun tersebar di dalam Facebook milik peminat-peminat ketenteraan tempatan.

F-35A
Pesawat F-35A Tentera Udara Diraja Australia (RAAF)

 

Untuk artikel ini, admin hanya gunakan gambar-gambar fail sahaja.

Nampaknya, pesawat-pesawat pejuang TUDM, sama ada F/A-18D Hornet atau Sukhoi Su-30MKM akan berpeluang menguji kehebatan mereka apabila berhadapan dengan pesawat pejuang generasi kelima.

Sudah tentu,ia adalah pengalaman berguna untuk juruterbang-juruterbang TUDM, sama seperti ketika mereka berdepan dengan pesawat F-22 Raptor ketika Latihan bersama “Cope Taufan” beberapa tahun dahulu.

Pada September lepas, laman web pertahanan antarabangsa “Overt Defense” mengesahkan bahawa RAAF bakal membawa pesawat-pesawat pejuang generasi kelimanya ke Malaysia untuk Eksesais Elangaroo edisi tahun ini.

“Sebagai respon terhadap pertanyaan oleh Overt Defense, jurucakap Kementerian Pertahanan Australia telah mengesahkan bahawa Komander RAAF Air Vice Marshall, Darren Goldie sememangnya telah menyatakan bahawa RAAF merancang untuk membawa pesawat pejuang generasi kelimanya ke Malaysia untuk Eksesais Elangaroo,” menurut laporan daripada laman web itu.

F-35A
F-35A milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF)

 

Kehadiran pesawat pejuang F-35A milik RAAF pada Eksesais Elangaroo itu bakal mengukuhkan kerjasama pertahanan di antara tentera udara kedua-dua negara yang juga adalah anggota Five Power Defence Arrangement (FPDA).

Tentera Udara Australia komited untuk memperolehi sebanyak 72 buah pesawat pejuang F-35A bernilai US$17 bilion (RM68 bilion) bagi menggantikan pesawat pejuang F/A-18A/B yang telah dibersarakan

Sehingga kini, sebanyak 50 pesawat F-35A yang dibangunkan oleh firma Lockheed Martin telah dihantar ke Australia, dengan penghantaran pesawat generasi kelima itu dijangka selesai pada tahun depan.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Menurut laman web itu lagi, TUDM mengutarakan cadangan supaya RAAF membawa pesawat F-35A itu Malaysia untuk turut sama dalam Eksesais Elangaroo ketika menyertai Latihan Pitch Black 2022 yang baru sahaja berakhir di Darwin.

TUDM tidak menghantar sebarang pesawat pejuang pada Latihan Pitch Black tahun ini tetapi penglibatan Malaysia pada latihan tentera pelbagai negara itu diwakili oleh sekumpulan pegawai dan anggotanya. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore

 

Comments
Loading...