Benarkah Pesawat Halimunan Pertama Dunia, F-117 “Nighthawk” Telah Bersara?
Persoalan sama ada Tentera Udara Amerika benar-benar telah menamatkan khidmat pesawat halimunannya yang pertama, F-117 Nighthawk pada 2008 sedang hangat diperdebatkan ketika semakin banyak laporan diterima tentang "kehadiran" pesawat halimunan itu di ruang udara negara kuasa besar itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Mac 2008 bertempat di Pangkalan Tentera Wright-Patterson, Tentera Udara Amerika Syarikat secara rasminya telah menamatkan khidmat pesawat pejuang halimunannya yang pertama iaitu F-117 Nighthawk selepas 26 tahun menabur bakti dengan “penuh kerahsiaan”.
Pesawat F-117 Nighthawk itu juga adalah pesawat halimunan operasional yang pertama dunia.
Pesawat Nighthawk yang menggunakan dua enjin turbofan F404-GE-F1D2 daripada General Electric itu telah dibangunkan oleh firma pertahanan, Lockheed Martin dan memiliki beberapa nama gelaran termasuk “Frisbee” dan “Woblin Goblin” serta “Black Jet.”
Pihak Amerika Syarikat dikatakan membelanjakan sejumlah US$6.6 bilion (RM26.4 bilion) untuk program pembangunan pesawat F-117 yang bermula pada 1979 dengan pesawat halimunan itu berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 1981.
Menurut Tentera Udara Amerika Syarikat, harga per-unit pesawat halimunan itu adalah hanya US$42.6 juta (RM170.4 juta).
Bagaimanapun Tentera Udara Amerika Syarikat hanya mengumumkan secara rasmi kepada seluruh dunia tentang kewujudan F-117 Nighthawk itu pada 1988 selepas bertahun-tahun ia merahsiakan tentang pesawat itu.
Secara keseluruhannya, firma Lockheed Martin telah menyerahkan sejumlah 59 buah pesawat F-117 kepada Tentera Udara Amerika Syarikat dengan pesawat pertama diterima pada 1982 manakala yang terakhir diterimanya adalah pada 1990.
Daripada 59 buah pesawat F-117 Nighthawk diterima Tentera Udara Amerika, ia hanya kehilangan sebuah pesawat halimunan itu dalam operasi kombat iaitu di Serbia apabila ia ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Yugoslavia ketika terlibat dalam misi di negara itu pada tahun 1999.

Ok, misi utama pesawat F-117 Nighthawk adalah “menembusi” kawasan operasi yang dikawal dengan ketat oleh sistem pertahanan udara dan memusnahkan sasaran-sasaran berkepentingan tinggi (high value target) dengan ketepatan amat tinggi.
Sepanjang hayatnya, pesawat pejuang halimunan pertama Amerika Syarikat dan dunia telah terlibat dalam pelbagai konflik termasuk di negara Amerika Tengah iaitu Panama, Operasi Desert Storm, Kosovo dan Perang Teluk Kedua.
Comments are closed.