Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dua Pesawat Pejuang Eurofighter Typhoon Diterbangkan ke Turkiye untuk “Pemeriksaan”

Kehadiran kedua-dua buah pesawat pejuang Typhoon itu di Ankara menandakan kemajuan di dalam usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat pejuang Eropah itu yang berhadapan dengan “masalah” bantahan daripadan kerajaan Jerman sebelum ini.

0 281
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Royal Air Force (RAF) akan diterbangkan ke Turkiye dari Qatar pada 18 Disember ini untuk tujuan pemeriksaan lebih dekat oleh Ankara, menurut Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler.
Kedua-dua pesawat pejuang milik RAF itu berada di Qatar kerana melaksanakan latihan bersama-sama Tentera Udara Qatar.
Mengesahkan kunjungan dua buah Eurofighter Typhoon milik RAF ke Turkiye, Guler berkata, rundingan dengan negara pembuat pesawat pejuang itu sedang berlangsung dengan baik,
“Kedua-dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu yang sedang melaksanakan latihan di Qatar, akan diperiksa sebagai sahaja ia tiba di Ankara,” kata beliau dalam temuramah dengan stesen televisyen Turkiye TRT Haber TV baru-baru ini.
Kehadiran kedua-dua buah pesawat pejuang Typhoon itu di Ankara menandakan kemajuan di dalam usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat itu yang berhadapan dengan “masalah” sebelum ini.
Sebelum ini, kerajaan Jerman membantah penjualan pesawat pejuang itu kepada Turkiye.
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara Eropah terdiri daripada United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Itali, dengan penjualannya memerlukan persetujuan daripada keempat-empat negara itu.
Bulan lepas, Menteri Pertahanan Turkiye itu mengumumkan bahawa Jerman telah memberi lampu hijau kepada penjualan 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Ankara.
Dengan pengumuman itu, Jerman telah mengugurkan bantahannya terhadap cadangan perolehan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh Turkiye.
Guler berkata kerajaan Jerman pada mulanya membantah penjualan pesawat pejuang terbabit kepada Turkiye tetapi akhirnya bersetuju selepas didesak oleh negara-negara Eropah lain yang turut membangunkan Eurofighter Typhoon.
Turkey
Baru-baru ini, Ketua Staf Am Angkatan Bersenjata Turki, Jeneral Metin Gurak, telah melawat United Kingdom, di mana beliau melawat Pangkalan RAF Coningsby, sebuah pangkalan Tentera Udara Diraja yang menempatkan jet Eurofighter Typhoon.
“Kami akan membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon. Jerman telah membantah penjualan itu untuk suatu jangka masa yang lama tetapi akhirnya bersetuju selepas rakan-rakan NATO seperti Itali, United Kingdom dan Sepanyol mendesak, akhirnya Jerman bersetuju,” kata Menteri Pertahanan Turkiye itu.
Sejak beberapa tahun lepas, Turkiye telah menyatakan minatnya untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu untuk meningkatkan lagi kemampuan tentera udaranya selepas ia dikeluarkan daripada program F-35, tetapi hasratnya itu telah dihalang oleh Jerman.
Ankara dikeluarkan daripada program perolehan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 selepas ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 “Triumf” buatan Russia.
Jerman dikatakan enggan meluluskan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Turkiye kerana “bengang” dengan kritikan-kritikan keras negara Mediterranean itu terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 40,000 orang.
Pada Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter mengesahkan bahawa Turkiye menunjukkan minat yang mendalam untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon tetapi ia telah dihalang oleh kerajaan Jerman.
Giancarlo Mezzanatto mengesahkan bahawa Turkiye mahu memperolehi di antara 40 hingga 50 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu, berkemungkinan daripada varian terkininya, tetapi usaha itu dihalang oleh Jerman.
Ketua Pegawai Eksekutif Eurofighter warga Itali itu berkata tindakan Jerman menghalang Turkiye daripada memperolehi pesawat pejuang itu berkemungkinan kerana tidak berpuashati dengan tindakan Ankara melakukan carigali gas asli di perairan Timur Mediterranean.
Typhoon
Eurofighter Typhoon
Sementara itu, Kesatuan-kesatuan sekerja di Jerman mendesak kerajaan negara itu supaya meluluskan dengan segera permohonan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
Mereka bimbang “penolakan” permohonan kerajaan Turkiye untuk membeli pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh Jerman akan menyebabkan industri pertahanan negara Eropah itu kehilangan ribuan pekerjaan.
Turkiye mahu memperolehi varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon iaitu “Tranche 4.”
Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 
Jerman dikatakan telah memesan 38  buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4. — DSA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.