(VIDEO) Dua Buah Kereta Kebal Challenger 2 Britain Dimusnah Tentera Russia di Kursk
(VIDEO) Pemerhati tentera Russia mendakwa hanya beberapa hari selepas dikerah untuk menyokong pencerobohan tentera Ukraine terhadap wilayah Russia di Kursk, kereta kebal kebanggaan Britian itu musnah akibat dibedil oleh dron berani mati “Lancet” dan helikopter penyerang Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 15 Ogos yang lalu, rakaman video yang didapati menerusi aplikasi mesej Telegram menunjukkan bahawa tentera Ukraine telah mengerahkan kereta kebal Challenger 2 yang dibekalkan oleh Britain dalam pencerobohannya terhadap wilayah Kursk di Russia.
Bagaimanapun, pemerhati tentera Russia mendakwa hanya beberapa hari selepas dikerah untuk menyokong pencerobohan tentera Ukraine terhadap wilayah Russia di Kursk, kereta kebal kebanggaan Britian itu musnah akibat dibedil oleh dron berani mati “Lancet” dan helikopter penyerang Russia.
Kemusnahan kereta kebal Challenger 2 yang dioperasi oleh tentera Ukraine itu didakwa berlaku di kawasan bernama Sudzha, di wilayah Kursk yang terletak lebih daripada 600km daripada ibu negara Russia, Moscow.
Bedilan daripada dron berani mati “Lancet” itu dilapor telah menyebabkan kompartmen peluru meriam kereta kebal itu meletup, sekaligus menyebabkan keseluruhan kereta kebal buatan Britain itu musnah sepenuhnya.
Rakaman kereta kebal Challenger 2 itu dibedil oleh dron berani mati “Lancet” telah tersebar di media-media sosial Russia. (video dibawah)
Malah terdapat dakwaan daripada pemerhati tentera Russia yang mendakwa bahawa ia adalah insiden kedua di Kursk dimana tentera Russia berjaya memusnahkan kereta kebal Challenger 2 buatan Britain yang sering didakwa sebagai antara kebal kebal terbaik dunia pada ketika ini.
Insiden pertama didakwa berlaku apabila helikopter KA-52 Russia melancarkan peluru berpandu Vikhr yang memusnahkan kereta kebal Challenger 2 yang pertama di wilayah bergolak Kursk, Russia itu.
Terdapat juga dakwaaan menyatakan beberapa hari sebelum kereta kebal Challenger 2 itu musnah dibedil oleh dron berani mati “Lancet”, sebuah kereta kebal M1A1 Abrams yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine juga telah menerima nasib yang sama di Kursk akibat bedilan “Lancet.”
Sejak konflik di Ukraine tercetus pada Februari 2022, dron berani mati “Lancet” yang dibangunkan oleh syarikat ZALA Aero telah berjaya memusnahkan pelbagai aset dan kelengkapan milik tentera Ukraine.
Terdapat juga laporan media menyatakan bahawa dron berani mati “Lancet” keluaran Russia merupakan diantara sistem persenjataan yang paling digeruni oleh anggota tentera Ukraine.
Comments are closed.