Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dua Anggota ASG Ditembak Mati Di Sandakan Awal Hari Ini Rancang Culik Pemilik Ladang Sawit

Bercakap dalam sidang media hari ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata rancangan mereka bagaimanapun digagalkan selepas ia didedahkan oleh seorang ketua kumpulan kecil ASG dikenali dengan nama, Sansibar Bencio yang ditahan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei lepas.

1,590

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dua anggota Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang mati ditembak pasukan keselamatan di sebuah ladang kelapa sawit di Pulau Timbang, Sandakan, awal pagi tadi, merancang menculik pemilik ladang terbabit untuk mendapatkan wang tebusan.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata rancangan mereka bagaimanapun digagalkan selepas ia didedahkan oleh seorang ketua kumpulan kecil ASG dikenali dengan nama, Sansibar Bencio yang ditahan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada Mei lepas.

“Operasi ini dilancarkan selepas Bencio mendedahkan bahawa dia telah mengarahkan dua anggota yang ditembak itu untuk menculik dua pemilik ladang kelapa sawit berketurunan Cina yang tinggal di Sandakan dan Sukau (Kinabatangan) untuk mendapatkan wang tebusan.

“Tindakan itu bagi memberi dana kepada kumpulan di markas timur Sulu di Kompleks Bud Bawis, Panamao, Sulu, Selatan Filipina,” katanya.

Hazani berkata dua anggota militan yang maut itu dikenali sebagai Rakim Landasan dan Alnasir Landasan berumur antara 30 dan 40 tahun.

Abu Sayyaf
Kedua-dua anggota ASG yang ditembak mati di Sandakan awal pagi tadi.

 

Kedua-dua mereka ditembak mati kira-kira 5 pagi tadi dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di ladang berkenaan.

Sepucuk pistol A Colt .45, yang biasa digunakan di Filipina dan sebilah parang ditemukan bersama pengganas yang maut itu.

Hazani berkata operasi itu adalah susulan daripada serbuan di ladang terbabit dua hari sebelumnya (18 Ogos), yang membawa kepada tangkapan 11 lelaki, tujuh daripadanya disahkan oleh pihak berkuasa Filipina sebagai anggota ASG.

“Pada serbuan itu, dipercayai beberapa lelaki telah melarikan diri dan usaha mengesan mereka disambung semula keesokannya (19 Ogos),” katanya.

Hazani berkata operasi itu dijalankan dengan bantuan antaranya pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Angkatan Tentera Malaysia.

Tanpa mendedahkan maklumat lebih lanjut, beliau berkata polis mempunyai maklumat risikan mengenai lokasi saki-baki anggota ASG yang mungkin bersembunyi di negeri ini.

Abu Sayyaf
Pistol Colt .45 (gambar hiasan)

 

Kumpulan Kidnap-For-Ransom itu katanya, percaya Sabah adalah ‘safe haven’ (tempat perlindungan yang selamat) untuk mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

“Saya menegaskan bahawa Sabah bukan ‘safe haven’ untuk ASG. Saya mahu membuang persepsi itu. Kami (polis) tidak akan berhenti mengesan mereka,” katanya.

Hazani turut mengingatkan majikan termasuk pemilik ladang kelapa sawit dan pengurus pembinaan, untuk memastikan pekerja mereka mempunyai dokumen yang sah bagi mengelakkan mengambil pengganas sebagai pekerja.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.