Dron RQ-4B Global Hawk Milik Amerika “Hilang” Ketika Operasi Di Laut Hitam?
Sebuah dron altitud tinggi “RQ-4B Global Hawk” milik Amerika Syarikat didakwa “hilang” ketika sedang menjalankan operasi di ruang udara Laut Hitam berhampiran dengan Crimea yang kini diduduki oleh tentera Russia, sebagaimana didakwa oleh sebuah agensi berita Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah dron altitud tinggi “RQ-4B Global Hawk” milik Amerika Syarikat didakwa “hilang” ketika sedang menjalankan operasi di ruang udara Laut Hitam berhampiran dengan Crimea yang kini diduduki oleh tentera Russia, sebagaimana didakwa oleh sebuah agensi berita Russia.
Laporan agensi berita Russia itu, RIA Novosti itu adalah berdasarkan kepada maklumat dan data daripada aplikasi penjejakan penerbangan “Flight Radar” sehingga 4 Jun ini.
Menurut maklumat, dron HALE (High Altitude Long Endurance) dengan nombor penerbangan 10-2045 dan call sign FORTE12 berlepas daripada pangkalan udara NATO Sigonella di Itali.
Dron RQ-4B Global Hawk itu kemudiaanya dikesan terbang di ruang udara Bulgaria menuju ke Laut Hitam untuk melakukan aktiviti pemantauan dan pengintipan terhadap Semenanjung Crimea, sebuah wilayah milik Ukraine tetapi telah ditawan oleh tentera Russia.
Russia dipercayai telah menempatkan pelbagai sistem peperangan elektronik dan pertahanan udara di Semenanjung Crimea.

Bagaimanapun sehingga kini, agensi berita terbabit mahupun Flight Radar masih belum mengemaskini laporan terkini tentang nasib dron canggih itu.
Kementerian Pertahanan Russia mahupun Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan “kehilangan” dron RQ-4B Global Hawk Amerika Syarikat itu.
Pada 26 Mei lalu, sebuah dron RQ-4B Global Hawk telah dikesan di Laut Hitam berhampiran dengan bandar pelancongan, Sochi.
Mengikut trajektorinya, pesawat tanpa pemandu itu telah berlepas daripada pangkalan udara NATO di Sigonella yang terletak di pulau Sicily dan tidak lama selepas itu telah dikesan berada di kawasan pesisiran pantan di Krasnodar Krai dan Semenanjung Crimea.
Pada Mei tahun lepas, sebuah pesawat pejuang Su-27 Russia didakwa telah bertindak memintas dan dengan sengaja “melanggar” kipas dron MQ-9 Reaper milik Amerika Syarikat sehingga menyebabkan dron itu terhempas di Laut Hitam.
Comments are closed.