Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Dron Iran Rakam Pelayaran Kapal-Kapal Perang Amerika, Sepanyol di Teluk Parsi

(VIDEO) Rakaman video oleh dron-dron Intelligence, Surveillance, Reconnaisance (ISR) tentera Iran itu menunjukkan sekurang-kurangnya tiga buah kapal perang milik Tentera Laut Amerika Syarikat dan Sepanyol sedang belayar di Teluk Parsi, dipercayai tidak jauh daripada sempadan maritim Iran.

0 916

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, dron-dron ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaisance) yang tidak diketahui jenisnya milik Iran telah merakam pelayaran kapal-kapal perang Amerika Syarikat dan Sepanyol ketika mereka sedang belayar di Teluk Parsi.

Rakaman video yang dibuat oleh dron-dron ISR Iran tanpa disedari oleh kapal-kapal perang  terbabit itu telah didedahkan di media-media sosial.

Rakaman video oleh dron-dron Iran itu menunjukkan sekurang-kurangnya tiga buah kapal perang milik Tentera Laut Amerika Syarikat dan Sepanyol sedang belayar di Teluk Parsi, dipercayai tidak jauh daripada sempadan maritim Iran.

Kapal-kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat dan Sepanyol itu dipercayai terdiri daripada kapal destroyer kelas-Arleigh Burke milik Amerika dan kapal jenis Landing Helicopter Dock milik Sepanyol sedang belayar.

Rakaman itu dipercayai mula didedahkan di media-media sosial pada 9 Ogos lalu (semalam).

Amerika Syarikat telah meningkatkan kehadiran anggota dan aset-aset ketenteraan mereka di Timur Tengah menyusuli ancaman oleh Iran untuk melancarkan serangan balas besar-besaran terhadap Israel selepas Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dibunuh di Teheran baru-baru ini.

Baru-baru ini, Amerika Syarikat juga dilaporkan telah mengerah 12 buah kapal perang ke Timur Tengah, sebagaimana diberitahu oleh pegawai Jabatan Pertahanan negara itu kepada Washington Post.

Kumpulan kapal-kapal perang Amerika Syarikat itu termasuk kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt (CVN-71) dan Wasp Amphibious Ready Group, meliputi tiga buah kapal amfibia membawa lebih daripada 4,000 anggota tentera Marin negara itu.

Kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dilapor sedang beroperasi di Teluk Parsi dan Laut Arab sambil diiringi oleh enam buah kapal perang kapal destroyer kelas-Arleigh Burke termasuk USS John S.McCain (DDG-56) dan USS Laboon (DDG-58).

Empat buah kapal perang permukaan destroyer kelas-Arleigh Burke adalah USS Russel (DDG-59), USS Cole (DDG-67), USS Michael Murphy (DDG-112) dan USS Daniel Inouye (DDG-118).

Iran

Iran

Sementara itu Wasp Amphibious Ready Group pula terdiri daripada kapal USS Wasp (LHD-1), USS New York (LPD-21), USS Oak Hill (LSD-51) dan 2,500 anggota Marin daripada 24th Marine Expeditionary Unit.

Kumpulan kapal-kapal perang itu turut termasuk USS Roosevelt (DDG-80) dan USS Bulkeley (DDG-84) yang kini berada di Laut Mediterranean.

Pada ketika ini, Wasp Amphibious Ready Group sedang belayar di Laut Mediterranean, tidak jauh daripada perairan Israel.

Kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dan Wasp Amphibious Ready Group membawa ratusan pesawat pejuang yang sudah pasti akan digunakan oleh Amerika Syarikat untuk mempertahankan Israel daripada serangan peluru berpandu dan dron-dron berani sama ada daripada Iran atau kumpulan-kumpulan proksinya di Timur Tengah.

Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) JUGA telah mengerahkan 12 buah pesawat pejuang halimunannya F-22 “Raptor” ke Timur Tengah, sebagai sebahagian daripada langkah mempertingkatkan lagi kuasa tempurnya untuk menangani sebarang ancaman terhadap Israel oleh Iran.

Iran

Iran

Pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat itu dilaporkan telah mendarat di Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar.

 Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar itu adalah pangkalan udara Amerika Syarikat terbesar di Timur Tengah, menempatkan lebih darpada 10,000 anggota tentera negara itu dan pelbagai pesawat pejuang serta pesawat kombat yang lain. — DSA

Comments
Loading...