Dakwaan “Perkara Tidak Sepatutnya Berlaku” Dalam Tender FLIT/LCA
Terdapat dakwaaan mengatakan bahawa pihak terlibat dengan tender terus melobi walaupun pesawat mereka diketahui tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak pengguna akhir iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dengan pengumuman pemenang tender 18 buah pesawat FLIT/LCA (Fighter Lead In Trainer/Light Combat Aircraft) semakin hampir, terdapat dakwaan tentang “perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku.”
Memetik laporan di dalam The Edge baru-baru ini, sumber memberitahu akhbar itu bahawa terdapat dakwaan bahawa pihak yang terlibat dalam tender itu atau mereka yang berkaitan dengannya, telah melobi untuk mendapatkan tender itu yang dianggarkan bernilai RM4 bilion.
Jika Malaysia melakukan follow-up order untuk 18 buah pesawat sebagaimana yang dirancang, maka nilainya dijangka mencecah RM8 bilion.
Pihak terbabit kata sumber itu, terus melobi walaupun pesawat mereka diketahui tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak pengguna iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang dihubungi oleh The Edge berkenaan perkara itu berkata, pihak-pihak yang tidak berpuashati boleh melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dilakukan.
“Jikalau tidak, setiap perolehan akan dilewatkan oleh mereka yang tidak berpuashati. Kementerian Pertahanan tidak akan terbabit dengan dakwaan-dakwaan sedemikian,” kata beliau.
Dalam artikel oleh portal kewangan tempatan itu, TUDM dilaporkan telah meletakkan lima kriteria utama yang mesti dipatuhi oleh syarikat-syarikat pembuat pesawat yang menyertai tender Kementerian Pertahanan itu.
Kriteria utama itu termasuklah penghantaran pesawat mesti dilakukan secara berperingkat dalam tempoh 36 bulan selepas kontrak ditandatangani,kemampuan pengisian minyak di udara (air-to-air refuelling), kemampuan Beyond Visual Range Air-To-Air Missile (BVRAAM), 30 peratus kandungan tempatan dan kelajuan supersonik.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Menurut portal berita itu lagi, dilaporkan bahawa ada di antara pesawat FLIT/LCA terbabit tidak memiliki kemampuan pengisian minyak di udara (AAR), manakala ada pesawat tidak memiliki kemampuan data link.
Kedua-dua kemampuan itu amat dikehendaki oleh pengguna akhir pesawat FLIT/LCA dan adalah amat penting bagi doktrin peperangan udara di zaman moden ini.
Antara pesawat-pesawat yang memasuki tender perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA adalah FA-50 oleh Korea Aerospace Industries (KAI), Tejas oleh Hindustan Aeronautics Limited (HAL) dan M-346 oleh Leonardo. — DSA