Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Bangun “The Monster” Untuk “Rempuh” Sempadan Perairan Negara Lain

Walaupun memiliki ratusan kapal peronda, tetapi tidak semua menarik perhatian media dunia sebagaimana dua buah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou yang digelar sebagai “The Monster” kerana beratnya yang mencecah 12,000 tan dan merupakan kapal pengawal pantai yang terbesar di dunia, mengatasi kapal pengawal pantai Jepun kelas-Shikishima yang memiliki berat lebih 9,000 tan. (berat penuh)

6,494

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dengan antara 200 hingga 300 buah kapal peronda, China diiktiraf sebagai negara yang memiliki angkatan pengawal pantai terbesar di dunia, mengatasi Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara lain yang memiliki kawasan perairan yang luas.

Pembangunan pesat angkatan pengawal pantai China itu berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini, selari dengan tuntutan tidak lojik negara itu terhadap sebahagian besar daripada Laut China Selatan.

Setiap tahun, limbungan-limbungan kapal China membina puluhan kapal-kapal peronda pelbagai saiz dan berat untuk pengawal pantai negara itu, membolehkan ia muncul sebagai negara yang memiliki kapal peronda pengawal pantai terbesar dunia dalam tempoh yang pantas.

The Monster
“The Monster” aka kapal pengawal pantai China, CCG 5901 sering menceroboh kawasan EEZ Malaysia.

 

Walaupun ia memiliki ratusan kapal peronda, tetapi tidak semua menarik perhatian media dunia sebagaimana dua buah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou yang dibina oleh limbungan kapal Jiangnan di Shanghai.

Digelar sebagai “The Monster” kerana beratnya yang mencecah 12,000 tan, kapal pengawal pantai China kelas-Zhaotou itu merupakan kapal pengawal pantai yang terbesar di dunia, mengatasi kapal pengawal pantai Jepun kelas-Shikishima yang memiliki berat lebih 9,000 tan. (berat penuh)

Kapal pengawal pantai terbesar China sebelum ini adalah sekitar 4,000 tan dan kewujudan kapal-kapal kelas-Zhaotou itu sememangnya suatu lonjakan kepada kuasa angkatan pengawal pantai negara itu serta usahanya untuk menguasai sebahagian besar Laut China Selatan.

Menurut media-media China, rancangan untuk membangunkan dua buah kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou terbesar di dunia itu bermula pada tahun 2012, sebelum Pengawal Pantai China itu ditubuhkan di bawah State Oceanic Administration (SOA) negara itu.

Syarikat China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) yang merupakan pemilik kepada Limbungan Kapal Jiangnan mengumumkan pada 2013 ia telah dianugerahkan kontrak untuk membina kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu.

Kapal China
(kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Kapal pertama “The Monster” telah siap dibina pada tahun 2014 dan setahun selepas pada Mac 2015 itu telah berjaya melakukan pelayarannya yang pertama ke Laut China Timur (East China Sea).

Kapal kedua “The Monster” itu telah siap dibina pada 2016 di Limbungan Kapal Jiangnan dan setahun selepas itu telah memulakan pelayaran pertama ke Laut China Selatan dengan menghabiskan 19 hari “meronda dan melawat” pulau-pulau milik negara di perairan strategik itu.

Dengan panjang keseluruhan mencecah 165 meter, kedua-dua kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu atau “The Monster” memiliki berat penuh sehingga 12,000 tan, jauh meninggalkan kapal-kapal destroyer kelas-Arleigh Burke dan cruiser kelas-Ticonderoga Tentera Laut Amerika Syarikat yang beratnya di antara 7,000 tan hingga 9,000 tan.

Saiznya yang besar itu membolehkan “The Monster” membawa lebih banyak bekalan yang lebih untuk ia kekal beroperasi di lautan lebih lama.

Kapal pengawal pantai kelas-Zhaotou itu dilengkapi dengan meriam utama 76mm, dua buah meriam 30mm dan dua buah mesingan anti-pesawat, selain dua buah helikopter Z-8 (sebuah di dek dan sebuah lagi di dalam hangar) dan beberapa pesawat tanpa pemandu (UAV) dan UUV (Unmanned Underwater Vehicle).

Kapal China
(Addakah itu kapal yang dinamakan “The Monster” ?? kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Dengan enjin yang dibekalkan oleh MAN (sebelum Kesatuan Eropah mengenai sekatan), kapal pengawal pantai terbesar dunia itu berkemampuan belayar selaju 25 knot dengan jarak operasinya adalah diantara 10,000 batu nautika hingga 15,000 batu nautika untuk melaksanakan pelbagai misi.

Disebabkan saiz yang amat besar untuk kapal pengawal pantai, maka kehadirannya di mana-mana perairan termasuk Laut China Selatan sentiasa menarik perhatian ramai, sebagaimana yang berlaku pada ketika ini dimana “The Monster” dipercayai berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Oleh kerana saiznya yang amat besar, maka kehadirannya memang “menggentarkan” banyak pihak terutamanya kapal-kapal pengawal pantai negara lain.

Pemerhati mengatakan disebabkan “The Monster” itu hanya dilengkapi dengan “senjata ringan” (sebagaimana kapal-kapal pengawal pantai yang lain), maka ia lebih berfungsi sekiranya terdapat insiden-insiden pelanggaran/rempuhan dengan kapal penguatkuasa negara lain, sebagaimana kerapkali berlaku di Laut China Selatan terutamanya membabitkan kapal pegawal pantai China dan Vietnam sebelum ini.

Luconia Shoals
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals)

 

Pihak berkuasa China mungkin memikirkan bahawa tidak ada kapal-kapal penguatkuasa negara lain yang berani untuk menghalau mahupun merempuh “The Monster”, sekiranya kapal pengawal pantai China itu menceroboh perairan ZEE negara lain, disebabkan saiznya yang amat besar itu.

“The Monster” sememangnya direka untuk “merempuh” mana-mana sempadan perairan negara-negara di Laut China Selatan.

Bayangkan sekiranya sebuah kapal penguatkuasa yang memiliki berat kira-kira 700 tan itu dirempuh oleh “The Monster”, apa akan terjadi kepada kapal penguatkuasa itu dan anak-anak kapalnya. 

Bagi “The Monster”, saiznya dan beratnya sehingga 12,000 tan itu adalah senjatanya paling utama.– DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

Comments are closed.