China Luaskan Pengaruh Di Asia Tengah
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Apa sebenarnya yang sedang berlaku di Tajikistan kini, sebuah negara miskin berpenduduk 9 juta orang tetapi terletak di kedudukan strategik di Asia Tengah.
Selama ratusan tahun, Asia Tengah termasuk Tajikistan menjadi medan perebutan kuasa antara keluarga diraja Russia dan empayar British yang mahu menguasai kedudukan strategiknya untuk kepentingan perdagangan.
Kini episod perebutan kuasa antara kuasa-kuasa besar bermula kembali selepas kuasa lama seperti Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat mengundur diri.
Selepas kejatuhan Soviet Union, cengkaman kuasa besar Komunis terhadap negara-negara Asia Tengah mulai longgar.
Manakala bagi Amerika Syarikat, ia menggunakan pengkalan tentera di Tajikistan sebagai “launch pad” bagi menghantar bekalan dan anggota tentera untuk menyerang Afghanistan awal tahun 2000 ketika Kabul diperintah oleh Taliban.
Namun semua itu tinggal kenangan dan “power vacuum” di Asia Tengah itu kini nampaknya telah diambilalih oleh China, di bawah Presiden Xi Jingping yang bersungguh-sungguh mahu melihat pengaruh negara Komunis itu merentasi batas sempadannya.
Berbekalkan sumber kewangan yang melimpah-ruah bak tiada batasan dan janji kerjasama ekonomi serta pembangunan, Beijing mula mengorak-langkah untuk memperkukuhkan pengaruhnya di rantau yang amat strategik itu.
Oleh kerana itulah. sejak beberapa tahun lepas, penganalisis tentera Barat melihat dengan penuh minat dan wasangka terhadap pergerakan ratusan tentera China ke sebuah lokasi di Pergunungan Pamir yang terletak di berhampiran sempadan Afghanistan dan barat China.
Laporan perisikan Barat serta imej-imej satelit menunjukkan selepas beberapa tahun pembinaan, kompleks ketenteraan China di Pergunungan Pamir itu terdiri daripada sekurang-kurangnya 24 buah bangunan termasuk sebuah Menara peninjau.
Kompleks ketenteraan China itu dipanggil “Sitod”, yang bermaksud “ibu pejabat” di dalam Bahasa Tajik.
Kedua-dua negara, Dushanbe dan Beijing secara rasmi telah menafikan kewujudan pengkalan tentera tentera China di Tajikistan.
Tahun lepas, kedua-dua angkatan tentera turut melaksanakan latihan bersama.
Bandar Tajik yang paling dekat dengan kompleks tentera China di Pergunungan Pamir itu adalah Murghab.
Menurut penganalisis, salah satu kemungkinan besar mengapa China membuat keputusan untuk mewujudkan pengkalan tentera di Tajikistan, terutamanya di Pergunungan Pamir yang terletak tidak jauh daripada bahagian barat China adalah kerana isu Uighur.
Ini kerana sejak beberapa tahun lepas, pejuang daripada East Turkestan Islamic Movement (ETIM) dikesan menyusup masuk ke barat China menerusi Koridor Wakhan di Afghanistan untuk melancarkan serangan di Xinjiang.
Pejuang-pejuang ETIM ini didakwa dilatih oleh Taliban di dalam pelbagai taktik peperangan termasuk operasi-operasi subversive dan sabotaj.
Terdapat juga laporan mengatakan mereka ini dihantar ke Syria untuk berjuang bersama-sama Al-Nusra Front.
Oleh kerana itulah, China mendirikan kompleks tentera di Tajikistan di dalam dua tujuan iaitu, mengawai Koridor Wakhan di Afganistan daripada digunakan oleh pejuang-pejuang ETIP untuk menyusup masuk ke bahagian barat China dan seterusnya ke Xinjiang.
Satu lagi alasan adalah untuk mengawasi sempadan China di bahagian barat itu daripada segala elemen subversive terutamanya yang berkaitan dengan perjuangan rakyat Uighur.
Penganalisis barat juga mendakwa tentera China di kompleks tentera di Tajikistan itu telah digunakan untuk melaksanakan operasi-operasi khas di dalam Afghanistan untuk memusnahkan kemudahan-kemudahan yang dimiliki oleh pejuang ETIM.
Bagaimanapun dakwaan terbabit sehingga kini belum dapat dibuktikan.
Walauapapun, “Sitod” yang merujuk kepada kompleks tentera China di Tajikistan itu kini adalah satu daripada 12 pengkalan tentera negara Komunis itu di seluruh dunia, mengikuti jejak Djibouti yang menempatkan pengkalan laut China.
Senarai 12 pengkalan tentera China di seluruh dunia, termasuklah Pakistan dan kumpulan pulau-pulau buatan manusia di Laut China Selatan.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Comments are closed.