Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

100 Dwi-Kerakyatan Dihalang Masuki Sabah – Polis

0 447

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Lebih 100 individu disyaki memiliki dua kerakyatan cuba pulang memasuki Sabah untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi berjaya dihalang oleh anggota polis yang tidak membenarkan mereka daripada memasuki negara ini, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, individu terbabit menaiki dua bot jongkong dan dikesan cuba memasuki perairan negara melalui sempadan laut di Sandakan.

“Kita terpaksa menghalang mereka kerana melalui jalan yang tidak sah, bukan menafikan hak mereka untuk mengundi tetapi cara mereka masuk tidak betul dan kita perlu halang.

“Kita percaya mereka mempunyai dua dokumen atau dwi kerakyatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, hari ini.

Hazani
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali. (kredit internet)

Hazani berkata, halangan itu juga dilakukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Sepatutnya mereka menggunakan laluan sah dan perlu (menjalani) pemeriksaan kesihatan.

“Tetapi mereka menggunakan jalan belakang (tidak sah) dan kita perlu menghalang mereka bagi mengelak sebarang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat di Sabah,” katanya.

bot sabah
Gambar sumber internet

Baru-baru ini, beliau berkata, Polis mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Sempena PRN Sabah kita dapat maklumat yang mengatakan akan berlaku kemasukan besar-besaran pendatang dari negara jiran untuk datang ke Sabah membuat kekacauan.

“Ini kita kena halang supaya pilihan raya berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu-gugat serta ketenteraman dan keselamatan kita terjamin.”

Militan
Gambar menunjukkan sekumpulan militan selatan Filipina. (gambar hiasan)

Semenatara itu, ditanya mengenai keadaan proses pengundi PRN yang berlangsung hari ini, Hazani berkata, setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan keadaan tenang serta terkawal di semua pusat-pusat mengundi.

“Sepanjang tempoh kempen yang berakhir tengah malam tadi, polis menerima 193 laporan yang dibuat pelbagai pihak.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan kebanyakan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

PRN Sabah ke-16 hari ini menyaksikan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa keluar mengundi bermula jam 7.30 pagi tadi sehingga tamat waktu mengundi pada jam 5 petang ini.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baru.

 

— SUMBER BERITA DARI HARIAN METRO

 

Comments
Loading...