Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bolehkah Kita Halang “Pencerobohan” Kapal China Di Beting Patinggi Ali?

Apakah tindakan kita sekiranya suatu hari nanti Beijing bertindak menghantar beberapa buah kapal (sama ada kapal perang atau dredger) ke Beting Patinggi Ali (Luconia Shoal) dan memulakan kerja-kerja penambakan dan membina infrastruktur untuk tujuan ketenteraan atau sivil di ciri maritim itu yang jelas terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kita tetapi didakwa China sebagai miliknya kerana ia berada di dalam apa yang diperkatakannya sebagai "Nine Dash Line."

0 7,636

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Admin terfikir, bagaimana jika suatu hari nanti, Beijing bertindak menghantar beberapa buah kapal (sama ada kapal perang atau dredger) ke Beting Patinggi Ali (Luconia Shoal) dan memulakan kerja-kerja penambakan dan membina infrastruktur untuk tujuan ketenteraan atau sivil di ciri maritim terbabit yang jelas terletak di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kita tetapi didakwa China sebagai miliknya kerana ia berada dalam apa yang didakwa negara itu sebagai “Nine Dash Line.”

Apakah respons dan tindakan kita pada ketika itu? Masihkah kita bergantung pada mantra magis “diplomasi pertahanan” sebagaimana yang kerap dilaungkan oleh seorang bekas Menteri Pertahanan?

Walaupun admin berharap situasi itu tidak akan berlaku, tetapi melihatkan kepada beberapa buah terumbu karang dan ciri-ciri maritim di Kepulauan Spratly dan Paracel seperti Mischief Reef, Subi Reef dan Fiery Cross serta Woody Island yang kini berubah menjadi “pulau”, maka keyakinan bahawa situasi itu tidak akan berlaku terhadap kita di Beting Patinggi Ali tidak boleh ditolak 100 peratus.

Situasi itu boleh berlaku di Beting Patinggi Ali dan apa yang menghalang China daripada berbuat demikian adalah China itu sendiri.

Daripada ciri-ciri maritim yang terpencil di tengah lautan dan tidak berpenghuni, Mischief, Subi, Fiery Cross dan Woody Island bukan sahaja telah berubah menjadi “pulau” tetapi juga menjadi pangkalan-pangkalan tentera China yang lengkap dengan landasan dan hangar untuk menempatkan pesawat serta jeti bagi membolehkan kapal-kapal perangnya (termasuk kapal selam) berlabuh.

Minyak
Gambar Kapal Pengawal Pantai China berhampiran pelantar minyak dan gas Malaysia di perairan Sarawak. (ehsan pembaca Defence Security Asia)

 

Pangkalan-pangkalan tentera China di Kepulauan Spratly dan Paracel itu juga dilengkapi dengan sistem komunikasi dan elektronik yang canggih serta sistem pertahanan udara bagi melindunginya daripada segala ancaman.

Segala-galanya bermula lebih daripada 10 tahun lepas, apabila China menghantar sekumpulan kecil anggota-anggota tenteranya untuk menduduki secara haram terumbu karang dan ciri-ciri maritim itu yang terletak di tengah-tengah laluan perdagangan tersibuk dunia.

Berteduhkan khemah dan pondok yang sederhana, kehadiran anggota tentera China itu disusuli dengan “kedatangan” lebih ramai anggota tentera negara itu bersama-sama jurutera awamnya yang pakar dalam “operasi” penambakan.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali dan kedudukannya di perairan Sarawak.

 

Armada kapal-kapal pengorek (dredger) China juga tiba di terumbu karang dan ciri maritim untuk memulakan kerja-kerja penambakan intensif.

Kerja-kerja penambakan berlaku tanpa henti 24 jam sehari dan di dalam tempoh beberapa tahun, terumbu karang dan ciri-ciri maritim yang terpencil dan tidak berpenghuni itu telah berubah wajah menjadi pulau-pulau yang lengkap untuk menempatkan kelengkapan moden tentera berserta kebun-kebun sayuran serta kandang penternakan.

Apa yang akan menghalang China untuk berbuat benda yang sama, sama ada di Beting Patinggi Ali atau mana-mana terumbu karang atau ciri-ciri maritim lain yang terletak di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, Vietnam, Brunei atau Filipina.

Pulau
Fiery Cross Reef

 

Apa yang sebenarnya boleh kita lakukan sekiranya Beijing mahu mendirikan struktur atau menempatkan anggota tenteranya di mana-mana beting, terumbu karang atau apa-apa ciri maritim yang terletak di dalam perairan ZEE kita?

Melihatkan kepada kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China di perairan ZEE kita pada ketika ini dan keadaan armada tentera laut kita, kemungkinan besar tidak banyak yang boleh kita lakukan, kecuali mengharapkan tindakan multilateral di badan-badan antarabangsa.

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...