Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] China Lancar Peluru Berpandu Balistik Ke Arah Taiwan

Kesemua 11 buah peluru berpandu dipercayai DF-15 telah jatuh di perairan utara, selatan dan timur Taiwan, dengan kerajaan Jepun mendakwa lima daripada peluru berpandu berkenaan jatuh di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara itu.

0 1,642

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sehari selepas speaker Amerika Syarikat Nancy Pelosi meninggalkan Taiwan, tentera China melancarkan latihan tentera besar-besaran di perairan sekeliling pulau itu yang menyaksikan sehingga 11 buah peluru berpandu balistik jarak dekat telah dilancarkan ke arah lokasi berhampiran Taiwan.

Terdapat laporan mengatakan dua daripada peluru berpandu balistik China itu melintas ruang udara pulau Taiwan sebelum “mendarat” di perairan berhampiran pulau itu.

Kesemua 11 buah peluru berpandu dipercayai DF-15 dan DF-16 telah jatuh di perairan utara, selatan dan timur Taiwan, dengan kerajaan Jepun mendakwa lima daripada peluru berpandu berkenaan jatuh di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik negara itu.

DF-16
Peluru berpandu balistik jarak dekat DF-16.

 

Ia adalah kali pertama peluru berpandu ballistik itu jatuh di perairan ZEE milik Jepun,  yang telah bertindak membantah tindakan China itu.

“Ia (pelancaran lima butir peluru berpandu di perairan ZEE Jepun) adalah insiden yang amat membimbangkan melibatkan keselamatan negara kami dan rakyat Jepun,” kata Menteri Pertahanan Jepun, Nabuo Kishi.

Kesemua peluru berpandu ballistik yang dilancar terhadap Taiwan itu dipercayai telah dilancar daripada wilayah Fujian, kawasan pesisir Zhejiang dan kawasan lain di China.

Pada masa yang sama, 22 buah pesawat pejuang China melintasi garisan median di Selat Taiwan yang memisahkan kedua-dua negara.

Pemerhati keselamatan berkata pelancaran lima butir peluru berpandu yang mendarat di perairan Jepun itu merupakan “suatu amaran” kepada Tokyo serta Amerika Syarikat yang mempunyai pangkalan udara Kadena di Okinawa juga terletak tidak jauh.

Beijing mungkin mahu memberikan signal bahawa peluru berpandunya boleh mengenai mana-mana sasaran yang dipilihnya.

Tentera China dalam satu kenyataan kesemua peluru berpandu yang dilancarkan itu telah “berjaya mengenai sasaran dengan tepat.”

DF-16

Keenam-enam zon latihan tentera China di perairan berhampiran Taiwan dipilih kerana kepentingannya dalam kempen ketenteraan masa depan untuk mengepung dan menyerang pulau yang masih dianggap sebahagian daripada wilayah China.

Satu daripada zon latihan tentera China itu meliputi kawasan yang paling sempit di Selat Taiwan, manakala zon lain boleh digunakan untuk menyerang tiga daripada pangkalan tentera udara paling utama Taiwan.

DF-16
Pesawat-pesawat pejuang China

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Menurut media-media tempatan Taiwan, dua daripada peluru berpandu yang dilancar oleh China telah melintasi ruang udara pulau itu yang dianggap sebagai satu lagi perluasan tindakan ketenteraan terhadap negara pulau itu oleh Beijing.

Menurut pihak tentera Taiwan, ia adalah kali pertama peluru berpandu China melintasi ruang udara negara itu, tetapi menyatakan bahawa ia tidak berbahaya kerana ia terbang pada atmosfera yang terlalu tinggi. — DSA

Comments
Loading...