Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Miliki Sistem Pertahanan Udara MIM-104 Patriot Amerika??? Biar Betul

Gambar itu mengejutkan banyak pihak kerana sistem pertahanan udara "MIM-104 Patriot" itu adalah aset yang amat dilindungi oleh Amerika Syarikat dan hanya negara-negara tertentu terutamanya yang bersahabat rapat dengan Washington dibenarkan memilikinya. Sudah pasti China bukan salah satu daripada negara yang dibenarkan memiliki Patriot.

0 2,221

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, sekeping gambar menunjukkan sistem pertahanan udara “MIM-104 Patriot” buatan Amerika Syarikat sedang diangkut oleh sebuah treler di China telah menjadi viral di media-media sosial.

Gambar itu mengejutkan banyak pihak kerana sistem pertahanan udara itu adalah aset yang amat dilindungi oleh Amerika Syarikat dan hanya negara-negara tertentu terutamanya yang bersahabat rapat dengan Washington dibenarkan memilikinya.

China sudah semestinya bukan salah sebuah negara yang dibenarkan memiliki sistem pertahanan udara “Patriot” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Amerika Syarikat,RTX (dahulu dikenali sebagai Raytheon).

Pada ketika ini, sistem pertahanan udara “Patriot” itu sedang digunakan oleh tentera Ukraine bagi menangani serangan udara oleh pihak Russia, hasil daripada “sumbangan” Amerika Syarikat dan negara-negara sekutunya yang lain di Eropah.

Satu daripada bateri sistem pertahanan udara “Patriot” itu diketahui dioperasi oleh tentera Ukraine untuk melindungi ibu negara Ukraine, Kiev daripada serangan peluru-peluru berpandu kruis dan taktikal oleh Russia.

Patriot
MIM-104 Patriot

 

Sememangnya, terdapat permintaan yang tinggi daripada negara-negara sekutu Amerika Syarikat untuk mendapatkan sistem pertahanan udara “Patriot”, sebahagian besarnya akibat “ketakutan” akan serangan udara oleh pihak Russia,  sebagaimana dialami oleh Ukraine.

Russia mendakwa ia telah berjaya memusnakan beberapa unit pelancar sistem pertahanan udara “Patriot” terutamanya yang mempertahankan Kiev.

Kemunculan gambar viral menunjukkan sistem pertahanan udara “Patriot” sedang diangkut oleh treler di China itu menimbulkan spekulasi hebat dengan ramai menyatakan bahawa Beijing telah berjaya memperolehi sistem persenjataan yang amat dilindungi oleh Amerika Syarikat.

Banyak diantara spekulasi ini mendakwa sistem “Patriot” yang berada di China sebagaimana dipaparkan oleh gambar viral itu diperolehi daripada Ukraine.

Bagaimanapun setakat ini, tiada laporan yang menyatakan bahawa pihak tentera Russia telah berjaya menawan sistem pertahanan udara “Patriot” itu, memandangkan laporan sebelum ini hanya menyatakan bahawa Moscow berjaya memusnahkannya.

Patriot

Sebelum ini, Russia mendakwa ia telah berjaya memusnahkan sekurang-kurangnya dua sistem pelancar sistem pertahanan udara “Patriot” yang dioperasikan oleh tentera Ukraine.

Satu lagi teori tentang gambar “Patriot” di China itu mendakwa bahawa Beijing memperolehi sistem pertahanan udara itu daripada Taiwan, yang merupakan salah satu pengguna sistem pertahanan udara itu.

Selain teori-teori menyatakan bahawa sistem pertahanan udara “Patriot” itu diperolehi Beijing itu adalah diperolehi daripada Ukraine atau Taiwan, terdapat juga mengatakan bahawa gambar viral itu sebenarnya menunjukkan sebuah mock-up “Patriot” yang digunakan oleh tentera China dalam latihannya.

Mereka mendakwa bahawa ia hanyalah sekadar mock-up yang berkualiti tinggi atau apa yang dipanggil sebagai “VISMOD” (Visual Modification) yang digunakan oleh tentera China untuk tujuan latihannya.

Pemerhati mendakwa ia berkemungkinan besar adalah VISMOD atau mock-up selepas meneliti beberapa perbezaan besar di antara sistem pertahanan udara “Patriot” sebenar dengan gambar yang viral itu.

Terdapat banyak perbezaan ketara di antara kedua-duanya.

Patriot

Tentera China sememangnya diketahui menggunakan VISMOD berkualiti tinggi dalam latihan-latihannya.

Malah China didakwa telah membina replika sebuah ibunegara Taiwan termasuk pejabat negara pulau itu dan bangunan-bangunan kerajaan yang penting bagi tujuan latihan tenteranya.

Selain itu, Beijing juga telah membina replika kapal-kapal perang Amerika termasuk kapal pengangkut pesawat untuk tujuan latihan termasuk meningkatkan tahap ketepatan serangan peluru berpandunya. — DSA

Comments
Loading...