Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Pertingkat Penggunaan Su-57 dan Serangan Peluru Berpandu Kruis KH-69 Terhadap Ukraine

Tentera Udara Russia (Russian Aerospace Forces – VKS) dilapor mula menggunakan pesawat pejuang Su-57 "Felon" dalam serangan terhadap Ukraine pada Februari 2024 dan sejak daripada itu Moscow semakin kerap melancarkan serangan peluru berpandu menggunakan pesawat pejuang terbabit.

0 2,961

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilapor telah mempertingkatkan penggunaan pesawat-pesawat pejuang generasi kelimanya  Su-57 “Felon” dalam serangan udara terhadap sasaran-sasaran penting di Ukraine.

Tentera Udara Russia (Russian Aerospace Forces – VKS) dilapor mula menggunakan pesawat pejuang Su-57 “Felon” dalam serangan terhadap Ukraine pada Februari 2024 dan sejak daripada itu Moscow semakin kerap melancarkan serangan peluru berpandu menggunakan pesawat pejuang terbabit.

Laporan oleh pemerhati tentera menyatakan bahawa sejak 30 hari lepas, Russia telah melancarkan sekurang-kurangnya enam serangan peluru berpandu terhadap sasaran penting di Ukraine menggunakan pesawat pejuang Su-57.

Pesawat-pesawat pejuang Su-57 itu dikatakan berlepas daripada pangkalan udara di Akhtubinsk yang terletak di Wilayah Astrakhan dan mula melancarkan serangan peluru berpandu itu ketika ia berada di ruang udara di Kursk, Bryansk di dalam Russia dan di wilayah Luhansk yang terletak di Ukraine yang didudukinya selepas ditawan.

Setiap “gerombolan” pesawat-pesawat pejuang Su-57 Tentera Udara Russia yang melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Ukraine itu akan diiringi oleh dua buah pesawat pejuang Su-35.

Su-57
Su-57

 

Menurut pemerhati tentera lagi, untuk serangan-serangan terhadap sasaran penting di Ukraine, pesawat-pesawat Su-57 itu menggunakan peluru berpandu kruis yang berkemampuan bergerak dalam keadaan halimunan dikenali dengan nama “KH-69.”

Menurut media-media Russia,peluru berpandu kruis “KH-69” adalah jawapan kepada peluru-peluru berpandu kruis “Taurus” dibangunkan oleh Jerman dan juga “Storm Shadow/SCALP” yang dibangunkan oleh Britain dan Perancis.

Berkelajuan subsonik, peluru berpandu KH-69 itu telah dibangunkan khusus untuk dibawa oleh pesawat pejuang Su-57, dengan ia diletakkan di bahagian dalam pesawat (internal weapon bays).

Penggunaan peluru berpandu kruis KH-69 oleh Russia terhadap Ukraine telah pun disahkan oleh pakar-pakar Kyiv Scientific Research Institute of Forensic Expertise di Kementerian Keadilan Ukraine yang telah mengkaji serpihan peluru berpandu itu selepas serangan pada Februari lepas.

Laporan rasmi oleh pihak berkuasa Ukraine juga mengesahkan bahawa Russia telah menggunakan pesawat-pesawat pejuang Su-57 miliknya terhadap serangan loji janakuasa terbesar milik Ukraine di Trypilska.

Pada Mei lalu, serpihan peluru berpandu kruis KH-69 yang lengkap telah ditemui di dalam hutan di Kiev.

Su57
Peluru berpandu udara-ke-darat KH-69.

 

Pada 11 April lalu, tentera Russia telah memusnahkan loji janakuasa thermal Trypilska (TPP) di Kiev yang merupakan loji janakuasa terbesar di wilayah Kiev menerusi kombinasi serangan peluru berpandu dan dron-dron berani mati.

Menurut jurucakap tentera Ukraine, tentera Russia telah melancarkan sebanyak 82 peluru berpandu dan dron berani mati termasuk enam butir peluru berpandu hypersonic “Kinzhal” yang memusnahkan loji janakuasa thermal yang penting itu.

Kemusnahan loji janakuasa thermal Trypilska yang memiliki kapasiti penjanaan elektrik terbesar di Ukraine itu amat dirasai kerana ia telah memutuskan bekalan elektrik terhadap sebahagian besar ibu negara Kiev.

Menurut sumber tentera Ukraine,  pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Russia Su-57 “Felon” dan peluru berpandu udara ke darat KH-69 telah memainkan peranan yang kritikal dalam serangan yang membawa kepada kemusnahan loji janakuasa thermal itu.

Selain pesawat-pesawat pejuang Su-57, peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 itu juga boleh dilancarkan oleh pesawat pejuang Su-34 dan Su-35.

Sumber tentera Ukraine itu menyatakan bahawa serangan terhadap loji janakuasa thermal menunjukkan peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 itu adalah lebih berbahaya berbanding peluru berpandu hypersonik “Kinzhal”.

Kinzhal
Peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” yang dibangunkan oleh Russia.

 

Setiap sebuah pesawat pejuang Su-57 Tentera Udara Russia boleh membawa sehingga empat buah peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 di dalam kompartment senjatanya yang berada di dalam pesawat itu sendiri.

Pesawat-pesawat Su-57 Russia menurut sumber tentera Ukraine itu telah melancarkan peluru-peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 itu kira-kira 400km daripada loji janakuasa thermal Trypilska iaitu ketika pesawat pejuang termoaden Russia itu itu berada di dalam ruang udaranya sendiri dan jauh daripada ancaman sistem pertahanan udara Ukraine.

Sebaik sahaja melancarkan peluru berpandu KH-69 itu, pesawat pejuang Su-57 akan “berpatah balik” kembali ke kawasan selamat Persekutuan Russia.

Tentera Ukraine menyatakan prestasi peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 itu menjangkaui maklumat mereka yang mengatakan bahawa peluru berpandu itu hanya mempunyai jarak bedilan sejauh 300km.

Malah, terdapat kemungkinan peluru berpandu KH-69 boleh beroperasi pada jarak lebih jauh daripada 400km sekiranya ia dilancarkan ketika pesawat pejuang Su-57 itu sedang bergerak pada kelajuan maksimumnya iaitu Mach 2.

Su-57
“Su-57”

 

Salah satu ciri-ciri paling utama peluru berpandu KH-69 itu adalah kemampuannya untuk terbang amat rendah iaitu hanya kira-kira 20 meter daripada tanah bagi mengelakkan ia dikesan oleh radar-radar sistem pertahanan udara musuh.

Altitud penerbangan peluru berpandu KH-69 setinggi 20 meter daripada tanah adalah lebih rendah daripada peluru berpandu KH-101 yang memiliki ciri-ciri penerbangan yang hampir sama.

“Penggunaan bersama pesawat pejuang halimunan Su-57 dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-darat KH-69 yang terbang pada aras amat rendah merupakan mimpi ngeri kepada Ukraine yang tidak mampu menangani serangan Russia itu,” menurut penganalisis tentera Russia. — DSA

Comments
Loading...