Akhirnya, Thailand “Terpaksa” Guna Enjin Buatan China Pada Kapal Selamnya
Dalam kontrak di antara Thailand dan China, Beijing perlu membekalkan dua buah kapal selam yang dilengkapi dengan enjin buatan Jerman, tetapi masalah timbul disebabkan sekatan ketenteraan Kesatuan Eropah (EU) terhadap China menyaksikan sebarang penggunaan alatan atau komponen ketenteraan berasal daripada EU oleh China dilarang sama sekali.

Jom folo Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Akhirnya, Thailand berkemungkinan terpaksa menggunakan enjin buatan China pada kapal-kapal selam kelas-Yuan S26T yang bakal diperolehinya daripada Beijing selepas pengeluar enjin Jerman berkeras enggan membenarkan enjinnya digunakan pada kapal-kapal selam yang dijual China kepada Bangkok itu.
Disebabkan keengganan syarikat MTU daripada Jerman membenarkan enjin dieselnya, MTU 396 digunakan pada pada kapal selam buatan China yang dijual kepada Thailand, maka Beijing terpaksa menggunakan enjin diesel buatan sendirinya, CHD 620.
Masalahnya, enjin diesel buatan China, walaupun telah dinaiktaraf sebagaimana didakwa oleh pengeluarnya, tetapi ia tidak pernah digunakan oleh mana-mana kapal selam buatan China sebelum ini.

Di dalam kontrak perjanjian pembelian kapal selam di antara Beijing dan Bangkok sebelum ini, Thailand menghendaki kapal-kapal selamnya itu dilengkapi dengan enjin diesel buatan MTU Jerman atau enjin yang setaraf dengannya serta telah digunakan oleh kapal-kapal selam yang lain.
Nampaknya, China telah melanggar kontrak pembelian kapal selam itu dengan melengkapkan kapal-kapal selam Thailand itu dengan enjin yang tidak pernah digunakan oleh mana-mana kapal selam buatan syarikat China sebelum ini.
Bagaimanapun, Thailand terpaksa juga menerima enjin diesel buatan China untuk dipasang pada kapal-kapal selamnya yang dibeli daripada Beijing itu tetapi telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat pembuatan kapal selam China itu.
Kedua-dua buah kapal selam Thailand itu diperbuat oleh syarikat China Shipbuilding and Offshore Internationa Co (CSOC).
Ketua Staff Tentera Laut Thailand Laksamana Thaloengsak Sirisawat sebagaimana dipetik oleh akhbar Bangkok Post berkata tentera laut negara itu akan mengadakan ujian terhadap enjin yang dijanjikan oleh pihak China.
Ujian itu dilaksanakan sehingga 15 Sept ini,katanya.
Comments are closed.