Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Pengangkut Pesawat China Hanya “Alatan Propaganda” – Pakar Ketenteraan

Pakar-pakar ketenteraan mendakwa China memerlukan masa “bertahun-tahun” lagi sebelum ia menguasai kemampuan untuk melancarkan peperangan menggunakan kapal pengangkut pesawat.

6,492

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Apabila China mengerahkan salah sebuah kapal pengangkut pesawatnya, Shandong ke timur Taiwan bulan lepas sebagai sebahagian daripada latihan tentera, Beijing sebenarnya sedang memperagakan kekuatan tentera yang ia masih belum kuasai, menurut pendapat beberapa penganalisis ketenteraan.

Menurut mereka, China memerlukan masa “bertahun-tahun” lagi sebelum menguasai kemampuan melancarkan peperangan menggunakan kapal pengangkut pesawat.

Beijing memerlukan sekurang-kurangnya sedekad sebelum ia boleh melancarkan peperangan menggunakan kapal pengangkut pesawat dengan berkesan,kata empat atase tentera dan enam penganalisis tentera kepada agensi berita Reuters baru-baru ini.

Shandong
Kapal pengangkut pesawat China, “Shandong.”

 

“Kapal-kapal pengangkut pesawat China adalah lebih kepada alatan propaganda, meragukan daripada segi kepentingannya apabila berlaku konflik dengan Amerika Syarikat tentang Taiwan dan sama ada China berkemampuan melindunginya ketika ia melaksanakan misi jarak jauh di Pasifik dan Lautan Hindi,” kata mereka.

Bekas penganalisis perisikan tentera laut British,Trevor Hollingsbee berkata, terdapat elemen teaterikal mengenai kerahan kapal pengangkut pesawat oleh China pada ketika ini, berbanding aspek-aspek permodenan tentera China pada ketika ini.

“Operasi kapal pengangkut pesawat adalah ‘permainan yang kompleks’ dan China perlu merungkainya secara sendirian dan ia masih jauh,amat jauh (untuk menguasainya),” kata beliau.

Juruterbang pesawat-pesawat pejuang kapal pengangkut pesawat China dikatakan masih lagi bergantung kepada landasan di darat untuk berlepas dan mendarat.

Walaupun Liaoning dan Shandong telah melakukan pelayaran di perairan Pasifik Barat beberapa bulan lepas dan menghampiri pangkalan tentera Amerika di Guam,  kapal pengangkut pesawat China itu masih berada dalam “jarak jangkauan” landasan pesisir pantai negara itu, kata professor kajian keselamatan di Universiti Takushoku, Rira Momma.

Fujian
Kapal pengangkut pesawat ketiga China “Fujian”

 

Kesemua pakar-pakar ketenteraan itu menyatakan lagi bahawa dua buah kapal pengangkut pesawat China, Liaoning dan Shandong masih di dalam fasa “latihan” dalam usaha mereka untuk memahirkan diri dengan operasi kapal pengangkut pesawat.

Pada ketika ini, tentera laut China memiliki dua buah kapal pengangkut pesawat yang beroperasi manakala kapal pengangkut pesawat,Fujian baru sahaja siap dibina dan masih dalam proses dilengkapkan dengan pelbagai peralatan.

Kapal pengangkut pesawat yang pertama, Liaoning itu adalah bekas kapal pengangkut milik Kesatuan Soviet sebelum dibeli daripada Ukraine.

Menurut pakar-pakar tentera itu, tentera laut China masih lagi bergelut dengan operasi pesawat pejuang pada waktu malam dan cuaca buruk di kapal-kapal pengangkut pesawat itu, sesuatu yang sepatutnya sudah menjadi rutin pada ketika ini.  

“Ketika waktu konflik, kapal-kapal pengangkut pesawat China itu terdedah kepada serangan peluru berpandu dan kapal selam kerana Tentera Laut China masih belum menguasai operasi perlindungan kapal-kapal pengangkut pesawat itu terutamanya membabitkan peperangan anti-kapal selam,” menurut mereka.

Liaoning
Pesawat pejuang beroperasi di atas kapal pengangkut pesawat China, Liaoning.

 

Selain itu,pakar-pakar ketenteraan itu juga mengatakan bahawa kegagalan kapal pengangkut pesawat China mengoperasikan pesawat amaran awal seperti E-2C/D Hawkeye milik Amerika Syarikat, turut menjejaskan keberkesanan operasinya.

Pesawat AEWC baru China,KJ-600 yang direkabentuk untuk melaksanakan misi yang sama sebagaimana E-2C/D milik Amerika Syarikat masih lagi diperingkat ujian dan belum mencapai tahap operasi penuh, menurut laporan terkini Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat tentang tentera China.

Mengenai kapal pengangkut pesawat ketiga China, Fujian yang dijangka mula beroperasi pada 2024, pakar-pakar ketenteraan itu juga berkata, kapal pengangkut pesawat terbaru negara itu memerlukan masa sebelum ia mencapai tahap operasi penuh.

Laut China Selatan
Anggota kapal destroyer Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Mustin sedang memerhati kapal pengangkut pesawat China “Liaoning” di Laut Filipina pada 4 April lepas. (kredit DVIDSHub)

 

“Ia akan memakan masa bertahun-tahun sebelum “Fujian” bersedia untuk beroperasi sepenuhnya,” kata mereka.

Kegagalan China melengkapkan ketiga-tiga kapal pengangkut pesawatnya dengan teknologi nuklear (nuclear propulsion) juga menghalang aset-aset tentera laut negara itu beroperasi jauh daripada pantainya dan memainkan “peranan” di peringkat antarabangsa.

Apapun, China masih berada jauh di belakang Amerika Syarikat yang memiliki 11 buah kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear. —  DSA

APPPS

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

Comments are closed.