Cadangan Jambatan Darat Thailand Bakal “Bunuh” Pelabuhan Di Selat Melaka, Singapura?
Nampaknya, Bangkok sedang menimbangkan dengan serius cadangan untuk membina jambatan darat itu, yang diharap dapat merangsang kembali ekonominya yang teruk terjejas pada ketika ini akibat masalah pandemik COVID-19.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Apa akan jadi kepada pelabuhan-pelabuhan di Selat Melaka sama ada di Malaysia atau Singapura jika Thailand merealisasikan hasratnya untuk membina “jambatan darat” (landbridge) menghubungan Laut Andaman dengan Teluk Siam?
Nampaknya, Bangkok sedang menimbangkan dengan serius cadangan untuk membina jambatan darat itu, yang diharap dapat merangsang kembali ekonominya yang teruk terjejas pada ketika ini akibat masalah pandemik COVID-19.
Jambatan darat itu, dapat menjimatkan masa kapal-kapal yang melalui Selat Melaka sebanyak dua hari.
Sekiranya Thailand membina jambatan darat yang akan menghubungkan Ranong dan Chumphon di selatan negara itu, ia akan memberikan saingan kepada satu satu lagi “jambatan darat” yang sedang dibina oleh Malaysia iaitu ECRL (East Coast Rail Link) bernilai RM44 bilion sepanjang kira-kira 700km yang bakal menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pelabuhan Kuantan.
Jambatan darat Thailand yang menghubungkan Ranong dan Chumphon yang dianggarkan hanya sepanjang 130km serta bernilai US$1.8 bilion untuk dibina bukan sekadar laluan kereta api sahaja, tetapi terdapat juga cadangan untuk membina paip minyak menghubungkan kedua-dua kawasan itu, yang menjadikan projek infrastruktur itu menjadi lebih menarik daripada segi ekonominya.
Sekiranya jambatan darat itu dibina, pelabuhan-pelabuhan di Ranong dan Chumphon yang dinaiktarf manakala zon-zon industri diwujudkan bagi menjana lagi ekonomi tempatan.
Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha mengarahkan kajian feasibility mengenai cadangan pembinaan jambatan darat itu dilakukan pada pertengahan tahun lepas.
Cadangan untuk membina jambatan barat menghubungkan Laut Andaman dan Teluk Siam itu mendapat nafas baru selepas cadangan untuk membina Terusan Kra, di Segenting Kra yang diimpikan sejak berdekad lama mungkin tidak dapat direalisasikan di atas beberapa sebab — daripada kos yang terlalu tinggi kepada impak politik serta keselamatan kepada Thailand.
Pihak keselamatan Thailand bimbang sekiranya Terusan Kra dibina, ia akan “memutuskan” negara itu kepada bahagian, sekaligus memarakkan lagi konflik bersenjata di selatan negara itu.
Selain itu, dalam keadaan pandemik ini, tidak ada pihak sama ada swasta atau kerajaan yang mahu membelanjakan US$30 bilion hingga US$50 bilion untuk membina terusan.
Apa yang pasti, pembinaan jambatan darat itu adalah lebih murah berbanding membina terusan.
Walaupun cadangan membina jambatan darat itu menerima sokongan ramai pada ketika ini, tetapi pada masa yang sama kumpulan-kumpulan pelobi cadangan pembinaan Terusan Kra yang disokong oleh bekas-bekas pegawai kanan tentera Thailand itu juga akan terus berusaha mempengengaruhi kerajaan tentera Thailand.
Kumpulan-kumpulan pelobi Terusan Kra di Thailand dikatakan mendapat sokongan daripada China yang mahu melihat pembinaan terusan itu direalisasikan untuk memenuhi impian ekonomi dan strategiknya.
Dengan adanya Terusan Kra, kapal-kapal tentera mahupun komersial China membawa minyak dan gas yang amat penting untuk ekonominya tidak lagi perlu melalui Selat Melaka, sekaligus melenyapkan kebimbangnnya bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya akan bertindak menyekat laluan di selat itu sekiranya konflik ketenteraan di antara mereka meletus.
Tiada lagi “Malacca Dilemma” bagi China jika Terusan Kra itu dibina.
Comments are closed.