Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ancaman CAATSA Sukarkan Peluang “Tejas” Menangi Tender FLIT/LCA Malaysia?

Pesawat "Tejas" buatan syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) menggunakan enjin F404 oleh syarikat Amerika, GE Aviation. Jika India dikenakan sekatan ekonomi kerana melanggar CAATSA, pesawat "Tejas" perlu mencari enjin lain.

0 12,721

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya, CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanction Act) bakal menimbulkan masalah yang besar kepada syarikat Hindustan Aeronautic Ltd (HAL) ketika ia untuk bersungguh-sungguh mahu menjual pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) buatannya “Tejas” kepada Malaysia.

Ini kerana di bawah CAATSA, India berhadapan dengan ancaman sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat berikutan tindakannya yang berdegil untuk memperolehi sistem pertahanan udara buatan Russia, S-400 “Triumf”.

Perjanjian bernilai US$5 bilion (RM20 bilion) untuk memperolehi sistem pertahanan udara Russia itu dimeterai di antara New Delhi dan Moscow pada 2018.

Sistem S-400 buatan Russia itu pertama telah pun tiba di India baru-baru ini, dengan sumber-sumber pertahanan negara ini menjangkakan sistem pertahanan udara yang pertama itu akan mula beroperasi pada April ini.

Kesemua lima unit sistem pertahanan udara S-400 Angkatan Tentera India yang berkemampuan menembak jatuh pesawat atau peluru berpandu musuh di antara 40km hingga 400km jaraknya dijangka akan beroperasi pada tahun depan.

S-400
Sistem Pertahanan Udara S-400

 

Jika Washington mengenakan sekatan ekonomi terutamanya terhadap eksport berkaitan peralatan dan sistem pertahanan buatan negara itu terhadap India, antara pihak yang sudah pasti akan terjejas adalah syarikat HAL yang membangunkan pesawat “Tejas.”

Mengapa HAL dan pesawat pejuang “Tejas” terjejas sekiranya Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi terhadap India?

Pesawat “Tejas” bakal terjejas teruk sekiranya India dikenakan sekatan ekonomi kerana pesawat kebanggaan industri pertahanan tempatan India itu menggunakan enjin yang diperbuat oleh syarikat Amerika Syarikat, General Electric Aviation.

S-400
Sistem pertahanan udara S-400

 

Ia adalah sama seperti apa yang dialami oleh Turki apabila ia cuba menjual helikopter penyerang T129 ATAK yang menggunakan enjin buatan firma Amerika Syarikat kepada Pakistan.

Akhirnya, Pakistan membatalkan kontrak pembelian helikopter buatan Turki itu selepas Ankara gagal memperolehi lesen eksport Amerika terhadap enjin-enjin yang digunakan oleh helikopter penyerang itu.

T129 ATAK
Helikopter penyerang T129 ATAK oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

 

Sebagaimana India, Turki dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat akibat melanggar CAATSA kerana membeli S-400 daripada Russia.

Pada Ogos tahun lepas, syarikat HAL mengumumkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan syarikat GE Aviation untuk memperolehi 99 buah enjin jet F404 untuk digunakan di pesawat FLIT/LCA buatannya “Tejas MK1A.”

Sudah pasti jika Malaysia memilih “Tejas” sebagai pesawat pilihannya, maka pesawat itu sudah semestinya dilengkapi dengan enjin F404.

Enjin F404 buatan syarikat GE Aviation itu juga digunakan oleh pesawat F/A-18C/D TUDM serta pesawat FA-50 buatan Korea Aerospace Industries (KAI) yang turut bersaing dengan “Tejas”dalam tender Kementerian Pertahanan untuk memperolehi 18 buah pesawat FLIT/LCA.

Sebelum ini, penggunaan enjin F404 oleh Tejas itu memberikannya kelebihan dalam persaingan dalam tender Malaysia itu kerana faktor commonality dengan pesawat-pesawat F/A-18C/D Hornet TUDM.

Tejas
Enjin jet General Electric F404 yang digunakan oleh pesawat Tejas.

 

Kini, dengan ancaman sekatan ekonomi di bawah CAATSA itu berlegar, faktor penggunaan enjin Amerika Syarikat oleh pesawat “Tejas” kini menjadi faktor yang melemahkan saingannya dalam tender Kementerian Pertahanan itu.

Pesawat “Tejas” berhadapan dengan kemungkinan “tidak mempunyai enjin” sekiranya India dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat.

Ada yang mengatakan bahawa HAL boleh melengkapkan “Tejas” dengan enjin jet buatan tempatan dipanggil “Kalveri” tetapi ramai pengkritik mengatakan enjin jet tempatan itu masih diperingkat pembangunan dan belum bersedia untuk beroperasi.

Sekiranya enjin buatan tempatan itu sudah boleh digunakan pun, bagaimana pula dengan prestasinya? Adakah pretasinya setanding dengan prestasi enjin F404 buatan GE Aviation?

Tejas

Bagaimana pula dengan Kementerian Pertahanan dan TUDM,adakah ia sanggup menanggung risiko membeli pesawat yang berkemungkinan menjadi “mangsa” kepada sekatan ekonomi Amerika Syarikat?

Terdapat laporan mengatakan bahawa HAL cuba melengkapkan pesawat “Tejas” dengan enjin buatan Russia tetapi laporan itu tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Lagi satu kemungkinan adalah India mendapat “waiver” daripada Washington yang mungkin memutuskan untuk tidak mengenakan sekatan ekonomi terhadapnya.

Bagaimanapun, jika Turki yang merupakan anggota NATO pun dikenakan sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat, peluang India untuk mendapat “waiver” itu adalah tipis. — DSA

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Comments
Loading...