Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kumpulan Kapal-Kapal Perang India Semakin Hampiri Pelabuhan Karachi, Pakistan Nafi

Dakwaan yang dibuat oleh media British dengan memetik sumber di dalam Angkatan Tentera India menyatakan bahawa kapal pengangkut pesawat itu dan kapal-kapal perang Tentera Laut India yang lain belayar semakin hampir dengan bahagian utara perairan Laut Arab.

0 28,438
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut pesawat INS Vikrant dan beberapa kapal perang Tentera Laut India yang lain didakwa semakin menghampiri Pelabuhan Karachi, namun dakwaan itu dinafikan oleh Pakistan yang menyatakan bahawa kumpulan kapal-kapal perang India itu masih berada di perairan antarabangsa.
Dakwaan yang dibuat oleh media British dengan memetik sumber di dalam Angkatan Tentera India menyatakan bahawa kapal pengangkut pesawat itu dan kapal-kapal perang Tentera Laut India yang lain belayar semakin hampir dengan bahagian utara perairan Laut Arab.
Ini  bermakna Pelabuhan Karachi itu kini berada di dalam jarak bedilan kapal-kapal perang Tentera Laut India itu.
“Pergerakan itu (kapal-kapal perang India) itu bermula sejak lapan hari lalu. Kumpulan kapal-kapal perang Tentera Laut India itu terdiri daripada kapal pengangkut pesawat, kapal destroyer, friget dan kapal peperangan anti-kapal selam (ASW),” menurut media British itu.
Sebahagian daripada kapal-kapal perang Tentera Laut India itu dilengkapi dengan peluru berpandu kruis BrahMos, yang berkemampuan membedil sasaran sejauh 300km.
Pelayaran kapal-kapal perang Tentera Laut India menghampiri Pelabuhan Karachi itu membimbangkan kerana sebarang serangan oleh India terhadapnya boleh melumpuhkan ekonomi Pakistan.
Ini kerana Pelabuhan Karachi mengendalikan 60 peratus daripada perdagangan Pakistan, selain turut menempatkan pangkalan Tentera Laut Pakistan.

India

Bagaimanapun, pihak tentera Pakistan menafikan dakwaan dibuat oleh media British itu, dengan menjelaskan bahawa kapal tentera laut India itu masih berada di perairan antarabangsa, di lokasi yang sama seperti pada malam pada 6 hingga 7 Mei ketika India melancarkan serangan terdahulu.
Tiada sebarang pergerakan ke hadapan dilakukan dari kedudukan itu, menurut beliau.
“Sumber keselamatan memaklumkan bahawa kapal pengangkut pesawat India masih berada di lokasi asal (di perairan antarabangsa) dan tidak bergerak menghampiri perairan Pakistan,” kata pihak tentera Pakistan.
Kenyataan bahawa kapal itu sedang menuju ke arah Pelabuah Karachi disifatkan sebagai “maklumat palsu yang sengaja disebarkan untuk mencetuskan panik.”
Pihak keselamatan Pakistan membidas laporan media British dan menyifatkannya sebagai “sensasi semata-mata,” sambil menjelaskan bahawa dengan kewujudan sistem persenjataan jarak jauh yang canggih pada masa kini, sebarang sasaran boleh dibedil daripada dari jarak jauh, menjadikan dakwaan itu tidak relevan dari sudut teknikal dan strategi.
“Sistem pertahanan Pakistan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap setiap taktik dan provokasi musuh,” kata sumber Pakistan itu, sambil menambah bahawa, “ia memiliki keupayaan untuk melancarkan serangan terhadap mana-mana sasaran di wilayah musuh, pada bila-bila masa, lokasi dan dengan senjata pilihan kami.”
Karachi Port
Pelabuhan Karachi
Tentera Pakistan dilaporkan sedang memantau rapi setiap perkembangan semasa dan berada dalam keadaan bersiap siaga untuk memberikan tindak balas yang tegas serta berkesan terhadap sebarang bentuk pencerobohan oleh tentera India.
“Pasukan keselamatan kami telah bertindak balas dan akan terus memberikan respon tegas terhadap setiap tindakan bermusuh,” menurut kenyataan sumber tentera Pakistan kepada media negara itu.
Pelabuhan Karachi turut menempatkan pangkalan Tentera Laut Pakistan dikenali sebagai Pangkalan Tentera Laut Karachi atau lebih dikenali sebagai Naval Base Karachi (PN Dockyard dan PNS Karsaz).
Karachi merupakan pusat operasi maritim utama Tentera Laut Pakistan, yang menempatkan markas strategik serta aset utamanya seperti kapal selam, kapal perang, dan kemudahan logistik.
Beberapa kemudahan Tentera Laut Pakistan yang penting di kawasan Pelabuhan Karachi itu termasuk:
  • PNS Karsaz – institusi latihan maritim utama.
  • PNS Bahadur – pusat latihan pegawai.
  • PNS Zafar dan PNS Haider – kemudahan sokongan.
  • PN Dockyard dan Submarine Base – lokasi penyelenggaraan dan operasi kapal selam serta kapal permukaan.
Selain itu, Markas Komando Armada Pakistan (COMKAR) juga berpangkalan di Karachi.

Pakistan

Oleh sebab itulah, Pelabuhan Karachi dianggap sebagai sasaran strategik dan sensitif dalam konteks keselamatan negara, terutama ketika ketegangan dengan India memuncak.
INS Vikrant (IAC-1) ialah kapal induk pesawat pertama yang dibina sepenuhnya di India, menjadikannya simbol kebanggaan dan keupayaan kejuruteraan negara itu.
INS Vikrant bermaksud “berani” dalam bahasa Sanskrit.
Ciri-ciri Utama INS Vikrant:
  • Panjang: 262 meter
  • Lebar: 62 meter
  • Berat (Displacement): Sekitar 40,000 tan
  • Kelajuan Maksimum: 28 knot (sekitar 52 km/j)
  • Jarak Operasi: Sehingga 7,500 batu nautika
  • Krew: Sekitar 1,700 anggota
  • Kapasiti Pesawat: Boleh membawa sehingga 30 pesawat, termasuk jet pejuang MiG-29K, helikopter MH-60R Seahawk, dan helikopter HAL Dhruv untuk operasi anti-kapal selam dan penyelamatan.
INS Vikrant menggunakan konfigurasi STOBAR (Short Take-Off But Arrested Recovery) dengan dek penerbangan yang direka khas untuk operasi pesawat seperti MiG-29K.
Ia dilengkapi dengan sistem radar dan sistem pertahanan udara, menjadikannya pangkalan udara bergerak yang mampu melaksanakan pelbagai operasi ketenteraan di lautan.
Pembinaan kapal pengangkut pesawat INS Vikrant bermula pada tahun 1999, dengan keel diletakkan pada Februari 2009.
BrahMos
Peluru berpandu BrahMos
Kapal ini dilancarkan pada Ogos 2013 dan menjalani pelbagai ujian laut sebelum diserahkan secara rasmi kepada Tentera Laut India pada 2 September 2022.
Pembinaannya melibatkan lebih daripada 76 peratus komponen tempatan, mencerminkan kejayaan inisiatif “Make in India”.
Dalam konteks ketegangan serantau, INS Vikrant berperanan sebagai alat penangkis strategik, memberikan India keupayaan untuk memproyeksikan kuasa maritimnya dan memastikan keselamatan laluan perdagangan penting di Lautan Hindi.
 Kehadirannya juga memperkukuh kedudukan India dalam kerjasama pertahanan dengan negara-negara lain di rantau Indo-Pasifik.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.