Britain Temui Sensor Risikan Dipercayai Milik Russia Diguna Jejaki Pergerakan Kapal Selam Nuklear
Peralatan dan sensor perisikan itu dipercayai dipasang oleh pihak Moscow sebagai sebahagian daripada usaha mengumpul maklumat risikan ke atas empat buah kapal selam kelas-Vanguard milik Britain, yang membawa peluru berpandu nuklear sebagai sebahagian daripada strategi cegah-rintang berterusan negara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Britain telah menemui beberapa peralatan dan sensor perisikan dipercayai milik Russia tersembunyi di perairannya, yang disyaki digunakan untuk mengintip pergerakan kapal-kapal selam nuklear milik negara itu.
Menurut laporan oleh akhbar The Sunday Times, pihak tentera British telah menemui beberapa daripada peralatan dan sensor perisikan tersebut selepas ia terdampar di pesisir pantai, manakala lebih banyak lagi ditemui dan dikenalpasti oleh Tentera Laut Diraja (Royal Navy).
Peralatan dan sensor perisikan itu dipercayai dipasang oleh pihak Moscow sebagai sebahagian daripada usaha mengumpul maklumat risikan ke atas empat buah kapal selam kelas-Vanguard milik Britain, yang membawa peluru berpandu nuklear sebagai sebahagian daripada strategi cegah-rintang berterusan negara itu.
“Tiada keraguan lagi, satu peperangan sedang berlaku di Lautan Atlantik. Ini adalah permainan kucing dan tikus yang telah berlanjutan sejak tamatnya Perang Dingin, dan kini kembali memuncak.”
“Kami sedang menyaksikan tahap aktiviti (perisikan) Russia yang luar biasa,” kata seorang pegawai kanan tentera Britain yang masih berkhidmat kepada The Sunday Times.
Kementerian Pertahanan negara itu (MoD) telah merahsiakan butiran penemuan tersebut.
Usaha pengintipan bawah laut oleh Rusia bukan sekadar melibatkan penggunaan sensor semata-mata.

Siasatan oleh The Sunday Times mendedahkan bahawa kenderaan tanpa pemandu dasar laut milik Russia telah dikesan berhampiran kabel komunikasi dasar laut, selain terdapat maklumat risikan yang boleh dipercayai bahawa kapal layar mewah milik billionaire Russia turut digunakan bagi tujuan peninjauan bawah permukaan laut.
Kementerian Pertahanan Britain (MoD) turut menemui beberapa lagi sensor perisikan di dasar laut, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan Russia untuk mengesan dan menjejaki pergerakan kapal selam nuklear negara itu.
Siasatan oleh pihak tentera Britain mencadangkan bahawa program ketenteraan Rusia, khususnya kapal penyelidikan laut dalam Yantar, merupakan ancaman besar terhadap infrastruktur bawah laut kritikal milik Britain.
Yantar itu dioperasikan oleh Main Directorate Deep-Sea Research (GUGI), yang merupakan sebahagian daripada Kementerian Pertahanan Russia.
Kapal ini mempunyai panjang kira-kira 108 meter dan berat lebih daripada 5,500 tan, dengan kapasiti untuk membawa sehingga 60 anak kapal.
Yantar ialah sebuah kapal penyelidikan oseanografi milik Russia yang sering dikaitkan dengan aktiviti pengumpulan risikan.

Dikendalikan oleh GUGI sejak 2015, kapal ini dilengkapi dengan teknologi canggih, termasuk submersibel dan kenderaan bawah air tanpa pemandu (UUV) yang mampu beroperasi pada kedalaman sehingga 6,000 meter.
Kapal Yantar yang dilengkapi dengan kenderaan bawah laut tanpa pemandu (UUV) dan kapal selam mini telah dikesan berada berhampiran kabel internet penting serta pusat data utama.
Keupayaan Yantar untuk mengendalikan submersibel dan UUV membolehkannya menjalankan operasi seperti pemetaan dasar laut, penyelenggaraan, atau potensi gangguan terhadap kabel komunikasi dan infrastruktur bawah laut lain.
Aktiviti kapal ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan negara-negara Barat mengenai keselamatan infrastruktur bawah laut yang kritikal, seperti kabel komunikasi dan saluran paip tenaga.
Walaupun secara rasmi diklasifikasikan sebagai kapal penyelidikan, Yantar telah beberapa kali dikesan berhampiran kabel komunikasi dasar laut dan infrastruktur penting lain, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara NATO mengenai potensi ancaman terhadap keselamatan infrastruktur bawah laut.

Menurut sumber Tentera Laut Diraja Britain, kehadiran Yantar di perairan UK menandakan peningkatan usaha Rusia untuk menceroboh sistem komunikasi penting dan kabel ketenteraan negara itu.
Pada akhir tahun lepas, Tentera Laut Britain telah mengerah dua buah kapal perangnya, HMS Somerset dan HMS Tyne untuk mengawasi kapal perisik Russia sebaik sahaja kapal tersebut berlayar memasuki perairan United Kingdom.
Kehadiran kapal Russia Yantar di dalam perairan United Kingdom itu berlaku ketika terdapat kebimbangan yang tinggi terhadap keselamatan infrastruktur bawah permukaan laut di Eropah daripada serangan subversif oleh Russia.
Setiausaha Pertahanan United Kingdom John Healey berkata bahawa kapal perisik Russia itu dipercayai sedang dalam misi “mengumpul maklumat tentang infrastruktur kritikal” United Kingdom.
Beliau berkata,ini adalah kehadiran buat kali kedua kapal Russia, Yantar itu di dalam perairan United Kingdom di dalam tempoh tiga bulan.
“Kami tahu apa yang anda (Russia) sedang lakukan,” kata Setiausaha Pertahanan United Kingdom itu.
“Kapal perisik” Russia dinamakan Yantar itu yang secara rasminya dikategorinya kapal penyelidikan marin dikesan berada dalam perairan United Kingdom kira-kira 70km daripada pesisir pantainya, jauh di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu.

Kapal selam nuklear kelas-Vanguard merupakan aset strategik terpenting milik United Kingdom yang berperanan sebagai platform pelancar peluru berpandu balistik berkuasa nuklear (SSBN – Ship Submersible Ballistic Nuclear).
Diperkenalkan pada awal 1990-an, armada ini terdiri daripada empat buah kapal selam — HMS Vanguard, HMS Victorious, HMS Vigilant dan HMS Vengeance — yang dibina oleh syarikat pertahanan British, Vickers Shipbuilding and Engineering (kini dikenali sebagai BAE Systems Submarines).
Setiap kapal selam kelas Vanguard mempunyai keupayaan untuk membawa sehingga 16 peluru berpandu balistik Trident II D5 buatan Amerika Syarikat, yang dilengkapi dengan kepala peledak nuklear.
Namun, atas komitmen kepada kawalan senjata dan keperluan strategik, United Kingdom secara amalan hanya memuatkan lapan peluru berpandu bagi setiap kapal selam.
Kapal selam sepanjang kira-kira 150 meter ini berkuasa nuklear, membolehkan ia berada di bawah permukaan laut selama beberapa bulan tanpa perlu timbul ke permukaan — menjadikannya sangat sukar untuk dikesan.
Satu daripada empat kapal selam Vanguard sentiasa berada dalam operasi di laut sebagai sebahagian daripada doktrin “Continuous At Sea Deterrence” (CASD), yang memastikan Britain sentiasa memiliki keupayaan pelancaran balas sekiranya negara itu diserang dengan senjata nuklear.
